Wednesday, June 29, 2011

Langkah-Langkah Mewujudkan Persekitaran Yang Bersih (Karangan Bahagian A)

            Kepesatan pembangunan ekonomi dan sosial negara kita tidak boleh dipertikaikan lagi. Malangnya, pembangunan dan kemajuan negara tidak seimbang dengan pembangunan kesihatan. Hal ini jelas ditunjukkan apabila kadar penyakit daripada haiwan perosak seperti yang telah berlaku baru-baru ini iaitu kencing tikus amatlah membimbangkan. Semua pihak wajib memikul tanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang bersih. Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil dan dilaksanakan.
            Antara langkah untuk mewujudkan persekitaran yang bersih adalah mengitar semula barangan yang boleh dikitar semula seperti plastik, kertas dan tin. Hal ini boleh membantu untuk mengurangkan longgokan sampah sarap. Natijahnya, haiwan perosak tidak akan membiak dengan cepat dan banyak. Selain itu, mengitar semula barangan dapat mengelakkan pencemaran udara dan tanah. Kualiti udara dan tanah akan bertambah baik sekali gus mengelakkan kandungan gas berbahaya serta keasidan tanah.
            Di samping itu, persekitaran yang bersih dapat diwujudkan melalui aktiviti gotong-royong. Masyarakat perlu peka dengan persekitaran yang bersih dengan bekerjasama membersihkan kawasan yang kotor. Hal ini juga dapat menegah pembiakan nyamuk berbahaya. Seterusnya, masyarakat boleh menanam pokok-pokok bunga bagi mengisi kawasan tanah kosong yang terdapat berhampiran jalan raya. Langkah ini boleh mengelakkan orang awam membuang sampah di kawasan tersebut.
            Tambahan pula, pihak kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang bersih. Pihak kerajaan boleh mengadakan kempen kebersihan kepada orang awam. Melalui kempen tersebut, masyarakat akan lebih berwaspada terhadap penjagaan persekitaran. Tambahan pula, pihak kerajaan dapat menanamkan amalan kebersihan ini melalui sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Persekitaran yang bersih boleh dijadikan tajuk utama dalam mata pelajaran agar mendedahkan kepada pelajar tentang kepentingannya.
            Konklusinya, semua pihak haruslah tidak memandang enteng akan persekitaran yang bersih. Sebagai insan Tuhan yang telah diamanahkan untuk menjaga alam sekitar, kita perlulah memikul dan melaksanakan tugas tersebut dengan sempurna kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kita juga perlu prihatin bahawa persekitaran yang kotor bukan sahaja memberi impak yang negatif kepada bumi tetapi kepada diri kita sendiri. Oleh itu, pembangunan negara haruslah selaras dengan aspek kebersihan sebelum padah menimpa kita kerana kalau nasi sudah menjadi bubur, kita hanya perlu akur.      


Karya,
Debbie Thomas
Tingkatan 5 Alamda
SMK Merbau Miri

Monday, June 20, 2011

KEMPEN MENGURANGKAN KEMALANGAN DI JALAN RAYA DI MALAYSIA

Karangan Bahagian A

           Perkembangan negara kita semakin pesat dan rancak. Rakyat di negara kita juga semakin maju mengikut peredaran masa. Hampir semua keluarga di negara kita memiliki kenderaan masing-masing. Namun demikian, mereka lupa tentang langkah-langkah menjaga keselamatan di jalan raya. Kita tidak seharusnya mengabaikan keselamatan kita semasa berada di jalan raya. Apakah yang akan terjadi sekiranya kita tidak mematuhi peraturan keselamatan jalan raya? Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya berlaku kemalangan di jalan raya? Kita janganlah menyesal sekiranya berlaku kemalangan di jalan raya kerana kemalangan tersebut berlaku disebabkan kecuaian kita sendiri. Bagaimanakah pula kita dapat mengurangkan kemalangan di jalan raya? Inilah yang menjadi persoalan kita.

          Kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dengan mengadakan satu kempen. Langkah-langkah memajukan kempen mengurangkan kemalangan di jalan raya adalah peranan media massa. Media massa boleh membantu dari segi memaparkan atau mengiklankan kempen ini melalui siaran televisyen. Paparan ini secara tidak langsung akan dapat memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kempen mengurangkan kemalangan di jalan raya. Media massa juga boleh memaparkan kempen ini di surat khabar. Masyarakat di negara kita yang kerap membaca surat khabar juga akan mendapat tahu tentang kempen ini. Peranan media massa sangat penting untuk menyebarkan tentang kempen mengurangkan kemalangan di jalan raya.

          Selain itu, kempen ini dapat dimajukan dengan mengadakan kempen ini di sekolah. Pelajar-pelajar harus diberi penerangan dengan lebih lanjut tentang kempen ini. Kempen ini amat berguna supaya pengguna di jalan raya akan semakin berhati-hati semasa berada di jalan raya. Pelajar-pelajar juga boleh membantu menyebarkan tentang kempen ini kepada keluarga mereka. Ini dapat membantu mengurangankan kemalangan di jalan raya. Pelajar-pelajar memang seharusnya didedahkan dengan kempen ini supaya mereka akan berhati-hati di jaln raya selepas mendapat lesen memandu. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

          Kesan daripada kempen mengurangkan kemalangan jalan raya adalah dapat mengurangkan kadar kematian di jalan raya. Kempen ini sangat berguna kerana dapat memberi kesedaran kepada pengguna supaya berhati-hati di jalan raya dan mematuhi peraturan di jalan raya. Kadar kemalangan di jalan raya akan semakin menurun sekiranya pengguna di jalan raya mematuhi peraturan di jalan raya. Kita harus berusaha mengurangkan kadar kematian di negara kita supaya negara kita akan semakin maju. Kita janganlah membuat keluarga kita bersedih atas kematian kita. Kita bertanggungjawab menjaga keselamatan diri kita terutamanya semasa berada di jalan raya. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi semasa berada di jalan raya. Bak kata pepatah, malang tidak berbau.

          Tuntasnya, kempen mengurangkan kemalangan di jalan raya sangat berguna untuk menyedarkan pengguna jalan raya tentang keselamatan di jalan raya. Kerjasama daripada semua masyarakat negara kita amat penting untuk menjayakan kempen ini. Masyarakat haruslah berusaha mengurangkan kadar kematian yang disebabkan oleh kemalangan di jalan raya. Kita haruslah bersama-sama mematuhi peraturan di jalan raya supaya dapat melahirkan masyarakat yang sihat dan hidup di persekitaran yang aman. Kita janganlah mengabaikan peraturan di jalan raya. Nyawa kita adalah tanggungjawab kita sendiri. Jika bukan kita yang mematuhi peraturan jalan raya negara kita, siapa lagi yang akan mematuhi peraturan tersebut.


LAU SIEW HUI
5SC ALAMANDA
SMK MERBAU MIRI, SARAWAK

PERANAN MASYARAKAT DALAM MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN MALAYSIA

Karangan Bahagian A                      
      
                        Lihatlah samudera luas yang jernih, hutan yang masih terpelihara kehijauannya, lanskap alam yang memukau serta kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia. Atas faktor-faktor tersebut, negara kita menjadi salah satu daripada lokasi ataupun destinasi pelancongan yang strategik. Oleh itu, sektor pelancongan menjadi salah satu daripada wadah atau medium untuk memajukan pembangunan ekonomi negara kita. Selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia yang diimplementasikan pada tahun 2007, masyarakat mempunyai peranan yang tinggi bagi memajukan industri pelancongan.
                        Dalam dunia yang berpaksikan kemodenan,seni warisan dan tradisi semakin pupus ditelan zaman bak kata pepatah “lapuk dek hujan, lekang dek panas”. Negara kita terkenal di mata dunia kerana mempunyai pelnagai komposisi kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban. Adat yang diwarisi secara turun-temurun itu merupakan identiti yang menggambarkan keunikan negara kita.Para pelancong lebih berminat untuk mengetahui warisan pelbagai kaum berbanding kemodenan yang dianggap sebagai pengukur kemajuan sesebuah negara. Maka, kita wajar mempopularkan seni warisan dan tradisi  yang terdapat di Malaysia. Antaranya adalah melalui persembahan tarian yang berorientasikan kepelbagaian budaya, misalnya ‘Citrawarna Malaysia’.
            Selain itu, masyarakat sewajarnya memberi fokus pada faktor yang menjurus pada kemahiran sosial kita.Kemahiran komunikasi secara interpersonal menjadi elemen fundamental untuk memastikan bahawa sektor pelancongan berkembang secara maju. Sejajar dengan kempen yang dijalankan setiap tahun yang bertemakan ‘Budi bahasa budaya kita’, kita harus mempraktikkan budaya tersebut sejak kecil. Ibu bapa, terutamanya, harus menyemai budaya ketimuran ini dalam jiwa anak-anak sejak kecil kerana ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.Sementelahan itu, faktor atau peranan masyarakat tersebut berhubung kait dengan perkhidmatan dan layanan yang memuaskan. Hal ini demikian kerana perkhidmatan yang berkualiti tinggi mencerminkan keperibadian kita yang mulia.
            Di samping itu,kita harus menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran. Keadaan persekitaran yang bersih mempamerkan ciri-ciri warga Malaysia yang cemerlang. Contohnya, negara yang berkembang maju dalam pelbagai sektor seprti Jepun dan Singapura menitikberatkan faktor kebersihan di negara masing-masing. Maka, kita wajar mencontohi inisiatif mereka dengan mengutamakan soal kebersihan alam sekeliling.Usaha yang boleh dijalankan adalah melalui tanggungjawab semua pihak untuk membuang sampah di tong sampah yang telah disediakan. Malahan, kita sewajarnya mendidik anak-anak untuk memberi perhatian pada soal kebersihan.
            Tuntasnya,kita wajar bekerjasama ‘bagai aur dengan tebing’ untuk merealisasikan visi negara untuk menjadi salah satu daripada destinasi pelancongan yang tersohor di mata dunia.Ikhtiar yang dijalankan selaras dengan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri kita yakni Datuk Dr. Mahathir Mohammed.Wawasan tersebut bertujuan sebagai asas atau pegangan masyarakat Malaysia untuk membangunkan negara dalam pelbagai sektor.
Rima Atria Japarin
5 Sains Alamanda
SMK Merbau Miri, Sarawak

KES PEMBUANGAN BAYI DI MALAYSIA

Karangan Bahagian B

Kes pembuangan bayi semakin berleluasa terutamanya dalam kalangan remaja

            Dalam meniti kehidupan pada marcapada ini,kes jenayah semakin berleluasa di negara kita. Kes jenayah boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku dan boleh kita ketahui melalui akhbar harian,majalah,media massa dan tidak ketinggalan juga melalui corong-corong radio. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kes jenayah amat gawat melanda kita di mana perkara sedemikian dapat menggugat kesejahteraan masyarakat di negara ini. Apakah sebab-sebab berlakunya kes jenayah dalam kalangan masyarakat? Siapakah yang berperanan dalam menangani masalah tersebut ke akar umbi bagi mengelakkan masalah tersebut menjadi bertambah gawat? Apakah langkah-langkah untuk mengatasi sesuatu kes jenayah tersebut? Kita haruslah mengambil langkah yang bijak bagi menanganinya, bak kata pepatah “mencegah lebih baik daripada merawat”.
            Seperti yang dapat kita lihat melalui paparan akhbar hampir pada setiap hari kes jenayah seperti kes pembuangan bayi amat berleluasa dan nisbah bilangannya kian meningkat sehingga membimbangkan setiap lapisan masyarakat di negara kita. Hal ini demikian kerana kes jenayah tersebut telah membawa banyak impak negatif yang boleh menggugat orang lain dari segi pelbagai aspek. Terdapat banyak sebab berlakunya kes pembuangan bayi, antaranya disebabkan kurang didikan agama yang merupakan antara sebab utama kes pembuangan bayi berlaku.Biasanya golongan remaja yang merupakan golongan yang paling banyak terjerumus dalam kes jenayah pembuangan bayi. Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup. Bak kata Benjamin Franklin yang mengatakan bahawa manusia masih berbuat jahat padahal sudah ada agama, bagaimana jadinya kalau tidak ada agama? Hilangnya pedoman hidup menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan lalu terlibat dalam gejala negatif, antaranya adalah pergaulan bebas. Mereka yang terlibat dalam pergaulan bebas akan menjalinkan hubungan di luar tabii. Hal ini menyebabkan kaum perempuan mengandung sebelum berkahwin. Dalam situasi tersebut,remaja yang hilang pegangan agama akan menjadi tidak berperikemanusiaan lalu meninggalkan bayi yang baru dilahirkan di tempat-tempat awam seperti tandas awam, tong sampah,tepi longkang dan sebagainya. Contohnya kes pembuangan bayi pada 8 Februari 2010 telah dijumpai mayat bayi dibungkus di dalam plastik hitam ditemui ditanam di tepi parit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
            Sementelahan pula,pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan kes pembuangan bayi berlaku. Hal ini demikian kerana pada usia muda,remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Hal ini bertambah teruk apabila mereka bergaul dengan rakan sebaya yang negatif. Rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan masyarakat,tamsilnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung.Dalam keadaan yang terdesak,mereka terpaksa membuangkan bayi mereka kerana ingin menutup keaiban yang dilakukan.
            Di samping itu, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum turut menyebabkan masalah sosial ini berlaku. Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah,sudah pastinya masyarakat setempat akan menghina dan memandang ringan padanya. Secara tidak langsung,remaja perempuan itu juga akan dianggap menjatuhkan maruah keluarganya.Demi menjaga imej sendiri dan keluarga,remaja tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuangkan bayinya daripada dipandang jijik oleh masyarakat.
            Remaja merupakan pelapis dan penentu jatuh bangunnya sesebuah negara pada masa depan. Namun gejala sosial yang menghantui remaja sekarang seperti membuang anak menjadikan kita dalam dilema. Bagi mengelakkan rasa malu dan hinaan masyarakat, anak yang tidak berdosa ini dbuang merata-rata. Pelbagai langkah boleh diambil untuk menangani jenayah pembuangan bayi dalam kalangan remaja. Antaranya ialah kerajaan perlu mengkaji semula Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan agar denda yang lebih berat dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah.Hal ini amat penting agar remaja akan berasa takut dan serik untuk membuang bayi. Ekoran mereka akan berhati-hati semasa bergaul dan mengelakkan hubungan yang melampaui batasan agama. Hal ini membolehkan mereka menghayati gaya hidup sihat. Kejadian mengandung tanpa nikah dan pembuangan bayi pasti dapat dielakkan.
              Selain itu,didikan agama yang sempurna juga perlu diberikan kepada anak-anak seawal yang mungkin demi memandu mereka ke arah kebaikan. Ibu bapa haruslah memainkan peranan mereka dalam membentuk anak-anak mereka untuk menjadi insan yang berguna. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan adanya iman yang kukuh, mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan gejala dan persekitaran yang negatif. Hal ini demikian kerana mereka sudah boleh membezakan antara yang baik dan buruk. Segala perbuatan haram dan berdosa seperti melakukan seks bebas dapat dihindari. Natijahnya,mereka akan mengamalkan cara hidup sihat bersama-sama nilai-nilai murni yang menjadi kebanggaan masyarakat Timur.
            Remaja yang membuang bayi lazimnya terdesak oleh perasaan malu yang dikhuatiri boleh ‘menconteng arang’ ke muka keluarga. Oleh itu,pihak berkuasa menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (UKM), misalnya perlu menubuhkan pusat-pusat jagaan untuk ibu-ibu muda yang mengandung. Pusat ini boleh berfungsi sebagai tempat remaja berkenaan mengadu dan mendapatkan bimbingan. Dengan cara ini, nyawa bayi tidak berdosa boleh diselamatkan. Di samping itu,ibu-ibu yang mengandung ini boleh menebus dosa mereka dengan menjadi ahli masyarakat yang berguna.
            Langkah seterusnya ialah penubuhan bank bayi. Bank ini berfungsi menjaga bayi yang tidak diingini atau tidak mampu dibela oleh ibu mereka. Bayi-bayi ini dijaga oleh pihak berkenaan sehingga besar dan boleh hidup berdikari.Dalam tempoh tertentu pula,pihak bank bayi boleh member peluang kepada si ibu mengambil anak semula sebelum diberikan kepada pasangan yang tidak mempunyai anak. Dengan kaedah ini,nasib dan masa depan mereka lebih terjamin berbanding tragedi yang menimpa seandainya dibuang sewaktu dilahirkan.
            Langkah terakhir yang boleh dilakukan ialah menerusi kempen-kempen program motivasi. Tanggungjawab ini boleh dilakukan oleh pelbagai media yang ada di negara kita. Dengan kata lain,grafik dan pendedahan berbentuk ‘Kisah Benar’ seseorang yang pernah membuang anak akan membangkitkan kesedaran para remaja.Manakala, program motivasi kesedaran seperti ‘Adab Bergaul’ dan ‘Dosa-dosa Besar’, misalnya mampu memperkuat lagi rasa insaf dan takut remaja akan dosa. Justeru, mereka akan sentiasa beringat dan berwaspada daripada melakukan noda dan dosa.
            Deduksinya,setiap bayi yang dilahirkan mempunyai hak untuk hidup. Oleh itu,semua pihak harus melihat gejala membuang bayi secara rasional.Tindakan bersepadu Angkatan Relawan Rakyat (RELA), Jawatan kuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan Rukun Tetangga (RT) perlu untuk menangani pergaulan bebas dalam kalangan remaja. Bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.


Liaw Yang Ching
5 Sains Alamanda
SMK MERBAU MIRI, Sarawak

FAKTOR-FAKTOR PENINGKATAN KES JENAYAH BERAT DI MALAYSIA

Karangan Bahagian B


Sejak akhir-akhir ini, kes jenayah semakin menjadi-jadi dan nisbah bilangannya kian meningkat. Pelbagai jenis jenayah berlaku setiap hari sehingga membimbangkan semua pihak. Nyatakan sebab-sebab berlakunya keadaan sedemikian dan cadangkan langkah-langkah untuk mengatasinya.


                               Dasawarsa ini, dunia semakin maju mengikut peredaran waktu. Namun begitu, kes jenayah juga semakin meningkat statistiknya. Gejala ini ibarat ‘duri dalam daging’. Apakah yang dimaksudkan dengan jenayah? Apakah faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya masalah ini? Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan? Di manakah hilangnya nilai-nilai kemanusiaan kita? Mengapakah segala iktibar yang telah dijalankan selama ini gagal mencari jalan penyelesaian untuk menangani masalah ini? Apakah penyelesaian yang terbaik untuk membanteras masalah sosial ini? Adakah gejala ini merupakan kebiasaan dalam golongan masyarakat kini? Apapun alasannya, gejala jenayah ini wajib dibanteras dengan segera agar tidak berleluasa sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

                                Kes jenayah ini berlaku disebabkan berpunca dari desakan hidup seseorang itu. Boleh jadi seseorang itu memerlukan wang dan berada dalam kesempitan hidup. Situasi ini biasanya terjadi apabila mereka tidak diterima untuk mana-mana pekerjaan dan sewaktu itu mereka sangat memerlukan wang, sebaliknya mereka memilih jalan pintas untuk memperoleh wanhg seperti merompak. Aktiviti rompakan ini biasanya melibatkan kes rompakan yang melibatkan ribuan wang atau barang-barang berharga yang sering terjadi di rumah golongan berada atau tempat-tempat awam lain seperti bank atau pusat beli-belah. Menyedari hakikat itu, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan peluang pekerjaan supaya golongan masyarakat memiliki sumber pendapatan dendiri. Jadi, tidak akan ada lagi alasan bagi masyarakat untuk terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah. Justeru, antara langkah yang boleh diambil oleh pihak terbabit adalah dengan memperkasa bidang ekonomi supaya peluang pekerjaan meningkat.
                               
                                Selain itu, nisbah kes jenayah semakin meningkat disebabkan kurangnya kesedaran rakyat terhadap isu ini. Rakyat berfikiran bahawa  isu ini adalah sesuatu yang remeh dan dapat diselesaikan dengan mudah, tetapi mereka tersilap. Isu jenayah ini tidak seharusnya dipandang enteng. Hal ini demikian kerana terdapat sesetengah masyarakat tidak memiliki kesedaran tentang kesan isu ini kepada pembangunan masyarakat dan ekonomi negara. Sejajar dengan itu, pelbagai kempen antijenayah haruslah diadakan oleh pihak terbabit bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutamanya di peringkat sekolah. Hal ini demikian kerana pada tahap ini, masyarakat terutamanya golongan muda kurang terdedah kepada kegiatan jenayah. Antara kandungan kempen pencegahan jenayah yang diadakan haruslah meliputi tayangan  gambar atau video serta pameran berdasarkan aktiviti jenayah. Selain itu, sesi ceramah juga boleh diadakan melalui kempen ini. Tuntasnya, kesedaran rakyat tentang isu ini dapat dibendung secara perlahan melalui wujudnya kempen seperti kempen antijenayah. Namun begitu, kempen ini haruslah dilaksanakan bersama dengan jayanya seperti kata pepatah ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’.

                                Seterusnya, aktiviti jenayah ini juga turut berlaku apabila anak-anak kurang mendapat perhatian  daripada ibu bapa atau sering tidak dipedulikan oleh ibu bapa. Kesibukan ibu bapa mengejar kemewahan dan kesenangan hidup mengakibatkan anak-anak tidak memiliki masa yang cukup untuk diluangkan bersama keluarga. Malahan, mereka tidak mempunyai waktu untuk mengawasi dan mendidik anak-anak di rumah. Kebebasan anak-anak di luar rumah tanpa kawalan atau pengawasan ibu bapamenyebabkan anak-anak sukar dibentuk dan sentiasa bertindak di luar jangkaan. Selaras dengan itu, ibu bapa perlu memantau dan mengawasi anak-anak serta tidak membiarkan anak-anak mereka terlalu bebas dalam pergaulan. Ibu bapa juga harus memastikan anak-anak mereka berada di rumah dan sentiasa mendorong mereka untuk memilih rakan yang baik kerana rakan-rakan yang baik dapat membantu mendorong anak-anak berkelakuan baik. Ibu bapa seharusnya membentuk anak-anak mereka menjadi modal insan yang berakhlak terpuji serta berbakti kepada keluarga dan negara. Anak-anak hendaklah diajar semanjak mereka kecil lagi kerana ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Anak-anak yang dididik dan diasuh dengan sepenuh kasih sayang serta mendapatperhatian ibu bapa tidak akan tergamak melakukan perbuatan tidak bermoral ini sehingga mengecewakan ibu bapa. Justeru, tanggungjawab ibu bapa amat besar dalam memastikan anak-anak bersikap positif dan menghindarkan diri daripada aktiviti jenayah.

                                Di samping itu, gejala jenayah ini berlaku disebabkan pengaruh rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan insan yang paling rapat dengan remaja. Semua permasalahan yang dihadapi oleh mereka akan dikongsi bersama-sama rakan-rakan kerana meraka lebih mempercayai rakan-rakan berbanding ibu bapa atau ahli keluarga meraka sendiri. Seandainya seorang daripada rakan mereka terlibat dalam kes jenayah, hal ini turut melibatkan rakan-rakan yang lain ibarat ‘seekor kerbau membawa lumpur,semuanya  terpalit’. Situasi ini berlaku kerana wujudnya perasaan setia kawan dan sentiasa ingin menyertai serta mengikuti rakan yang sudah tersemat dalam diri mereka. Oleh sebab itu, golongan muda sering disaran agar berhati-hati sewaktu memilih rakan untuk bergaul. Tidak semua rakan adalah baik, terdapat beberapa jenis rakan-rakan yang kadang-kadang akan mengheret kita bersama-sama ke kancah jenayah. Dapatlah disimpulkan bahawa mereka turut mengambil kesempatan terhadap diri kita. Akibatnya, anak-anak cenderung untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma masyarakat dan undang-undang . Kesimpulannya, remaja haruslah berhati-hati atau bersikap lebih teliti lagi sewaktu memilih rakan.

                                Kes jenayah juga semakin bertambah disebabkan sifat dalaman seseorang itu untuk mencuba sesuatu yang baru. Golangan remaja terutamanya sering bertindak mengikut perasaan tanpa berfikiran waras . Mereka menganggap tindakan mereka betul dan mereka bertindak tidak mengendahkan nasihat atau pandangan orang lain. Dalam menongkah usia ini, golongan ini sukar mendengar nasihat orang yang lebih tua atau berpengalaman dari mereka seperti ibu bapa atau guru. Golongan ini boleh dikategorikan sebagai individu yang mana jiwanya suka memberontak atau digelar ‘darah muda’ yang sering ingin mengambil risiko mencuba sesuatu yang baru atau bahaya. Mereka tidak takut untuk melakukan kegiatan jenayah kerana mereka berfikiran bahawa mereka akan terlepas daripada undang-undang. Hal yang lebih utama bagi mereka ialah keseronokan dan kepuasan hati tanpa menyedari ‘ikut hati mati, ikut badan binasa, ikut mata leta’. Oleh itu, pihak yang terbabit seperti keluarga dan guru harus membantu untuk member ajaran atau dorongan kepada mereka mengenai apa yang baik atau buruk.

                                Antara faktor lain berlakunya kegiatan jenayah adalah apabila mereka mempunyai waktu senggang yang panjang dan tidak diisi dengan apa-apa aktiviti sihat atau yang boleh mendatangkan faedah kepada mereka. Masyarakat terutamanya remaja dapat mengisi waktu lapang mereka dengan melibatkan diri dengan kelab-kelab antijenayah di sekolah seperti Kelab Pencegah Jenayah. Kelab-kelab ini dapat menyuarakan kesan-kesan buruk atau natijah daripada perlakuan jenayah . Di samping itu, kelab-kelab ini menggalakkan atau member dorongan kepada ahli persatuannya untuk melakukan perkara-perkara yang bersifat positif atau mendatangkan faedah. Selain itu, kelab antijenayah ini dapat mencegah sebarang kemungkinan terjadinya kegiatan jenayah dalam kalangan ahli persatuannya. Oleh itu, semua pihak haruslah berusaha berganding bahu untuk menarik perhatian atau minat masyarakat untuk menyertai kelab antijenayah sama ada kerajaan atau badan bukan kerajaan agar segala aktiviti ini dapat diatasi. Tuntasnya, kelab bersifat antijenayah mesti lebih giat dilaksanakan kerana keberkesanannya membanteras gejala jenayah di negara ini.

                                Intihanya, terdapat pelbagai jalan yang dapat digembleng bagi membendung kegiatan jenayah dalam kalangan remaja, justeru semua pihak haruslah bekerjasama  berganding bahu untuk membendung atau melawan kegiatan jenayah agar aktiviti negative ini tidak berlarutan atau semakin meningkat nisbahnya. Akhlak yang tinggi sesungguhnya merupakan kunci untuk lahiriah modal insan yang berkualiti tinggi dan untuk menyumbang kepada pembangunan negara . Separti kata cendekiawan, Ahmad Shauqi Bey, “sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh. Jika akhlaknya sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap”.


CYNTHIA SANDRA CHENDU ADING
5 SAINS ALAMANDA
SMK MERBAU, MIRI SARAWAK