Friday, April 26, 2013

Kepentingan Internet Dalam Kehiduoan


Pada  zaman serba canggih ini, kemudahan internet merupakan satu kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang amat diperlukan oleh masyarakat zaman sekarang. Internet amat berguna dalam melakukan tugas-tugas harian terutamanya bagi mereka yang ingin menyelesaikan urusan-urusan penting mereka dalam kaedah yang cepat dan mudah serta menjimatkan kos. Pengguna Internet di Malaysia telah meningkat sekali ganda daripada tahun lalu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dengan kebanyakan pengguna berusia dalam lingkungan 15 hingga 25 tahun. Berdasarkan kajian yang dibuat, rakyat Malaysia membelanjakan sebanyak RM552 setahun dengan bayaran internet sebanyak RM46 sebulan. Kini,penggunaan internet tidak hanya terhad di tempat kerja sahaja malah institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti turut menggunakan internet sbagai salah satu kaedah pembelajaran bagi para pelajarnya. Penggunaan membolehkan bidang pendidikan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dunia dan peredaran zaman sekali gus melonjakkan status pendidikan di Malaysia ke arah yang lebih tinggi setaraf dengan pendidikan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom secara holistik. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan Internet kepada bidang pendidikan terutamanya di Malaysia?

Kata-kata hikmat ada menyatakan bahawa “ilmu itu luas dan tiada sempadan”. Baru-baru ini, berita di televisyen telah menyiarkan lawatan Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin ke sebuah sekolah berprestasi tinggi di Alabama, Amerika Syarikat. Semasa lawatan beliau ke sekolah tersebut, beliau telah meninjau sebuah kelas yang menggunakan aplikasi internet sebagai sumber pembelajarannya. Para pelajar di dalam kelas tersebut hanya perlu mendengar penerangan daripada guru dan mampu mencari maklumat dalam pelbagai laman web yang dipaparkan dengan hanya satu klik sahaja. Hal ini menunjukkan bahawa internet mampu menyediakan kepelbagaian maklumat termasuk maklumat yang tidak disediakan dalam buku kepada para pelajar. Dengan ini, para pelajar mampu menyediakan bahan berlainan untuk aktiviti pembelajaran di dalam kelas seperti pembentangan dalam masa yang singkat.

 

Pada masa dahulu, buku teks dianggap sebagai sumber pembelajaran yang penting di dalam kelas.Kini,mentaliti pelajar zaman sekarang amat berbeza jika dibandingkan dengan pelajar zaman dahulu. Pelajar zaman sekarang menganggap buku teks menyusahkan mereka kerana mereka terpaksa menjinjing beg sekolah yang sarat dengan buku teks sepanjang sesi persekolahan. Keadaan ini menyebabkan terdapat segelintir pelajar lebih rela meninggalkan buku-buku teks mereka di rumah sekali gus menyebabkan mereka melanggar peraturan sekolah yang telah ditetapkan. Seperti yang kita tahu,tidak semua pelajar gemar membaca melalui buku kerana masa mereka banyak dihabiskan di hadapan komputer. Di samping itu, terdapat pelajar yang menggunakan aplikasi internet seperti e-book sebagai sumber bacaan kerana aplikasi ini menyediakan perkhidmatan yang percuma dan cepat kepada pembaca jika dibandingkan dengan pembaca terpaksa ke kedai buku untuk membeli buku  rujukan selain harga buku juga dijual mengikut jenis buku tersebut.

Selain itu, penggunaan internet memboleh perkongsian maklumat antara pelajar. Projek Jaringan Pendidikan(JP) di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran dan MIMOS merupakan salah satu aktiviti  dalam program Komputer Dalam Pendidikan oleh Kementerian Pelajaran.Projek ini mampu meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia kepada taraf yang lebih tinggi. Di samping itu, penggunaan aplikasi seperti e-mel membolehkan segala maklumat yang ingin dikongsi oleh para pelajar dan guru dapat dikirim dengan lebih cepat dan mudah. Menurut kenyataan salah seorang pengkaji penggunaan internet, Dr.Jane Lasarenko, kebaikan utama penggunaan e-mel adalah dapat menanam semangat belajar yang tinggi dalam kalangan pelajar dalam setiap pembelajaran mereka. Bukan itu sahaja,para pelajar tidak akan ada alasan lagi untuk tidak menghantar kerja rumah mereka pada hari yang ditetapkan kerana aplikasi e-mel ini memudahkan urusan pembelajaran antara murid dan guru menjadi senang malah hubungan murid dan guru dapat dieratkan.

Internet juga membolehkan para pelajar dan guru untuk mengetahui dan mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Misalnya pembangunan laman web sekolah mampu dijadikan sebagai alternatif untuk menyalurkan segala maklumat mengenai sekolah kepada semua pihak. Selain itu,laman web sekolah juga membolehkan ibu bapa untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan dengan anak-anak seperti rekod disiplin, akademik dan juga kokurikulum. Ibu bapa hanya perlu melanggan laman web sekolah ataupun menggunakan e-mel untuk berhubung terus dengan guru. Secara tidak langsung, hubungan antara ibu bapa dengan pihak sekolah dapat ditingkatkan.Ibu bapa tidak akan ada alasan lagi untuk tidak berkunjung ke sekolah dengan alasan sibuk untuk mendapatkan perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Oleh yang demikian, masalah disiplin pelajar yang memerlukan kerjasama pihak sekolah dan ibu bapa dengan mudahnya dapat ditangani.

Guru-guru boleh menggunakan internet sebagai bahan bantu mengajar di dalam kelas.Internet mempunyai pelbagai komponen pengajaran seperti grafik,animasi atau audio visual.Dengan adanya kepelbagaian komponen pengajaran ini,sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi seronok dan mampu meningkatkan minat belajar yang tinggi dalam diri para pelajar.Guru-guru juga mampu mengakses pelbagai jenis bentuk latihan dan soalan untuk para pelajar mereka terutamanya bagi para pelajar yang bakal memduduki peperiksaan awam yang patut didedahkan dengan pelbagai bentuk soalan peperiksaan bagi menyiapkan diri mereka untuk peperiksaan yang bakal dihadapi. Maka,guru-guru tidak perlu berjumpa dengan pihak pentadbiran sekolah ataupun pihak penjual buku bagi mendapatkan buku yang diperlukan oleh guru dan para pelajar.
 
Kesimpulannya, peranan semua pihak amat penting dalam memastikan bidang pendidikan di Malaysia tidak ketinggalan  dalam arus pemodenan agar negara kita mampu membangun dengan kemahiran dan ilmu yang dimiliki oleh rakyat kita sendiri. Oleh yang demikian,impian kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020 akan tercapai sekali gus mampu melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan tinggi selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara iaitu masyarakat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran bagi melahirkan tenaga manusia yang produktif, berinisiatif dan berinovatif untuk mentadbirkan alam bagi meningkatkan daya pengeluaran ke arah pembangunan negara.

Disediakan oleh:

Sabrina Sambai Ak Indang

5 Sains Alamanda 2013

Faedah-faedah yang diperoleh melalui amalan berjimat cermat. (Karangan Bahagian A)


Sempena Hari Pengguna 2010, Perdana Menteri kita telah menyeru rakyat agar berjimat cermat dalam segala aspek kehidupan demi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Beliau juga menasihati rakyat agar ingat sebelum kena, jimat sebelum habis agar tidak menyesal kemudian hari. Rakyat juga digesa agar tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu ketika membeli-belah kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa. Pada hemat saya, pandangan Perdana Menteri ini sewajarnya direnungi kerana banyak faedahnya jika amalan berjimat cermat dijadikan agenda utama dalam kamus hidup kita.

Melalui amalan berjimat cermat, perbelanjaan harian dapat dikurangkan. Hal ini demikian kerana kita membandingkan harga barang-barang yang hendak kita beli dan membeli barangan buatan tempatan yang lebih murah harganya. Barang yang berkualiti dan mahal juga eloklah dibeli kerana alah membeli, menang memakai. Kasut sekolah Bata, misalnya, bukan sahaja tahan lama bahkan berbaloi. Pemakaian kasut ini memberikan keselesaan dan kepuasan. Dengan cara ini, bukan sahaja perbelanjaan harian dapat dijimatkan bahkan kebahagiaan terjamin.

Amalan berjimat cermat juga dapat menambah simpanan kita. Apabila kita menjimatkan perbelanjaan, wang yang dihematkan dan ditabungkan di institusi kewangan akan meningkat, bak kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Wang simpanan ini amat berguna ketika menghadapi waktu kecemasan seperti hendak menjalani pembedahan.  Menurut Dato’ Michael Chong, kita tidak perlu “mengemis” dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh dan menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. Tegasnya, bukan sekadar wang tabung kita bertambah malah kesenangan hidup terpelihara.

Seterusnya, amalan berhemat dalam pengurusan kewangan akan mendidik seseorang individu untuk berdikari.  Kita tidak perlu bersandar pada ibu bapa ataupun pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi mengongkosi pengajian kita di menara gading nanti.  Dewasa ini, banyak pelajar cemerlang yang menggantungkan harapan pada biasiswa tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN.  Apabila gagal beroleh bantuan kewangan, mereka pun seolah-olah langit runtuh, bumi cair ataupun kaca terhempas ke batu. Jadi, kita patut berjimat cermat untuk berdikari agar hidup kita lebih damai dan sejahtera.

Intihanya, cermat masa banyak, jimat masa sedikit. Kita hendaklah menghayati pesanan agama kita, yakni ingat akan kesakitan ketika sihat; ingat akan ketuaan usia ketika muda; ingat akan kematian ketika hidup; dan ingat akan kepapaan ketika kaya seandainya kita hendak bahagia sepanjang hayat. Sehubungan ini, ibu bapa berperanan sebagai cermin perbandingan yang positif kepada si anak, dan bukannya seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan terpupuknya nilai positif ini dalam lubuk kalbu generasi muda, mereka akan senantiasa mampu memberi dan tidak akan meminta.

 

 

Faedah-faedah Mempelajari Seni Pertahanan Diri


          Marcapada ini, dunia kita yang kian mengalami perubahan dari pelbagai segi telah menyingkirkan sesetengah amalan atau budaya masyarakat dahulu. Keadaan yang menyedihkan ini mungkin kurang mendapat perhatian daripada masyarakat, malahan tidak dikesan oleh mereka. Dalam perkara ini, seni pertahanan diri telah semakin dilupakan oleh masyarakat terutamanya generasi muda. Hal ini boleh disamakan dengan peribahasa “ibarat melukut di tepian gantang”. Pada hakikatnya, hal ini tidak sepatutnya berlaku. Perkara ini disebabkan oleh seni pertahanan diri boleh mendatangkan pelbagai manfaat kepada kita. Jenis-jenis seni pertahanan diri termasuklah silat gayung, Wushu, silambam dan sebagainya. Persoalannya, apakah faedah-faedah yang boleh didapati dengan mempelajari seni pertahanan diri?

          Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Dengan mempelajari seni pertahanan diri, kita dapat menyihatkan tubuh badan kita dan seterusnya mengelakkan diri kita daripada penyakit.Perkara ini berlaku apabila melakukan pergerakan tertentu ketika berlatih, kita akan mendapat kebaikan yang sama seperti bersenam. Mengikut kajian saintifik, dipercayai bahawa apabila badan kita mengeluarkan peluh, toksik-toksik dari badan turut akan dikeluarkan mengikut air peluh. Sekiranya toksik-toksik dari badan telah dikeluarkan, maka kita akan berasa lebih sihat dan bertenaga untuk menjalankan aktiviti seharian. Tambahan pula, badan kita akan menjadi lebih cergas disebabkan oleh otot-otot badan kita yang semakin kuat melalui latihan seni pertahanan diri. Secara tidak langsung, otak kita juga akan menjadi cerdas kerana “badan cergas, otak cerdas”.

          Seterusnya, kita mampu mempertahankan diri apabila keselamatan diri kita tergugat khususnya kepada golongan wanita. Sejak kebelakangan ini, pelbagai kes jenayah yang menyebabkan kehilangan harta mahupun nyawa semakin menjadi-jadi seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kes-kes tersebut telah menjadi perkara yang izhar dan menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak terutamanya masyarakat. Oleh yang demikian, kita wajar melakukan sesuatu demi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah yang seterusnya kerana pepatah ada mengatakan “malang itu tidak berbau”. Dengan mempelajari seni pertahanan diri, kita dapat menggunakan teknik yang dipelajari semasa kecemasan untuk menyerang penjenayah. Bukan itu sahaja, kita juga dapat menghulurkan bantuan kepada orang lain dengan ilmu seni pertahanan diri yang dipelajari.

          Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang berdisiplin akan dilahirkan jika masyarakat sanggup mempelajari seni pertahanan diri. Hal ini terjadi kerana kita akan diterapkan nilai-nilai murni apabila mempelajari seni tersebut. Sebagai tamsilan, nilai menepati masa, nilai baik hati, nilai bekerjasama dan lain-lain. Dengan kata lain, kita akan menjadi lebih gagah dan berkeyakinan diri untuk melakukan perkara yang betul seperti menegakkan keadilan apabila diri kita dilengkapi ilmu seni tersebut. Lagipun, kita boleh mendisiplinkan diri dengan mempelajari seni ini. Perkara ini berlaku kerana kita mesti menepati masa berlatih yang ditentukan setiap kali. Walaupun pada mulanya kita tidak senang hati dengan peraturan ini, tetapi lama-kelamaan amalan yang terpuji tersebut akan tertanam dalam diri kita secara tidak langsung, bak kata pepatah, “alah bisa, tegal biasa”.

          Pada masa yang sama, kita turut berpeluang mengharumkan nama sekolah dengan menyertai pertandingan seni pertahanan diri yang dianjurkan. Tambahan pula, peluang-peluang tersebut telah memberi ruang kepada para pelajar untuk memajukan diri dan mencipta nama dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis seni pertahanan diri yang ditawarkan oleh pihak sekolah. Antara jenis seni pertahanan diri yang popular termasuklah Taekwando, Karate, silat, Tang Soo Doo dan sebagainya. Justeru, pelajar boleh bebas melibatkan diri dalam jenis seni pertahanan diri yang diminati untuk mengasah potensi diri yang tersembunyi dan menunjukkan bakat yang ada.

          Sementara itu, seni pertahanan diri merupakan salah satu wadah yang baik untuk kita bersosial. Dengan kata lain, kita boleh menambah kenalan yang baru dengan mempelajari seni pertahanan diri. Ghalibnya, kita mudah mendapat kenalan baru yang terdiri daripada ahli-ahli lain yang mengikut latihan seni pertahanan diri bersama kita. Kita juga boleh saling berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berkaitan dengan seni pertahanan diri bersama kawan kerana perbuatan ini akan mendatangkan manfaat kepada kedua-dua pihak. Sekiranya kita mempunyai kawan, kita tidak akan mudah berasa kesunyian. Oleh itu, kita tidak sepatutnya bersikap seperti kera sumbang kerana sikap tersebut tidak memanfaatkan kita untuk mendapat kenalan baru.

          Intihannya, kita boleh memperoleh pelbagai kebaikan dengan mempelajari seni pertahanan diri. Jadi, kita tidak seharusnya beranggapan bahawa seni tersebut tidak lagi sesuai dengan arus pembangunan masa kini dan mengabaikannya.Hal ini turut disebabkan oleh seni pertahanan diri merupakan warisan budaya yang tidak ternilai harganya dan patut dikekalkan oleh masyarakat. Dengan itu, kita perlulah bertanggungjawab memastikan adat lama tersebut “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Pelbagai pihak harus memberi kerjasama dalam usaha ini terutamanya pihak kerajaan, media massa, masyarakat dan lain-lain. Sekiranya pelbagai pihak dapat menyumbangkan kerjasama, sudah pasti keindahan seni pertahanan diri dapat dipelihara kerana “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.

(Chee Fei San, 5 Sains Alamanda,  2013)
5 Sains Alamanda
Guru Subjek: Pn Noor Sukarni Alive

Ciri-Ciri Remaja Sebagai Tonggak Negara Masa Hadapan


Belia pada hari ini merupakan pemimpin negara pada masa hadapan. Namun begitu, remaja yang merupakan tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini”. Jelaslah di sini, kita dapat lihat bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Persoalannya, apakah ciri-ciri yang perlu saya miliki sebagai remaja yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan?
Ciri signifikan yang perlu saya miliki ialah keiltizaman yang tinggi. Saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, saya perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi menuntut segala pengetahuan terutamanya ilmu Sains dan Matematik. Arus permodenan telah memungkinkan segalanya untuk remaja menimba ilmu melalui pelbagai wahana seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tegasnya, tanpa remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut.
Di samping itu, saya perlu beretika dan bersahsiah mulia. Kepatuhan yang teguh kepada ajaran agama perlu ada dalam diri saya supaya dapat menjadi benteng kepada diri saya. Remaja sewajarnya berpegang teguh kepada pegangan agama masing-masing, tidak kira bangsa mahupun agama. Hal ini demikian kerana, ciri ini sangat penting bagi kita menjaga hubungan dengan Maha Pencipta agar kita sentiasa diberkati. Pada waktu yang sama, ajaran agama yang sempurna dapat melatih diri saya untuk sentiasa ingat akan suruhan dan larangan agama tidak kira tempat dan waktu. Bukan itu sahaja, ketaatan kepada ajaran agama juga dapat membentuk sahsiah yang terpuji dalam diri saya. Sebagai contoh, ajaran agama dapat melatih diri saya untuk berfikiran rasional supaya dapat membezakan baik buruk sesuatu perkara. Melalui cara ini, saya tidak akan terpengaruh dalam kebejatan sosial yang boleh mencemarkan nama baik negara. Secara tidak langsung, disiplin dalam diri saya juga terpelihara.
Selain itu, ciri kreatif dan inovatif juga perlu saya titik beratkan untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Demi mencapai hasrat ini, semangat inkuiri yang tinggi juga perlu saya miliki. Hal ini demikian kerana, hanya mereka yang berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Tamsilnya, dalam industri teknologi maklumat dan dan komunikasi (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan itu, remaja harus dilatih supaya berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Umpamanya, seorang pelajar berumur 16 tahun di Nepal telah berjaya mencipta sebuah alat yang dapat menghasilkan kuasa elektrik daripada rambut. Kisah kejayaannya mendapat perhatian seluruh dunia sehingga dia ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, remaja haruslah berfikir secara rasional dan mengelakkan perkara-perkara yang mampu memudaratkan diri dan orang lain. Justeru, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.
Dalam pada itu, saya haruslah mengekalkan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Dewasa ini, isu remaja mudah terpengaruh dengan gejala sosial semakin hangat diperkatakan. Keadaan ini bertambah keruh apabila remaja mudah dipengaruhi dengan budaya kuning dan semakin melupakan budaya timur. Sebagai contoh, cara berpakaian dan pertuturan harian golongan muda hari ini bersifat “kebaratan”. Namun begitu, jika remaja berjati diri, sudah tentu mereka sentiasa sanggup mempertahankan budaya timur yang sememangnya kaya dengan pelbagai amalan yang luhur. Misalnya, masyarakat timur amat menekankan amalan menghormati orang yang lebih tua, cara berpakaian secara bersopan serta pertuturan yang disenangi oleh semua lapisan masyarakat. Walakin begitu, bagi remaja yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, mereka harus bijak menyesuaikan diri. Persis kata peribahasa, “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Namun demikian, remaja harus mengekalkan unsur ketimuran agar tidak dilupai. Program Latihan Khidmat Negara ialah antara program yang dapat menjamin jati diri dan menanam sikap cinta akan negaradalam kalangan remaja.
Seterusnya, sifat keterbukaan harus saya miliki juga dalam usaha menjadi tonggak negara pada masa hadapan. Melalui sifat ini, saya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain dengan tenang dan tidak akan menimbulkan sebarang prasangka yang buruk terhadap mereka. Dalam nada yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi kesan positif kepada negara iaitu menjamin kestabilan politik, ekonomi, dan sosial negara. Mereka akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Hal ini demikian kerana, selaras dengan misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung atau lebih dikenali sebagai satu bangsa, satu bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan remaja sudah pasti dapat memudahkan kami menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negara kami dengan penuh komited dan dipayungi perpaduan antara rakyat.
Lain daripada itu, saya juga perlu memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang ingin membangunkan negara perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf yang baharu penuh dengan kompetitif, remaja perlu mempunyai kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju yang lain. Dalam usaha mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat dan lain-lain kerana terlajak perahu dapat diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset utama yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan “rakyat sihat, negara maju”.
Sebagai intiha, aspek-aspek di atas sangat perlu kita miliki dan praktikkannya kerana perkara ini sudah menjadi tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjana pembangunan negara persisi mutiara kata pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui tampuk kepemimpinan negara haruslah merdeka daripada belenggu gejala sosial. Ghalibnya, hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja sekarang tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang berketerampilan terpuji. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.

NazirahYa’akob
5 Sains Alamanda, 2013.
SMK Merbau, Miri
Guru Subjek: Pn. Noor Sukarni Alice

Karangan Bahagian A : Ciri-ciri Remaja Berwawasan


 “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Itulah slogan kata yang sangat sesuai untuk menggambarkan betapa pentingnya golongan remaja dalam pembangunan bangsa dan negara. Bahkan sering meniti dari bibir ke bibir di segenap empat penjuru negara ini akan isu yang berkait rapat dengan golongan remaja. Umum mengetahui bahawa golongan remaja merupakan aset terpenting sebagai wahana pembangunan negara kerana remajalah bakal menerajui tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan. Oleh itu, remaja seharusnya memiliki wawasan diri yang teguh sesuai dengan peranan mereka sebagai tonggak utama negara. Namun persoalannya, apakah ciri-ciri remaja yang berwawasan?

Pada realitinya, remaja yang berwawasan semestinya cinta akan ilmu pengetahuan. Remaja yang berwawasan akan senantiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri kerana mereka sedar bahawa ilmu itu pelita hidup. Lazimnya, remaja yang berwawasan akan mengaplikasikan ilmu yang dimiliki dalam menghadapi cabaran dan onak duri dalam kehidupan. Sementelahan lagi, mereka akan memantau dan menilai perkembangan diri serta berusaha untuk membaiki kelemahan diri agar lebih maju ke hadapan. Tegasnya, remaja yang berwawasan sedar akan kepentingan ilmu pengetahuan dan tidak akan bersikap evasif dalam berkongsi ilmu untuk kebaikan bersama.

Menyelusuri wasitah nirmala seterusnya, remaja yang berwawasan seyogianya akan patuh kepada ajaran agama. Menurut Albert Einstein, “agama tanpa ilmu itu lumpuh, ilmu tanpa agama itu buta”. Oleh itu, remaja yang berwawasan semestinya mempunyai ilmu pengetahuan tanpa mengabaikan ajaran agama. Hal ini bertepatan dengan aforisme “sambil menyelam, minum air”. Remaja yang berwawasan akan mengaplikasikan nilai-nilai murni dalam kehidupan  mereka dan tidak akan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama. Bukan itu sahaja, remaja yang berwawasan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama kerana mereka mengetahui bahawa agama mampu menjadi benteng daripada terlibat dalam gejala sosial. Dalam erti kata lain, remaja yang berwawasan akan dapat membezakan perkara yang baik dan perkara yang buruk, halal dan haram dengan adanya asas agama yang kukuh.

Sudah terang lagi bersuluh, remaja yang berwawasan sangat sinonim dengan sikap mereka yang berdisiplin. Remaja yang berwawasan akan menghargai masa kerana masa itu emas. Mereka bijak menguruskan masa dan merancang jadual supaya rutin harian seimbang. Sementelahan lagi, remaja yang berwawasan mempunyai tahap disiplin yang tinggi akan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti peraturan sekolah. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Mereka juga akan memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam melaksanakan tugas yang diberikan sekali gus menyerlahkan sifat kepimpinan dalam diri mereka. Hal ini jelas menunjukkan bahawa disiplin merupakan asas pembentukan keperibadian remaja yang berwawasan.

Konklusinya, remaja yang berwawasan akan bersikap positif dalam apa-apa jua keadaan dan berfikiran jauh untuk mencapai kejayaan. Mereka tidak akan bersikap terburu-buru dalam melakukan sesuatu pekara sebaliknya mereka akan memikirkan pro dan kontra sebelum bertindak atau membuat keputusan. Walau bagaimanapun, semua pihak haruslah seikat bagai sirih serumpun bagai serai dalam memainkan peranan masing-masing untuk memastikan negara dapat melahirkan lebih ramai remaja yang berwawasan. Sesungguhnya, kerjasama yang utuh sangat penting untuk pembangunan negara dan merealisasikan wawasan 2020 yang kian menjengah kerana satu jari telunjuk sahaja tidak mampu untuk menumbangkan sebatang pokok.

Oleh : Ramlah Ak Baro, 5 Sains Alamanda 2013
SMK Merbau, Miri
Guru Subjek: Pn. Noor Sukarni Alice

Karangan Bahagian A : Ciri-ciri Remaja Berwawasan


 “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara” izhar menggambarkan bahawa golongan belia merupakan golongan yang penting dalam memacu pentadbiran negara pada masa hadapan. Remaja ditakrifkan sebagai seorang individu yang telah mencapai tahap dewasa dan mempunyai fikiran yang matang. Oleh itu, individu yang berfikiran matang akan dapat menentukan wawasan diri mereka. Namun begitu, saban hari kita sering kali mendengar dan melihat melalui media massa seperti televisyen, akhbar, dan pelbagai media elektronik lain mengenai kebobrokan akhlak golongan ini. Hal ini memberi satu tanggapan seolah-olah remaja di negara kita tidak mempunyai wawasan diri yang tinggi walhal merekalah yang bakal menerajui tampuk pimpinan negara kelak. Persoalannya, apakah ciri-ciri remaja yang berwawasan yang seharusnya dipraktikkan oleh remaja hari ini?
            Seseorang remaja yang berwawasan akan cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana, mereka akan menggunapakaikan segala ilmu pengetahuan yang diperoleh dari sekolah dan rumah sebagai medium untuk lebih memajukan diri mereka. Bukan itu sahaja, remaja yang berwawasan juga mempunyai kesedaran mengenai kepentingan ilmu pengetahuan dalam mencorakkan hala tuju negara pada masa akan datang kerana ilmu itu pelita hidup. Dengan mencintai ilmu pengetahuan, golongan remaja akan mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah sosial seperti merempit, merokok dan pengambilan dadah. Oleh itu, guru-guru dan ibu bapa berperanan penting dalam memberikan pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal dalam membentuk remaja yang berwawasan. Konklusinya, sikap cinta akan pendidikan dan ilmu pengetahuan akan mencerminkan keperibadian remaja yang berwawasan.
            Selain itu, patuh kepada ajaran agama juga merupakan ciri remaja yang berwawasan. Hal ini demikian kerana ajaran agama menekankan aspek rohani dan sahsiah dalam menjalani kehidupan seharian. Dengan adanya asas agama yang kukuh, remaja dapat meningkatkan keyakinan diri di samping mereka tidak mudah untuk terlibat dalam pelbagai penyakit sosial yang kian menular umpama barah dalam kalangan remaja masa kini. Hal ini dapat kita buktikan dengan membandingkan remaja yang tiada pendidikan agama yang sempurna lebih mudah terpengaruh dengan pelbagai wabak sosial dan mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas berbanding dengan remaja yang sempurna didikan agamanya. Oleh sebab itu, aspek agama tidak seharusnya dipandang ringan dalam meniti arus kemodenan ini. Tuntasnya, remaja yang berwawasan haruslah mempunyai pegangan agama yang teguh sebagai benteng dalam kehidupan dan pendidikan agama haruslah diparaktikkan kepada anak-anak melalui ibu bapa sejak dari kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
            Di samping itu, remaja yang berwawasan akan berdisiplin dalam apa-apa perkara yang dilakukan oleh mereka. Hal ini demikian kerana remaja yang berdisiplin akan lebih mudah mencapai wawasan diri mereka berbanding dengan golongan remaja yang tidak berdisiplin dan senantiasa mengharapkan bantuan daripada orang lain. Selain itu, remaja yang berwawasan mempunyai kesedaran bahawa aspek kedisiplinan merupakan elemen fundamental dalam mencapai kejayaan yang hebat pada masa hadapan. Sebagai contoh, Albert Einstein tidak berputus asa dan tidak bergantung kepada orang lain dalam menjalankan beratus-ratus eksperimen pada suatu masa dahulu. Dengan hasil usaha peluh dan keringatnya, masyarakat pascakemerdekaan kini dapat hidup dengan pelbagai teknologi yang canggih. Ghalibnya, remaja yang berwawasan akan menekankan aspek disiplin dalam kehidupan seharian mereka dan menghargai masa kerana mereka sedar masa itu emas. Sesungguhnya, hanya orang yang malas tidak mempunyai disiplin akan menempuh kegagalan dalam kehidupan.
            Bukan itu sahaja, remaja yang berwawasan seyogianya akan menghormati ibu bapa dan guru mereka. Hal ini demikian kerana mereka sedar bahawa mereka tidak mungkin akan berjaya tanpa kehadiran kedua-dua golongan ini dalam kehidupan mereka. Remaja yang berwawasan akan menghormati ibu bapa kerana syurga di bawah telapak kaki ibu manakala guru pula merupakan insan yang sering diberi perumpamaan ibarat lilin yang membakar diri dalam memberikan kita ilmu serta dorongan dalam usaha kita mencapai kejayaan. Istilah ‘biadap’ atau ‘kurang ajar’ tidak seharusnya wujud dalam diri remaja era modenisasi ini kerana remaja merupakan golongan yang berpendidikan dan seharusnya memiliki akal fikiran yang matang. Oleh yang demikian, untuk menjadi remaja yang berwawasan, bukan  aspek luaran sahaja yang dititikberatkan sebaliknya nilai murni seperti menghormati ibu bapa dan guru juga perlu disemai dan dibajai dalam diri setiap remaja.
            Tuntas bicara, daripada kesemua huraian di atas jelas menunjukkan bahawa remaja yang berwawasan perlulah seimbang dalam semua aspek kehidupan. Oleh itu, remaja zaman sekarang diseru agar menerapkan semua aspek ini dalam kehidupan agar sentiasa beroleh kejayaan dan mencapai wawasan diri. Remaja seharusnya menggunakan setiap peluang yang ada untuk menjadi remaja yang berwawasan kerana di pundak merekalah bakal terpikul segala amanah dan tanggungjawab untuk memajukan bangsa dan negara agar setanding dengan negara maju yang lain persis mutiara kata berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Dalam konteks ini semua pihak haruslah bekerjasama bak kata pepatah seikat bagai sirih, serumpun bagai serai dalam usaha melahirkan lebih ramai remaja yang berwawasan agar Wawasan Perdana 2057 mampu direalisasikan dengan jayanya.

Oleh : Aaronn Avit Ajeng, 5 Sains Alamanda 2013
SMK Merbau Miri
Guru Subjek: Pn Noor Sukarni Alice

Cara mengatasi penggunaan bahasa rojak


 
                      “Gunakan bahasa kebangsaan kita,

                        Marilah kita amalkan ramai-ramai,

                        Bahasalah yang menyatukan kita,

                        Yakinlah bahasa jiwa bangsa…”

Berdasarkan lirik lagu di atas, jelas menggambarkan kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan.  Namun, akibat rempuhan gelombang globalisasi dari luar serta realiti sosiopolitik di dalam negara sejak satu dekad yang lalu menyebabkan kualiti bahasa kian terjejas. Jika dilihat dengan teliti, jelas menunjukkan bahawa bahasa kebangsaan kita kian tercemar akibat penggunaan bahasa rojak. Persoalannya, apakah  langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak ini agar bahasa kebangsaan tidak terus hilang martabat dan kedaulatannya?

Sudah terang lagi bersuluh, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sangat penting dalam usaha mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak di negara ini. Badan induk ini bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang supaya masyarakat peka dengan penggunaan bahasa. Dalam konteks ini, mereka haruslah memantapkan etika kerja supaya masyarakat lebih tertarik untuk memurnikan bahasa Malaysia. Hal ini dapat dilakukan dengan meningkatkan kualiti buku-buku bahasa, contohnya Kamus Dewan Bahasa mestilah ditambah baik dengan memastikan entri-entri baharu ditambah dari semasa ke semasa supaya masyarakat  lebih cinta akan bahasa yang menjadi lambang bangsa. DBP perlu menjadi sebuah badan yang berpengaruh supaya pencinta bahasa lebih tertarik untuk mengembleng tenaga bagi bersama-sama membendung masalah penggunaan bahasa rojak.

Murai berkicau hari siang, sektor awam juga turut memainkan peranan penting untuk meningkatkan martabat bahasa kebangsaan daripada terus dicemari dengan penggunaan bahasa rojak. Kakitangan sektor awam mestilah mematuhi pekeliling yang telah dikeluarkan oleh DBP yang mewajibkan bahasa kebangsaan digunakan sepenuhnya dalam majlis rasmi termasuklah mesyuarat. Merekan perlu bertindak sebagai “polis bahasa” untuk mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak sekali gus mengelakkan bahasa Malaysia tercemar dan terpinggir sedangkan bahasa kebangsaan ini merupakan bahasa rasmi di negara kita seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” perlu terus dilaungkan oleh masyarakat Malaysia kini dan akan datang. Kita seharusnya sedar bahawa bahasa Malaysia bukan milik orang Melayu sahaja tetapi menjadi hak bangsa Malaysia yang berbilang kaum sejajar dengan slogan yang dilaungkan oleh pemimpin negara iaitu “1 Bangsa 1 Bahasa 1 Malaysia”.

Langkah seterusnya adalah dengan pelaksanaan kempen kesedaran secara berterusan. Rakyat Malaysia perlu menjulang bahasa Malaysia demi jati diri, maruah dan martabat bangsa. Justeru, kempen kesedaran secara besar-besaran perlulah diadakan sepanjang masa bukannya bermusim atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Walau bagaimanapun, orang ramai tidak boleh mengharapkan tindakan daripada pihak DBP sahaja sebaliknya mereka perlu bekerjasama dan berganding bahu seia sekata ibarat sejunjung bak sireh dan serumpun bak serai bagi menjayakan setiap inisiatif  yang dirancang oleh pihak DBP dalam usaha membendung masalah penggunaan bahasa rojak. Semua pihak seperti sekolah, komuniti kampung dan bandar perlu memberikan idea yang bernas dalam memastikan prakarsa yang berkesan dalam menangani masalah ini. Bukan itu sahaja, pihak media massa juga memainkan peranan penting dengan mengelakkan penggunaan bahasa rojak supaya kempen yang diadakan akan memberi impak yang maksimum ke arah memartabatkan bahasa Malaysia.

Tuntas bicara, semua rakyat perlu sedar dan peka akan perubahan dan masalah yang timbul agar episod lama tidak berulang. Jasa pemimpin terdahulu yang ingin memartabatkan bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi negara perlu dibalas setimpal seperti kata peribahasa madu yang diberi jangan pula dibalas dengan tuba. Hal ini kerana tidak mustahil masalah penggunaan bahasa rojak yang menjadi salah satu pencemaran bahasa akan dapat ditangani dengan adanya kerjasama semua pihak. Martabat bahasa Melayu yang pernah menjadi bahasa “lingua franca” ini tidak mustahil untuk menjadi realiti sekali gus menjadi bahasa penting dunia. Kita haruslah merenungi kata-kata hikmat “Bahasa mencerminkan bangsa dan bangsa pula mencerminkan negara” yang mempunyai maksud yang tersirat dan mendalam ini.

 
Oleh : nsamj@smkm

Isu : Bencana Alam


Mutakhir ini, kita seringkali digemparkan dengan berita bencana alam yang berlaku tidak kira dalam negara mahupun di luar negara. Bencana alam yang menimpa kian berlaku sejak kebelakangan ini dan tidak dinafikan bahawa hal ini sememangnya sudah menjadi lumrah dunia. Antara bencana alam yang sering melanda ialah tanah runtuh, gempa bumi, tsunami, ribut taufan dan sebagainya. Musibah yang berlaku ini telah memberikan impak negatif kepada semua pihak terutamanya ialah ribuan nyawa telah terkorban akibat bencana alam yang berlaku. Justeru, punca kejadian ini harus dikenal pasti dan diselidik secara terperici  agar langkah yang efektif dapat diambil untuk menangani permasalahan ini yang hanya meninggalkan seribu satu kesan negatif bukan sahaja terhadap manusia malah negara.

Punca yang ketara menyebabkan berlakunya bencana alam ialah kemusnahan alam yang dilakukan terutamanya oleh manusia itu sendiri dalam menjalani aktiviti harian mereka. Tingkah laku mereka yang tidak bermoral juga turut menyumbang ke arah kemusnahan alam berlaku. Kemusnahan hutan, udara, laut dan sebagainya semakin berleluasa lebih-lebih lagi pada era moden dewasa ini. Kemusnahan yang sebegitu sudah pasti akan mendorong untuk berlakunya musibah yang tertentu kerana bumi tetap memerlukan masa untuk mengimbangi perubahan yang drastik walaupun mempunyai keluasan yang besar. Oleh itu, bencana alam berlaku kerana dunia mengalami kemusnahan alam yang begitu pantas sehinggakan dunia itu sendiri tidak mampu mengawalnya. Tegasnya, kerakusan manusia mengeksploitasi alam telah mengundang padah kepada manusia sendiri dalam bentuk bencana alam.

Bukan itu sahaja, bencana alam turut berlaku kerana kegagalan manusia untuk membuat perancangan. Kita semua sudah sedia maklum bahawa manusia sudah boleh meramal musim hujan, kejadian ribut taufan, dan juga memahami kejadian tsunami. Namun begitu, mengapakah angka kematian semakin meningkat? Jawapannya mudah sahaja kerana manusia gagal membuat perancangan seperti memberitahu masyarakat lebih awal, membuat latihan untuk menghadapi bencana mahupun tidak mempunyai piawaian pembinaan bangunan yang baik. Sesungguhnya, kegagalan manusia untuk merancang atau bekerjasama memberikan satu persepsi bahawa kita memandang rendah akan keupayaan bencana alam ini atau menganggap nyawa manusia itu tidak bernilai lalu membiarkan sahaja bencana alam berlaku begitu sahaja.

Umum mengetahui, setiap bencana alam yang melanda pasti akan meninggalkan impaknya. Tidak dinafikan,  bencana alam seperti banjir besar, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya akan menyebabkan berlakunya kerosakan infrastruktur dan harta benda awam seperti bangunan, kereta, rumah, jalan raya dan sebagainya. Hal ini akan membawa kerugian yang amat besar kepada semua penduduk terutamanya kepada kerajaan yang terlibat dengan bencana alam ini. Kerajaan terpaksa memberi bantuan kepada rakyat dari segi kewangan mahupun dalam bentuk makanan, perumahan dan sebagainya. Sebagai contoh, gempa bumi yang berlaku di China telah mengakibatkan banyak kemusnahan rumah dan bangunan pejabat serta infrastruktur elektrik dan komunikasi. Gempa bumi sekuat 7.8 magnitud itu berlaku pada waktu petang sekaligus mengakibatkan 80 peratus bangunan di daerah Beichuan Qiang musnah. Ratusan orang tertimbus di Shifang selepas beberapa buah sekolah, kilang dan asrama musnah. Selain itu, bekalan elektrik dan air juga terputus akibat gempa bumi yang berlaku. Hospital menjadi sesak dan para pesakit terpaksa dipindahkan ke luar hospital dan duduk untuk menunggu bantuan daripada pihak hospital.

Di samping itu, bencana alam yang berlaku tanpa disedari telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa terutamanya kepada kanak-kanak , warga tua dan wanita. Bencana alam juga telah menyebabkan ramai yang cedera parah dan kanak-kanak hilang tempat  bergantung dan menjadi anak yatim piatu. Kanak-kanak terpaksa hidup berseorangan tanpa keluarga untuk memberi sokongan moral dan kata-kata semangat antara satu sama lain. Hal ini demikian akan menyebabkan mangsa-mangsa bencana alam ini hidup dalam keadaan ketakutan dan tidak tenteram. Bencana alam adalah sesuatu yang menggerunkan dan boleh mengorbankan orang ramai tidak mengira usia dan pangkat, mahupun bangsa.Tsunami merupakan salah satu contoh ketara yang memperlihatkan ramai nyawa terkorban disaat bencana ini berlaku. Bencana ini berlaku pada 26 Disember 2004, melibatkan beberapa negara di Asia termasuklah Malaysia. Namun begitu, angka korban yang tertinggi adalah di Indonesia.

Dalam pada itu, langkah yang drastik dan pragmatik perlulah diambil untuk mengurangkan risiko kejadian bencana alam. Rentetan itu, pihak kerajaan perlulah menubuhkan sistem amaran awal yang berkesan dan berteknologi tinggi supaya mereka dapat meramalkan jenis bencana alam, kawasan-kawasan yang berisiko tinggi untuk ditimpa bencana alam serta waktu bencana alam untuk berlaku. Dengan ini, pihak kerajaan dapat membuat persiapan awal dalam menghadapi bencana alam seperti menyediakan tempat tinggal sementara bagi rakyat, bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”. Waimanya, pihak kerajaan hendaklah menghebah-hebahkan maklumat mengenai bencana alam yang akan ditimpa kepada masyarakat melalui media massa sama ada elektronik atau bercetak. Misalnya, wadah media massa yang popular dalam kalangan rakyat seperti televisyen dan radio dapat menyampaikan mesej dengan segera tentang bencana alam yang akan melanda negara kita dalam sekelip mata. Hal ini demikian kerana, masyarakat akan lebih berwaspada dan bersedia untuk menghadapi bencana alam serta-merta.

Pada waktu yang sama, pihak sekolah juga seharusnya mendidik para pelajar tentang cara-cara menghadapi bencana alam sejak di bangku sekolah lagi kerana “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Kementerian Pelajaran perlu mewujudkan satu sukatan pelajaran baru yang bertemakan Bencana Alam dalam Pendidikan Moral mahupun Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan. Melalui kaedah ini, pendedahan awal tentang cara-cara menghadapi bencana alam dapat diberikan kepada pelajar. Selanjutnya, kegiatan unit beruniform di sekolah juga dapat membina individu yang berfizikal lasak dan memiliki ketahanan yang kuat. Pelajar-pelajar juga diberi ilmu pertolongan cemas dan diajar bahasa isyarat yang boleh diaplikasikan semasa sesuatu bencana alam berlaku. Dengan diikuti kegiatan kokurikulum di sekolah, para pelajar dapat menggambarkan situasi sebenar bencana alam dan mampu membuat pertimbangan akal yang wajar.

Sebagai penggulung bicara, punca-punca berlakunya bencana alam harus diselidik hingga ke akar umbi bagi menyelesaikan permasalahan ini yang hanya memberikan implikasi negatif kepada semua pihak. Oleh itu, langkah mengatasi masalah ini harus dilaksanakan dengan segera bagi mengurangkan angka nyawa yang terkorban akibat bencana alam pada masa akan datang sekali gus dapat menyediakan diri sebelum berlakunya bencana alam. Kita perlu sedar dan cuba membantu untuk memulihkan semula keadaan alam kerana itulah jawapan kepada penyelesaian bencana alam ini. Peribahasa “ hendak buat seribu daya, tak hendak seribu dalih” menjadi renungan kepada kita semua dalam menangani kemelut ini.
(Kumpulan 2 : 4 Sains Alamanda 2012)
SMK Merbau, Miri
Guru Subjek: Pn. Noor Sukarni Alice