Saturday, July 27, 2013

CETI HARAM


Walaupun faedah yang sangat tinggi dikenakan oleh ceti haram atau Along,  ramai orang masih tidak serik mencari khidmat mereka untuk menyelesaikan masalah kewangan.  Bincangkan punca-punca yag menyebabkan gejala ini berlanjutan dan kesan-kesannya.

 

Jawapan:

 

            Kini, ramai orang yang menghadapi masalah kewangan meminjam wang daripada ceti haram.  Mereka merupakan kumpulan pemberi pinjaman  dan dikenali dalam masyarakat India sebagai ‘Chettiar’, manakala ‘Tai Ee Long’ dan ‘Along’ dalam masyarakat Cina dan masyarakat Melayu masing-masing.  Terdapat banyak faktor yang menyebabkan ramai orang berbuat demikian.  Kegiatan ini, jika tidak dibendung pasti mendatangkan pelbagai kesan buruk.

 

            Faktor utama ramai orang meminjam wang daripada ceti haram kerana menghadapi masalah kewangan.  Ada dikalangan peniaga menghadapi masalah kekurangan modal pusingan atau sukar mendapat pinjaman bank kerana tidak memiliki harta untuk dipajakkan sebagai cagaran. Tambahan pula, kelulusan pinjaman dari bank mengambil masa yang lama menyebabkan mereka membuat keputusan mendapatkan khidmat dari ceti haram untuk mendapatkan pinjaman.

 

            Kemudahan mendapat pinjaman mendorong ramai orang yang mengalami masalah kewangan seperti tidak mampu membayar hutang perniagaan meminjam wang daripada ceti haram kerana mereka boleh mendapat wang tunai dengan segera tanpa memerlukan cagaran.  Peminjam juga tidak perlu menyediakan sebarang kertas cadangan atau dokumen.  Syaratnya hanyalah membayar balik pinjaman beserta faedahnya dalam masa yang ditetapkan.

 

            Kesan buruk utama pinjaman daripada ceti haram ialah faedah yang dikenakan sangat tinggi.  Peminjam dikenakan faedah melebihi 10% dalam tempoh sebulan.  Jika peminjam gagal menjelaskan pinjamannya dalam masa yang ditetapkan, hutangnya akan berlipat ganda daripada jumlah pinjaman asalnya.  Akhirnya, peminjam seperti menjerat leher sendiri kerana langsung tidak mampu membayar hutang.

 

            Keganasan terhadap para peminjam juga berlaku jika gagal membayar balik pinjaman.  Anak isteri peminjam mungkin diculik dan peminjam sendiri akam diugut, digertak atau dikasari.  Ada peminjam yang dibunuh kerana tidak membayar hutang.  Pernah berlaku tragedi sekeluarga suami isteri dan anak terpaksa membunuh diri kerana tidak tahan akan ugutan ceti haram.

 

            Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk menangani kegiatan ceti haram yang memeng mendatangkan kesan buruk yang pelbagai kepada masyarakat.  Kempen kesedaran perlu diadakan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia terjerumus ke dalam kancah hutang yang tidak berkesudahan.

 

(300 patah perkataan)

Langkah-langkah yang dapat dilaksanakan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.


Semangat patriotisme ialah semangat cinta akan negara. Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat  Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menyatakan bahawa semangat patriotisme perlu dipupuk dalam diri generasi muda di negara ini supaya rakyat di negara lain dapat menghormati dan memandang mulia kepada kita. Tambah beliau lagi, semangat patriotisme hendaklah diterapkan dalam diri generasi muda kita kerana budaya ini sudah menjadi sebahagian negara.Terutamanya ,ibu bapa perlu menerapkan semangat patriotisme dalam diri anak-anak untuk menjadikan mereka sebagai generasi muda yang cemerlang dan dibanggakan oleh negara kerana keperibadian generasi kini akan mencerminkan keperibadian negara ini. Banyak langkah  yang boleh dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri generasi masa kini.

            Antara langkah yang boleh dilakukan untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri generasi muda ialah bermula dari ibu bapa. Misalnya, ibu bapa perlu sering bercerita tentang tokoh-tokoh pejuang tanah air kepada anak-anak. Secara tidak langsung semangat patriotik dapat diterapkan semasa anak-anak masih kecil lagi. Ibu bapa haruslah bercerita atau membacakan cerita tentang perjuangan tokoh-tokoh terkenal seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Tok Kenali,Datuk Bahaman dan banyak lagi pejuang tanah air. Ibu bapa perlu mendedahkan jasa-jasa pejuang tanah air dengan memberitahu mereka betapa sukarnya berjuang untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajahan. Selain itu, menceritakan peristiwa orang-orang terdahulu hidup semasa zaman penjajahan. Apabila bercerita ibu bapa perlu menekankan betapa pentingnya semangat patriotisme dalam diri kita. Hal ini dapat dilihat apabila orang terdahulu mengharungi pahit maung dan bertapa sukarnya untuk mendapatkan makanan, hidup dalam kesusahan dan kesengsaraan serta sentiasa dizalimi oleh penjajah. Mereka akan dapat membandingkan keadaan hidup dalam pascamerdeka.

            Selain itu, pihak sekolah perlu mengadakan lawatan ke tempat bersejarah untuk pelajar-pelajar sekolah supaya menjadi generasi yang mempunyai semangat patriotisme. Terdapat banyak tempat bersejarah di negara kita untuk dikunjungi. Tempat-tempat tersebut merupakan monument yang perlu dipelihara supaya generasi kini akan dapat melihat sendiri dan merasai kesan yang amat mendalam. Sebagai contoh tempat bersejarah yang boleh dilawati ialah Kota A’ Famosa di Melaka. Sambil melawat ke tempat bersejarah, guru yang mengetuai lawatan tersebut perlu menceritakan tentang kejatuhan Melaka lalu Portugis membina Kota A’ Famosa. Pelajar-pelajar akan dapat melihat kesan peristiwa tanah air dan dapat menerapkan semangat cinta akan negara.pemerhatian mereka terhadap kesan-kesan peninggalan sejarah akan melahirkan semangat juang untuk menpertahankan negara daripada ancaman musuh. Contohnya, kunjungan ke tempat bersejarah yang lain seperti Bandar Hilir Melaka yang akan mengingatkan mereka kepada sejarah hitam negara ketika dijajah oleh Portugis, Belanda dan Inggeris.

            Tambahan lagi, generasi kini perlu menyertai program yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Contohnya remaja kini perlu menyertai Program Latihan Khidmat Negara. Program ini dipernuhi dengan aktiviti yang memupuk semangat patriotik seperti kawad kaki dan latihan berkumpulan. Program ini juga merupakan gabungan latihan ketenteraan dan memupuk semangat patriotik  kepada mereka ke arah cinta akan negara. Pelatih-pelatih akan dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, kerjasama dan hormat-menghormati. Pelatih akan bercampur gaul dengan pelatih lain yang berbilang kaum, budaya dan agama yang berbeza. Hal ini akan dapat memupuk semangat perpaduan yang merupakan elemen yang penting dalam semangat patriotik seperti pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Di samping itu, program ini akan dapat melahirkan generasi yang mengetahui hal kenegaraan yang berkaitan dengan kerajaan dan kedaulatan negara.

            Seterusnya, ibu bapa perlu sering membawa anak-anak menyambut hari kemerdekaan. Ibu bapa dan anak-anak perlu melihat atau menyertai sambutan di kawasan setempat atau ibu bapa mengajak anak-anak menyaksikan kemeriahan kemerdekaan di televisyen. Hai ini demikian akan dapat menjadi medium yang sangat  berkesan untuk menyermai rasa cinta akan negara dalam sanubari meraka. Di samping menyaksikan kemeriahan kemerdekaan akan dapat mengimbas kembali nostalgia dan memori sewaktu negara dijajah melalu nukilan puisi-puisi, sketsa, novel-novel kemerdekaan terbit di hati meraka semangat biar patah tulang, jangan putih mata. Ibu bapa juga perlu menerangkan kepada anak-anak nikmat menjadi anak pascamerdeka dan bersyukur kerana diberikan keamanan dan kedamaian.

            Konklusinya, memupuk semangat patriotisme perlu dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian dapat melahirkan generasi yang mempunyai rasa cinta akan negara dan menjadi individu yang berguna kepada bangsa dan juga negara. Peranan semua pihak sangat penting untuk menerapkan semangat patriotik dalam diri generasi muda. Contoh yang baik akan diikuti oleh orang ramai. Bak kata pepatah bagaimana acuannya, begitulah kuihnya.   


                                                                                                                                                   Ramlin Jati 

                                                                                                                                              ~ 5  Begonia~