Sunday, July 22, 2012

Syair Panduan Untuk Para Remaja KOMSAS Tingkatan 3

MAKSUD

Rangkap
Maksud
1
Penyair berpesan kepada generasi muda agar jangan berbohong dan memperdaya orang. Generasi muda juga diingatkan agar tidak bersikap materialistik dan membazir.
2
Generasi muda diingatkan supaya mengelakkan diri daripada perbuatan mengumpat, mencaci, menganiaya, sombong dan memungkiri janji.
3
Generasi muda diingatkan agar menjauhi judi dan arak serta tidak terlibat dengan perlakuan yang tidak baik atau negatif kerana kelak akan menerima padahnya
4
Penyair juga berpesan agar para belia tidak berhutang dan mengharapkan bantuan daripada orang lain. Orang yang tidak berhutang dan bergantung harap kepada orang lain pasti akan senang hidupnya.
5
Generasi muda diingatkan agar mengelakkan diri daripada sikap suka meminjam ataupun memberi pinjam serta berhutang. Sikap ini boleh menyebabkan hubungan antara sahabat akan menjadi renggang akibat hilang perasaan hormat-menghormati dalam persahabatan.
6
Penyair juga mengingatkan agar generasi muda tidak mengharapkan bantuan dan bersikap meminta-minta. Hal ini demikian kerana, orang yang terlalu mengharapkan bantuan akan malas berusaha dan kemampuan yang ada dalam diri akan hilang.
7
Remaja juga diingatkan agar bersikap patriotik dan berdikari dalam melakukan sesuatu. Generasi muda juga diingatkan tidak lupa asal dan usul mereka serta tidak memandang rendah akan kelebihan yang ada pada orang lain.
8
Penyair menegaskan pesanan di atas dititipkan khas untuk generasi muda. Semoga dengan izin Allah pasti belia hari ini akan menjadi pemimpin berkaliber pada masa akan datang.

TEMA

Panduan kepada generasi muda untuk menghadapi dunia yang penuh dugaan dan cabaran.


PERSOALAN

i. Berdikari dalam kehidupan tanpa mengharapkan bantuan dan pertolongan daripada orang lain.

ii. Mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara-perkara negatif yang boleh merosakkan diri.

iii. Menunaikan janji yang termeterai kerana kegagalan menepati janji akan menghilangkan kepercayaan orang terhadap kita.

iv. Mengelakkan diri daripada berhutang kerana hubungan persahabatan akan renggang disebabkan masalah ini.

BENTUK

i Bentuk terikat.

ii Mempunyai 8 rangkap.

iii Setiap rangkap mempunyai 4 baris.

iv Semua baris ialah maksud.

v Suku kata 9 hingga 12. Contoh : ja/ngan/ tak/bur/ di/ri/ di/pu/ji  (9 suku kata-rangkap 2)

Contoh : be/bas/ke/hi/du/pan/ sen/ti/a/sa/ ta/tang/ (12 suka kata-rangkap 4)

vi Antara 4 hingga 5 patah perkataan. Contoh : Ingat pesanku wahai belia  (4 perkataan-rangkap 1) Contoh: Jangan aniaya bengis dan benci (5 perkataan – rangkap 2)

GAYA BAHASA

i Asonansi – Pengulangan vokal a Contoh: Barang dipinjam kerap kehilangan.

ii Aliterasi - Pengulangan konsonan n. Contoh: Jangan biasakan meminta tolong.

iii Anafora – Pengulangan kata pada awal baris. Contoh: Jangan fikir kasihkan kaya. Jangan boros yang sia-sia.

iv Inversi – Pembalikan kata Contoh: Judi dan arak jangan biasa,  sepatutnya jangan biasa judi dan arak.

v Repitisi - pengulangan perkataan ’jangan’  dalam baris yang sama  Contoh: Jangan mengata jangan mengeji


NILAI

i Nilai berdikari amat penting dalam diri setiap belia agar tidak terlalu bergantungharap kepada orang lain.

ii Nilai merendah diri penting diamalkan supaya tidak menjadi riak apabila menerima pujian.

iii Nilai bertanggungjawab harus ada dalam diri setiap insan agar kita bertanggungjawab atas segala yang

kita lakukan contohnya seperti menepati janji.

PENGAJARAN

i Kita hendaklah berdikari dan jangan terlalu bergantung kepada orang lain kerana keadaan ini menambahkan keyakinan dan keupayaan diri sendiri untuk menyelesaikan masalah.

ii Kita janganlah menyombong diri ketika menjalinkan persahabatan, kelak diri sendiri yang rugi.

iii Kita hendaklah menunaikan janji kerana orang akan hilang kepercayaan jika kita memungkirinya.


Syair Berbuat Jasa KOMSAS Tingkatan 3


MAKSUD

Rangkap
Maksud
1
Generasi muda disarankan supaya berbuat jasa kerana jasa tetap akan dikenang walaupun sudah tiada.
2
Penyair mengajak supaya berbuat jasa dan menyerahkan semuanya kepada Tuhan kerana setiap jasa yang dicurahkan akan menerima balasan di akhirat sana.
3
Penyair mengingatkan supaya kehidupan janganlah disia-siakan. Sebaliknya, berbuatlah jasa kerana jasa yang baik akan dikenang selama-lamanya.
4
Penyair menyeru agar bersungguh-sungguhlah berbuat jasa supaya segala kebaikan dapat dimanfaatkan oleh orang lain.
5
Penyair menegah supaya setiap jasa yang ditabur janganlah mengharapkan balasan dan pujian kerana keadaan sedemikian akan menyebabkan timbulnya perasaan tamak.
6
Penyair sekali lagi mengingatkan jangan mengharapkan balasan dan penghormatan memadai jasa yang dicurahkan boleh dimanfaatkan.
7
Penyair mengajak supaya sentiasa berbuat baik walaupun tidak diketahui orang kerana Tuhan lebih mengetahui.


TEMA

Kepentingan berbuat jasa.


PERSOALAN

i. Keikhlasan dalam pengorbanan.

Contoh: Buatlah baik sedaya upaya, Hidup berbakti memberi cahaya; Sumbu pelita tidak sia-sia, Terbakar dirinya menerangi raya.

ii. Berhati-hati ketika menerima pujian.

Contoh: Jangan menilik balas dan puji, Atau pahalanya dikaji-kaji; Rasa demikian tamak dan keji, Padalah baiknya tinting dan uji.

iii. Persoalan budi yang baik akan berkekalan  selama-lamanya. Walaupun orang yang menabur jasa  sudah tiada lagi di dunia ini, namun jasanya tetap lagi  dikenang.

Contoh: Hidup manusia jangan percuma, Buatlah bakti budi utama; Selagi baiknya kekal menjelma, Si mati hidup selama-lama.

BENTUK

i. Mempunyai 7 rangkap.

ii. Mempunyai 4 baris bagi setiap rangkap.

iii. Semua baris adalah maksud.

iv. Jumlah perkataan antara 4 hingga 5 perkataan sebaris.

Contoh: buatlah jasa wahai teruna (4 perkataan – rangkap 1)

Contoh: jasa yang kekal berfaedah murni (5 perkataan – rangkap 2)

v. Terdiri daripada 9 hingga 12 suku kata sebaris.

Contoh: Tu/han/ ta/hu/ i/a/kah/ bu/kan/ (9 suku kata – rangkap 7)

Contoh: cu/kup/lah/ di/si/tu/ mu/la/i/ ter/gan/tung (12 suku kata – rangkap 6)

vi. Rima akhir aaaa.

vii. Bentuk syair terikat.

GAYA BAHASA

i. Asonansi – Pengulangan vokal a Contoh: buatlah jasa wahai teruna

ii. Aliterasi – Pengulangan konsonan b Contoh: buatlah bakti budi utama

iii. Sinkope – Pemendekan kata  Contoh: Kamu yang mati jasa tak fana, Asalkan jasamu padat berdentung.

iv. Inversi – Pembalikan kata Contoh: hidup manusia jangan percuma  sepatutnya jangan percuma hidup manusia

v. Diksi – Penggunaan Bahasa Arab  Contoh: Tuhan Rabbani

vi. Perlambangan Contohnya: buahnya, sumbu pelita

vii. Kata Ganda  Contoh: selama-lama, sia-sia, dikaji-kaji

viii. Repitisi – Pengulangan perkataan ’hidup’ sebanyak 4 kali.


NILAI

i. Nilai keikhlasan. Ikhlas dalam berbuat jasa tanpa mengharapkan balasan.

ii. Nilai mengenang jasa. Budi yang baik akan dikenang.

iii. Nilai rasional. Berfikir dahulu sebelum menerima sebarang pujian.


PENGAJARAN

i. Kita haruslah ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan supaya beroleh keberkatan.

ii. Kita hendaklah mengenang jasa orang yang telah menabur jasa kepada kita supaya hubungan yang terjalin akan berkekalan kelak.

iii. Kita perlulah menimbang baik dan buruk sesuatu sebelum mengambil sebarang tindakan.


Syair Li-Attar Ghib KOMSAS Tingkatan 3

MAKSUD RANGKAP
Rangkap
Maksud
1
Penyair ingin menyampaikan pesanan kepada semua insan yang menjalani kehidupan bersama-sama dalam setiap pekerjaan di dunia.
2
Atas kehendak Tuhan dua orang saudara telah meninggal dunia. Walaupun bersedih, namun tiada apa-apa dapat dilakukan kerana itu kehendak Tuhan yang Esa.
3
Setiap hamba perlu bersabar menerima ketentuan Tuhan walaupun hakikatnya terlalu sukar untuk dihadapi.
4
Setiap insan yang ada di muka bumi ini pasti akan menghadapi kematian tanpa memilih pangkat dan darjat.
5
Setiap insan perlu mengambil pengajaran daripada generasi terdahulu yang telah meninggal dunia agar kita beroleh kebahagiaan.
6
Kebajikan rakyat jelata mestilah diambil kira atau diambil berat dan keluarga sendiri perlu dijaga agar tidak ditimpa kesusahan
7
Para nabi menuntut kita agar memuliakan ilmu yang benar. Ilmu yang dituntut perlulah diamalkan agar tidak menjadi sia-sia
8
Penyair mengingatkan semua orang mengambil pengajaran atas kematian generasi terdahulu kerana kita juga akan menghadapinya.

TEMA

Mengambil iktibar daripada kematian. Hal ini kerana setiap insan di dunia ini perlu mengambil pengajaran apabila berlakunya kematian kerana setiap insan pasti akan melaluinya.


PERSOALAN

i. Kematian yang tidak dapat dielakkan. Setiap manusia haruslah ingat bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti akan berlaku.

ii. Kepentingan menuntut ilmu kerana menuntut ilmu merupakan tuntutan agama.

iii. Keinsafan menghadapi kematian. Setiap manusia yang hidup perlulah insaf apabila berhadapan dengan kematian

BENTUK

i. Mempunyai 8 rangkap.

ii. Mempunyai 4 baris bagi setiap rangkap.

iii. Semua baris adalah maksud.

iv. Jumlah perkataan antara 4 hingga 6 perkataan sebaris

Contoh: wahai sayangnya akan saudara  (4 perkataan – rangkap 1)

Contoh: dengan kehendak Tuhan yang mulia (5 perkataan – rangkap 2)

Contoh: lihat kepada datuk nenek yang sudah-sudah (6 perkataan – rangkap 5)

v. Terdiri daripada 9 hingga 14 suku kata sebaris

Contoh: ser/ta/ pan/dang/ a/mat/-a/mat/kan ( 9 suku kata – rangkap 8)

Contoh: li/hat/ ke/pa/da/ da/tuk/ ne/nek/ yang/ su/dah/-su/dah (14 suku kata – rangkap 5)

vi. Rima akhir ialah aaaa.

vii. Bentuk syair ialah terikat.

GAYA BAHASA

i. Asonansi - Pengulangan vokal a Contoh: sebab bersama-sama mengembara

ii. Aliterasi - Pengulangan konsonan d Contoh: hendaklah kita tunduk terngadah

iii. Repitisi - Pengulangan perkataan segala dalam satu baris Contoh: Segala pekerjaan segala perkara

iv. Inversi - Pembalikan kata Contoh: kita sepertinya akan datangkan sepatutnya kita akan datangkan sepertinya.

v. Diksi - Penggunaan Bahasa Arab. Contoh: Wahid al-khahar, anbia, jabbar, Saadah.

vi. Diksi - Penggunaan Bahasa Arkaik. Contoh: ayuhai.

vii. Kata Ganda. Contoh: sudah-sudah, sia-sia, tuan-tuan, dikira-kira, bersama-sama.

NILAI

i. Nilai keinsafan. Perasaan insaf sepatutnya lahir di jiwa apabila melihat kematian kerana setiap insan di dunia ini pasti akan merasainya. Contoh: Ayuhai tuan-tuan cuba fikirkan, Serta pandang amat-amatkan,Kematian datuk nenek teladan, Kita sepertinya akan datangkan.

ii. Nilai kerajinan. Mengamalkan sikap rajin dalam menuntut dan memuliakan ilmu seperti yang digalakkan oleh para nabi. Contoh: Ilmu yang benar hendaklah dimulia,Kerana ia muarinya anbia,Tuntut ilmu jangan sia-sia,Yang lain itu tinggal di dunia.

iii. Nilai kesabaran. Semua insan perlu bersabar apabila menghadapi musibah atau kesusahan kerana sebagai hamba kita wajib pasrah pada ketentuan-Nya.  Contoh: Melainkan hamba berbanyak sabar, Akan perintah wahid al-Khahar, Ialah Tuhan bersifat jabbar, Akan hambanya kecil dan besar.

PENGAJARAN

i. Kita haruslah insaf dan mengambil iktibar ketika berhadapan dengan kematian.

ii. Kita hendaklah menanam sikap rajin dalam mencari ilmu untuk kepentingan hidup di dunia dan akhirat.

iii. Kita perlulah sabar menerima segala dugaan dan ujian dari Tuhan.


Pantun Nasihat KOMSAS Tingkatan 3


MAKSUD

Rangkap
Maksud
1
Pekerjaan yang sukar akan menjadi mudah jika dillakukan secara bersama-sama.
2
Pesanan untuk gadis supaya pandai menjaga diri demi menjamin keselamatan diri.
Sesuatu perkara yang dilakukan mengikut hawa nafsu akan merosakkan diri sendiri
4
Pesanan kepada generasi muda agar menjaga tutur kata kerana ketelanjuran kata akan memberi padah kepada diri.
5
Kita hendaklah berguru ketika menuntut ilmu supaya tidak terpesong.
6
Tatasusila perlu dijaga dalam pergaulan.















TEMA

Nasihat - menasihati sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

PERSOALAN

i. Permuafakatan akan memudahkan sesuatu pekerjaan. Hal ini amat penting kerana dengan adanya muafakat

kerja yang sukar akan menjadi mudah.

ii. Kepentingan menjaga maruah diri. Nasihat ini sebagai panduan kepada setiap gadis supaya menjaga maruah diri kerana maruah diri sesuatu yang amat berharga.

iii. Amalan bertutur kata dengan sopan. Hal ini amat penting kepada setiap insan kerana ketelanjuran kata-kata akan menyebabkan diri sendiri menerima padahnya. .

iv. Adab dalam menuntut ilmu. Setiap ilmu yang dituntut

v. perlulah secara berguru agar kesahihan ilmu tersebut dapat dipastikan.


BENTUK

i. Bentuk terikat.

ii. Mempunyai 6 rangkap.

iii. Mempunyai 4 baris dalam satu rangkap

iv. Baris 1 dan 2 merupakan pembayang dan baris 3 dan 4 merupakan maksud.

v. Jumlah perkataan antara 4 hingga 5 patah perkataan.

Contoh : Jangan ikut hawa nafsu (4 perkataan – rangkap 3)

Contoh : Kerja yang payah menjadi senang (5 perkataan – rangkap 1)

vi. Suku kata 8 hingga 11 suku kata dalam satu baris.

Contoh : ja/ngan/ i/kut ha/wa naf/su (8 suku kata - rangkap 3)

Contoh : ji/ka/lau se/mua ber/sa/tu ha/ti (11 suku kata - rangkap 1)

vii. Rima akhir abab.


GAYA BAHASA

i. Asonansi – Pengulangan vokal u Contoh: Nyiur muda dibuat pengat

ii. Aliterasi - Pengulangan konsonan g Contoh: Sungai Pahang sama direnang

iii. Peribahasa Contoh: kerana mulut badan binasa.

iv. Repitisi Contoh: bunga melati bunga pandan.

v. Unsur alam contoh: nyiur muda


NILAI

i. Nilai bekerjasama. Sesuatu kerja yang sukar pastinya akan menjadi lebih mudah apabila wujudnya semangat

kerjasama dalam masyarakat.

Contoh: Jikalau semua bersatu hati, Kerja yang payah menjadi senang.

ii. Nilai kebijaksanaan. Seseorang itu perlu bijaksana menjaga diri agar tidak terjebak dalam perkara yang tidak elok.

Contoh: Jangan ikut hawa nafsu, Kelak nanti binasa badan.

iii. Nilai berbudi pekerti. Setiap insan hendaklah bergaul mesra dengan tertib dan menjaga tutur kata agar diri tidak merana disebabkan ketelanjuran kata-kata.

Contoh: Tidak salah bergaul mesra,Tatasusila perlu dijaga.

PENGAJARAN

i. Kita perlulah bekerjasama ketika melakukan sesuatu kerana kerja yang sukar akan menjadi mudah dengan adanya muafakat.

Contoh:Jikalau semua bersatu hati,Kerja yang payah menjadi senang.

ii. Kita hendaklah berfikir secara bijaksana sebelum melakukan sesuatu kerana kesilapan dalam bertindak akan memberi kesan kepada diri.

Contoh:Jangan ikut hawa nafsu,Kelak nanti binasa badan.

iii. Kita hendaklah menjaga budi pekerti dan tutur kata dalam pergaulan kerana ketelanjuran tingkah laku akan menyebabkan diri menerima kesannya.

Contoh:Tidak salah bergaul mesra,Tatasusila perlu dijaga.

Pantun Empat Kerat (Muafakat) KOMSAS Tingkatan 3

MAKSUD

Rangkap
Maksud
1
Sesuatu perkara yang dilakukan bersama-sama akan membawa kejayaan.
2
Manusia akan bersatu padu apabila bermuafakat.
3
Kerjasama antara penduduk akan melahirkan kehidupan yang bahagia.
4
Apabila masyarakat bermuafakat lahirlah negara yang aman dan sejahtera.
5
Sikap saling mempercayai adalah asas untuk melahirkan permuafakatan yang berkekalan.
6
Sikap toleransi dan saling menghormati amat penting untuk mengukuhkan perpaduan.



TEMA

Hidup bermuafakat menjamin kesejahteraan.


PERSOALAN

i. Kepentingan amalan bergotong-royong.

Contoh :Bergotong-royong penduduk sekampung,Hidup muafakat, hidup bahagia.

ii. Sikap saling mempercayai asas permuafakatan.

Contoh :Percaya-mempercayai asas berpegang,Barulah muafakat kekal selamanya.

iii. Sikap toleransi mengukuhkan perpaduan.

Contoh :Bertolak-ansur hormat-menghormati,Mengukuh perpaduan, ikatan muafakat.


BENTUK

i. Mempunyai 6 rangkap.

ii Mempunyai 4 baris bagi setiap rangkap.

iii Dua baris di atas merupakan pembayang dan dua baris di bawah merupakan maksud.

iv Jumlah perkataan antara 3 hingga 4 perkataan sebaris.

Contoh: ke lurah sama diharungi. (3 perkataan – rangkap 1)

Contoh: indah sungguh warna pelangi. (4 perkataan – rangkap 1)

v Terdiri daripada 9 hingga 13 suku kata sebaris.

Contoh: ke/ lu/rah/ sa/ma/ di/ha/ru/ngi/ ( 9 suku kata – rangkap 1)

Contoh: per/ca/ya/ mem/per/ca/ya/i/ a/sas/ ber/pe/gang/ (13 suku kata – rangkap 5)

vi Rima akhir abab.



GAYA BAHASA

i. Asonansi – Pengulangan vokal a Contoh: usaha bersama membawa bahagia.

a. Aliterasi – Pengulangan konsonan k Contoh: kulitnya keras isinya kelat

b. Anafora: Pengulangan perkataan ‘bulat’ pada awal baris

Contoh: Bulat air oleh pembetung, Bulat manusia oleh muafakat

ii. Peribahasa Contoh: Bulat air oleh pembetung, Bulat manusia oleh muafakat

iii. Repitisi – Pengulangan perkataan ‘hidup’ dalam satu baris.

Contoh: Hidup muafakat hidup bahagia

iv. Inversi – Pembalikan kata

Contoh: bergotong-royong penduduk sekampung sepatutnya penduduk sekampung bergotong-royong

vii Unsur alam

Contoh: Tumbuhan - kangkung, bunga melati Alam – paya, sawah padi



NILAI

i. Nilai bekerjasama. Amalan bermuafakat dan bekerjasama dalam kalangan penduduk kampung melahirkan kehidupan yang sejahtera.

Contoh :Andai seluruh masyarakat muafakat,Negara damai, rakyat sejahtera.

ii. Nilai semangat bermasyarakat. Masyarakat yang percaya mempercayai akan dapat mengukuhkan perpaduan. Contoh :Percaya-mempercayai asas berpegang, Barulah muafakat kekal selamanya.

iii. Hormat-menghormati. Masyarakat yang saling menghormati dapat memperkukuhkan perpaduan.

Contoh : Bertolak-ansur hormat-menghormati,Mengukuh perpaduan, ikatan muafakat.


PENGAJARAN

i. Kita haruslah bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Contoh : Ke lurah sama diharungi,Usaha bersama membawa bahagia.

ii Kita hendaklah saling mempercayai antara satu sama lain.

Contoh : Percaya-mempercayai asas berpegang,Barulah muafakat kekal selamanya.

iii Kita perlulah saling menghormati dalam kalangan masyarakat.

Contoh : Bertolak-ansur hormat-menghormati, Mengukuh perpaduan, ikatan muafakat.