Forum Remaja 2020 memaparkan peranan dan tanggungjawab tiga
orang remaja iaitu Salmah, Chandran dan Chong menjelang tahun 2020. Mereka
berjumpa dengan dua orang makhluk Utopia yang yang datang ke bumi untuk
menjayakan satu misi.Kedatangan mereka didorong atas rasa tanggungjawab moral
untuk mengingatkan makhluk bumi bahawa situasi kini sudah mencapai tahap
kritikal ke arah kemusnahan. Makhluk Utopia memilih Malaysia kerana Malaysia
berpotensi untuk dimajukan sebagai sebuah negara model dunia dalam menegakkan
keamanan dan peningkatan moral sejagat. Mereka berpendapat segala pembangunan
sekarang bukan sumbangan generasi muda yang diwakili oleh Salmah, Chandran dan
Chong tetapi sumbangan generasi yang terdahulu. Generasi muda kini belum
berbuat apa-apa. Sebagai bakal pemimpin masa depan, remaja perlu mempunyai jati
diri yang kental, berilmu pengetahuan dan memiliki moral yang tinggi bagi
merealisasikan matlamat tersebut.Masalah keruntuhan moral generasi muda berada
dalam satu era kritikal dari segi moral, sosial dan mental. Mereka mesti
bersatu padu sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bersemangat patriotik
dan mengamalkan nilai keagamaan dalam aspek kehidupan.
Apabila kedua-dua makhluk Utopia itu beredar, ketiga-tiga
remaja itu pun tersedar dan mereka rupanya bermimpi. Ketiga-tiga remaja itu
berbincang tentang kritikan yang diberi oleh makhluk Utopia dan mereka
menyetujuinya. Sebagai remaja, mereka perlu merancang strategi kepimpinan untuk
merealisasikan pembangunan negara di samping melahirkan generasi yang
berdisiplin .
Pemikiran/Tema
Peranan dan tanggungjawab remaja untuk merealisasikan
Wawasan 2020 yang diwakili oleh watak Salmah, Chandran dan Chong.
Persoalan
1. Persoalan remaja sebagai pemimpin negara pada masa
hadapan.2. Persoalan tentang kepentingan ilmu pengetahuan dalam diri remaja.
3. Persoalan tentang kepentingan penghayatan nilai keagamaan dalam kehidupan.
4. Persoalan semangat patriotik sebagai pegangan untuk mewujudkan sebuah negara bangsa.
5. Persoalan tentang jati diri, moral dan ilmu pengetahuan sebagai teras kepada remaja untuk merealisasikan Wawasan 2020.
Plot
Plot drama ini digarap secara kronologi, melalui empat
peringkat:1. Permulaan
Plot dimulakan dengan perbincangan serius antara Salmah, Chandran dan Chong sehingga mereka tertidur.
2. Perkembangan
Kedatangan dua makhluk Utopia ke bumi dengan membawa misi
suci dan memilih Malaysia kerana Malaysia mempunyai potensi yang boleh dimajukan
sebagai sebuah negara model dunia. Chong berhujah tentang Malaysia yang sudah
mempunyai kualiti pembangunan dan bangsa Malaysia mempunyai etika kerja
berdasarkan slogan Bersih, Cekap dan Amanah. Salmah turut mengemukakan hujah
bahawa rakyat Malaysia hidup dalam suasana yang muhibah di samping bangunan
pencakar langit yang setanding negara maju. Chandran mahukan penjelasan sebab
mereka dipilih untuk berdialog. Makhluk Utopia menjelaskan bahawa mereka
merupakan bakal pemimpin negara. Perdebatan sengit berlaku antara tiga sahabat
dan dua makhluk Utopia. Hujah tentang keagamaan dan ketuhanan turut
diperkatakan oleh Salmah. Agama sepatutnya diutamakan dan dipraktikkan dengan
fikiran yang rasional dan niat yang ikhlas serta suci. Perkara yang
membimbangkannya ialah keadaan anak muda sekarang yang longgar kepercayaan
agamanya yang menjadi punca kemerosotan moral.
3. Konflik
Pada peringkat ini konflik timbul apabila Chandran merasai
bahawa mereka sedang bermimpi. Chong berpendapat kemungkinan makhluk itu menyamar.
Bagi Salmah, mereka meragui tentang makhluk itu kerana pendapat-pendapat yang
bersanggah.
4. Klimaks
Salmah, Chandran dan Chong akhirnya bersetuju akan
perkara-perkara yang dihujahkan oleh makhluk Utopia.
5. Peleraian
Akhirnya, tiga sahabat ini menjelaskan bahawa mereka harus
merancang strategi kepimpinan untuk merealisasikan perkara yang dihujahkan.
Mereka mesti menyelesaikan masalah kemerosotan moral generasi muda dan
memperkemaskan disiplin supaya setiap yang dirancang akan lebih berkesan. Mereka
harus memulakannya dari sekarang.
Teknik Plot
1. Teknik dialog
Dialog antara watak Salmah, Chandran dan Chong, contohnya
Chandran:Ah, Makhluk Utopia yang berdebat dengan kita tadi
tu!Chong: Entah, aku rasa macam mimpi saja.
Salmah:Tapi, takkanlah ketiga-tiga kita bermimpi serentak?
Watak dan Perwatakan
Watak Utama
1. Salmah
- Mahasiswa berusia 22 tahun-Wajah tipikal seorang gadis Melayu dan berkulit sawo matang
- Berfikiran objektif, terbuka ,petah dan berani mengemukakan pendapat - Salmah berdialog dengan Chong yang menegaskan bangsa yang maju ialah bangsa yang sanggup menerima kritikan.
2. Chandran
-Mahasiswa berusia 22 tahun-Wajah tipikal seorang pemuda India dan fasih berbahasa Melayu
- Berperawakan sederhana.
-Bijak berhujah,kritis dan banyak memberikan pendapat - Chandran menyatakan pendapatnya bahawa generasi dewasa harus bertanggungjawab atas apa-apa yang berlaku kepada generasi muda.
3. Chong
- Mahasiswa berusia 22 tahun-Wajah tipikal seorang pemuda Cina fasih berbahasa Melayu dan bijak berhujah
- Mudah emosional dan cepat sejuk - Chong marah kerana tidak bersetuju dengan pendapat Makhluk Utopia bahawa generasi mereka belum buat apa-apa.
Watak Sampingan
1. Makhluk Utopia I dan II- Makhluk asing dari planet Utopia
- Watak mereka muncul dalam mimpi
- Bijak mengemukakan pendapat - Makhluk Utopia memberikan pendapat bahawa makhluk bumi berada dalam situasi yang kritikal ke arah kemusnahan.
Latar
Latar masa
- waktu petang pada tahun 2020
Latar tempat
- Kampus universiti tempat Salmah, Chandran dan Chong belajar
Latar masyarakat
1. Masyarakat kampus - Salmah, Chandran dan Chong.2. Masyarakat dari planet Utopia - Makhluk Utopia 1 dan 2.
3. Masyarakat yang bijak berhujah - Salmah dan Chandran berhujah dengan makhluk Utopia.
4. Masyarakat remaja yang cinta akan negara - hujah-hujah Chong menunjukkan cintanya kepada tanah air.
Gaya Bahasa
1 Kata ganda, contohnya bangunan-bangunan2 Sinkope, contohnya tak ada satu pun yang baik
3 Peribahasa, contohnya bersatu kita teguh, bercerai kita roboh
Nilai
1. Nilai keberanian - Tiga sahabat berani berhujah dengan
makhluk Utopia tentang cabaran untuk membangunkan negara.
2. Nilai cinta akan tanah air - Tiga sahabat menunjukkan
kecintaan akan negara dan mahu menjadi pemimpin pada masa akan datang.
3. Nilai baik hati - Makhluk Utopia baik hati dengan
menasihati dan memberi teguran kepada penduduk bumi.
Pengajaran
1. Kita hendaklah mengutamakan perpaduan kaum dan
mengamalkannya dalam hidup bermasyarakat seperti yang ditunjukkan oleh Salmah,
Chandran dan Chong.2. Remaja hendaklah memahami, menghayati dan mengamalkan nilai keagamaan dalam kehidupan.
3. Remaja hendaklah mempunyai rasa tanggungjawab dan memiliki jati diri yang kental.
4. Remaja hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan untuk membangunkan negara pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment