Thursday, April 24, 2014

Tajuk : Kesan Kemasukan Pendatang Asing dan Langkah-langkah Mengawal Kemasukan Pendatang Asing. Karangan Bahagian A. SPM


Saban hari kedatangan pekerja asing ke negara kita semakin meningkat bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Merujuk kamus, pekerja asing bermaksud tenaga kerja yang datang dari negara lain seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand, dan sebagainya. Negara kita dianggap sebagai lombong emas kerana negara kita mempunyai banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor pekerjaan seperti sektor pertanian, perkilangan, pembinaan dan perladangan. Dasar kerajaan yang membuka lebih luas peluang pelaburan dan memberi layanan serta kemudahan kepada pelabur asing untuk membina kilang mereka di negara ini turut merancakkan kedatangan mereka lagi. Walupun kehadiran mereka dapat membantu membangunkan ekonomi negara, namun terdapat beberapa kesan negatif apabila pekerja asing masuk ke negara kita secara tidak terkawal. Oleh yang demikian, langkah-langkah pengawalan harus diambil secara berkesan seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak terputus manakala tepung tidak berserak memandangkan hal ini melibatkan hubungan diplomatik antara negara.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa kemasukan pekerja asing menyebabkan peluang pekerjaan penduduk tempatan tersekat  berikutan dengan sikap majikan di negara ini yang gemar mengupah pekerja asing kerana kadar upah mereka jauh lebih murah berbanding mengupah pekerja-pekerja tempatan yang lebih mahal. Sikap tidak memilih pekerja haruslah wujud dalam peribadi pekerja tempatan. Jika mentaliti sedemikian diteruskan tanpa mengubah sebarang persepsi, hidup penduduk tempatan tersepit.  Sikap majikan yang ibarat peribahasa “kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan” akan memberi impak negatif kepada rakyat tempatan.  Buktinya, hampir 2.1 juta rakyat tempatan hilang peluang pekerjaan dan kadar pengangguran semakin meningkat dalam kalangan pekerja tempatan.

Sudah terang lagi bersuluh, kemasukan pekerja asing tanpa kawalan menyebabkan peningkatan kadar jenayah di negara ini.  Pelbagai jenayah akan dilakukan oleh pekerja tempatan berikutan tidak mempunyai gaji yang mencukupi dan tidak mempunyai pekerjaan. Tambahan pula, kos sara hidup pada era globalisasi ini semakin meningkat sebagai akibat kemelut ekonomi global. Kejadian pecah rumah, kecurian, rogol, rusuhan, dan lain-lain mungkin akan berlaku jika tiada sebarang usaha diimplementasikan oleh pihak kerajaan. Peningkatan kadar jenayah ini juga melibatkan pekerja asing yang masuk ke Malaysia tetapi tidak mendapat pekerjaan seperti yang diharapkan sedangkan mereka memerlukan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Buktinya, mantan Ketua polis Negara ( KPN) Tan Sri Musa Hassan mengakui pendatang asing yang melebihi 2.4 juta orang di negara ini menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.

Di samping itu, kemasukan pekerja asing ini juga turut memberi kesan terhadap ekonomi negara kita. Pengaliran keluar mata wang negara pada kadar yang banyak pada setiap bulan bakal merugikan negara dari segi tukaran wang asing dan menguntungkan negara asal pekerja asing ini. Sistem transaksi canggih di bank-bank negara kita menyumbang kepada proses pertukaran wang dapat dilakukan dengan mudah dan cepat serta perkhidmatan yang murah. Menurut statistik, sebanyak RM 9.124 juta telah dihantar ke negara asal pekerja asing antara bulan Januari hingga Jun setiap tahun.  Hal ini akan membebankan kewangan negara. Bukan itu sahaja, sebanyak RM1.169 juta digunakan sehari oleh kerajaan sebagai kos untuk penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI ) amat merugikan negara sekali gus mengganggu gugat  kerancakan ekonomi di negara kita.

Setiap penyakit ada penawarnya, begitu jugalah setiap masalah mempunyai jalan penyelesaiannya yang tersendiri. Jika masalah kemasukan pendatang asing ini ditangani secara efektif, pastinya kadar kemasukan pendatang asing ini mampu dikurangkan. Terdapat beberapa langkah yang dapat diimplementasikan oleh pihak kerajaan serta majikan. Pihak majikan khasnya, perlu mengehadkan kebergantungan kepada buruh asing kerana mampu menimbulkan pelbagai masalah sosial dan keselamatan. Pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu hendaklah mengikut sumber negara yang diluluskan kerajaan. Pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga asing di negara ini. Dengan mengehadkan penyertaan pekerja asing dalam sektor perladangan dan pembantu rumah, mudahlah rakyat serta pihak berkuasa mempersoal dan mengambil tindakan segera ke atas kehadiran rakyat asing yang tiada permit kerja dalam sektor-sektor yang ditetapkan oleh kerajaan. Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang haruslah dilakukan dengan lebih tegas. Sikap seperti melepaskan batuk di tangga tidak seharusnya diamalkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Hal ini kerana banyak pekerja asing terdiri daripada pendatang haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih tegas agar pendatang haram ini tidak berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan laut. Jika semua pihak yang berkenaan memainkan tanggungjawab secara berkesan, tidak mustahil masalah kemasukan pendatang asing dapat diatasi dari akar umbinya.

Tuntas bicara, walaupun kedatangan pekerja asing ini ada kebaikannya namun, pihak kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial demi kesejahteraan dan pembangunan negara kita selaras dengan wawasan 2020. Tanggungjawab ini bukan sahaja terletak pada bahu pihak kerajaan semata-mata sebaliknya menuntut kerjasama dan sokongan semua pihak. Sesungguhnya, peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni wajar diamalkan oleh semua pihak waima pihak kerajaan, majikan mahupun rakyat negara ini yang mempunyai peranannya yang tersendiri. Hal ini sangat penting bagi memastikan implikasi negatif akibat kemasukan pekerjaan asing secara berleluasa ke negara kita dapat diatasi melalui pelbagai langkah yang dirancang dan diimplementasikan secara bijak dan berkesan sekali gus dapat mencapai matlamatnya.

                                                                                                                        (830 patah perkataan)

 
(Aaron Avit Ajeng, 5 Sains Alamanda)

1 comment: