Thursday, April 24, 2014

Hukuman Rotan di sekolah (Karangan bahagian A) SPM


Hukuman Rotan di sekolah


Mutakhir ini, kemerosotan disiplin dalam kalangan pelajar semakin mencemaskan semua pihak. Hampir setiap hari, media massa seperti televisyen dan akhbar melaporkan kes salah laku yang melibatkan pelajar sekolah. Antaranya ialah gejala buli, vandalisme, ponteng sekolah, pergaduhan, melawan atau memukul guru dan pelbagai kesalahan lain. Dalam usaha hendak membendung gejala yang tidak sihat ini, pihak kementerian pelajaran telah mengambil langkah untuk melaksanakan semula hukuman rotan di sekolah. Namun persoalannya, sejauh manakah hukuman rotan ini akan memberikan impak yang baik memandangkan terdapat segelintir daripada ibu bapa yang tidak bersetuju dengan pelaksanaannya?

Ghalibnya, pelaksanaan hukuman rotan dilihat berkesan sebagai langkah untuk menangani masalah pelanggaran disiplin dalam kalangan pelajar. Sehingga kini, banyak pelajar yang berani melakukan kesalahan kerana mereka sedar bahawa guru tidak mempunyai kuasa untuk menghukum mereka dengan cara merotan. Jadi, ada antara mereka yang berani mencabar kuasa guru dan melanggar peraturan sekolah. Oleh itu, hukuman rotan ini akan mendatangkan ketakutan kepada pelajar lebih-lebih lagi jika dilaksanakan di khalayak ramai seperti semasa perhimpunan. Dengan itu, pelajar akan takut dan sedar bahawa pihak sekolah serius terhadap masalah disiplin yang berlaku di sekolah. Perasaan gerun dan sikap waspada ini akan menyebabkan pelajar lebih mematuhi peraturan sekolah. Secara tidak langsung, kes disiplin di sekolah dapat dikurangkan dengan pelaksanaan hukuman ini.


Bukan itu sahaja, hukuman rotan juga dapat memberi pengajaran kepada pelajar. Seperti kita sedia maklum, hukuman rotan ini memang penting untuk menjinakkan pelajar yang degil dan keras kepala. Hal ini kerana tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelajar yang jahat dan nakal, malah tidak mempedulikan teguran atau nasihat guru. Oleh yang demikian, mereka wajar dirotan kerana tindakan ini akan menyebabkan mereka berasa malu dan takut serta serik untuk mengulangi perbuatan yang melanggar peraturan sekolah. Tegasnya, hukuman rotan ini menjadi pelengkap kepada asuhan ibu bapa dan peringatan kepada pelajar untuk menghormati guru serta mematuhi peraturan sekolah.

Selain itu, hukuman rotan juga dilihat mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan selamat. Hal ini kerana, kebanyak pelajar suka membuat bising, terutamanya dalam kelas yang lemah. Sebagai akibatnya, proses pembelajaran akan terganggu. Pelajar yang  lain tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru. Sekiranya nasihat dan teguran secara lembut tidak mendatang kesan, maka hukuman rotan ini dapat mengubah keadaan. Hal ini jelas apabila pelajar yang nakal ini dirotan, keadaannya biasanya menjadi lebih terkawal. Suasana pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih kondusif dan efektif malah para pelajar dapat belajar dengan tenang.

Tuntasnya, saranan kementerian untuk melaksanakan semula hukuman rotan di sekolah sebagai prakarsa untuk membendung masalah disiplin dalam kalangan pelajar wajar disokong oleh semua pihak. Ibu bapa tidak seharusnya cepat melatah dan terburu-buru membantah pelaksanaan hukuman ini sebaliknya menilainya dari sudut yang positif. Namun, para guru diingatkan untuk bertindak secara bijak agar tidak menyalahgunakan hukuman rotan ini dan bertepatan dengan tujuan pelaksanaannya.                      

No comments:

Post a Comment