“Kita tidak mewarisi alam sekitar
daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan
datang”. Begitulah kata Mahatma Gandhi, seorang pemimpin India yang tersohor. Kata-kata
beliau sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar adalah harta yang paling
berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Terima kasih diucapkan kepada nakhoda
pimpinan majlis yang berwisi, Tuan pengerusi majlis yang dihormati, kombinasi
kehakiman yang berintergriti, seterusnya sidang hadirin yang dikasihi. Salam
sejahtera dan salam perpaduan 1Malaysia. Berdirinya saya di sini dengan penuh
iltizam ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para
sarjana malAlui mauduk pidato yang berbunyi “Pengurusan Sisa Pepejal”.
Sebelum kaki mengorak langkah, lidah
mengalun bicara saya akan mewartakan dengan lebih jelas pendefinisian “Sisa
Pepejal”. Mengikut Akta 672 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam
2007, sisa pepejal ditakrifkan sebagai apa-apa bahan sekerap atau benda
lebihan lain yang tidak dikehendaki atau keluaran yang ditolak yang timbul
daripada penggunaan apa-apa proses; apa-apa benda yang dikehendaki dilupuskan
kerana sudah pecah, lusuh, tercemar atau selainnya rosak; atau apa-apa bahan
lain yang mengikut Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain
dikehendaki oleh pihak berkuasa supaya dilupuskan, tetapi tidaklah termasuk
buangan terjadual sebagaimana yang diperihalkan di bawah Akta Kualiti Alam
Sekeliling 1974 [Akta 127], kumbahan sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta
Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] atau sisa radioaktif sebagaimana yang
ditakrifkan dalam Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 [Akta 304]. Walau
bagaimanapun, secara ringkasnya, sisa pejal boleh ditakrifkan sebagai apa-apa bahan yang tidak dikehendaki
oleh penciptanya dalam bentuk bukan gas dan bukan cecair yang terhasil dari
aktiviti harian oleh komuniti kediaman, komersil dan sektor perindustrian.
Hadirin sekalian,
Sudah terang lagi bersuluh, kita tidak dapat menafikan bahawa Malaysia
merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun dari segi pembangunannya
dan juga perkembangan ekonominya sejajar dengan arus globalisasi dan modenisasi
dunia hari ini. Pertumbuhan pesat penduduk bandar yang disebabkan oleh migrasi
luar bandar ke bandar dan pertumbuhan semula jadi serta perubahan corak kepenggunaan
telah menyumbang kepada peningkatan dalam penghasilan dan komposisi sisa pepejal
di negara ini khususnya di bandar-bandar. Hasil dapatan daripada Alam Flora,
jumlah sisa yang dihasilkan oleh penduduk bandar pada tahun 2000 adalah
sebanyak 11,940 tan sehari atau 0.8 kilogram per kapita sehari. Lantaran itu, jumlah
sisa pepejal yang besar ini telah memberi tekanan kepada tapak pelupusan sedia
ada, dan sebahagian besar daripada kawasan pelupusan yang dikelaskan sebagai
tapak pelupusan bukan sanitari atau tapak pembuangan sisa terbuka.
Hadirin pencinta alam yang berwisi,
Dalam memastikan pengurusan
sisa pepejal dapat dilaksanakan dengan berkesan dan efektif, Dasar Pengurusan
Sisa Pepejal Negara (DPSPN) telah diwujudkan
oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Antara matlamat
penubuhannya adalah untuk mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal
yang menyeluruh, bersepadu, kos efektif, mapan dan diterima masyarakat yang mementingkan
pemeliharaan alam sekitar, pemilihan teknologi yang mampu bayar dan menjamin
kesihatan awam; dan melaksanakan pengurusan sisa pepejal berdasarkan “waste
management hierarchy” yang memberi keutamaan kepada pengurangan sisa melalui
3R, rawatan perantaraan dan pelupusan akhir yang akan dicapai melalui enam
teras yang telah digariskan iaitu pengurangan sisa pepejal melalui 3R, perkhidmatan
PSP yang menyeluruh, seragam, efisien, berkualiti dan kos efektif , pewujudan
undang-undang dan peraturan dan institusi, penyampaian perkhidmatan PSP melalui
kaedah penswastaan, teknologi yang mesra alam dan selamat, kos yang efektif,
terbukti dan keutamaan kepada teknologi tempatan serta pendidikan awam dan
program kesedaran yang melibatkan semua pihak.
Pendengar yang penuh santun,
Harus dikejut mana yang lena,
Harus ditegur mana yang alpa,
Sebelum manusia ditimpa bencana,
Sebelum alam mulai bicara.
Dalam konteks ini, semua pihak
haruslah bekerjasama dalam usaha memastikan segala prakarsa yang dirancang
mampu ditarbiahkan dengan baik bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga atau
semata-mata angan-angan Mat Jenin. Oleh yang demikian, sikap seperti enau dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing tidak seharusnya menjadi pegangan hidup
sebaliknya semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dengan efisien.
Kita tidak seharusnya memandang enteng hal pengurusan sisa pepejal kerana jika
tidak diuruskan dengan bijak kita bukan sahaja mengancam alam sekitar sebalikya
kehidupan manusia juga turut terancam. Oleh itu hadirin sekalian, janganlah
kita bersikap nafsi sebaliknya bukalah mata dan minda sama-sama kita memulakan
anjakan paradigma dengan bersama-sama mengambil langkah dengan menguruskan sisa
pepejal secara berkesan. Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum nanah bertukar
menjadi barah, kita haruslah sedar bahawa sedikit perubahan yang kita lakukan pada
hari ini mampu memberi impak yang besar kepada kesejahteraan hidup generasi
akan datang.
Hadirin sekalian,
Persoalannya, untuk mengejar
secangkir kemajuan, haruskah alam menjadi taruhan? Tepuk dada tanya minda,
tepuk dahi fikirlah sendiri. Ingatlah bahawa tanggungjawab menjaga alam ini
adalah tanggungjawab kita bersama bukannya terletak atas bahu satu pihak
sahaja. Persis mutiara kata, tiada gunung yang tidak dapat didaki, tiada lurah
yang tidak dapat dituruni, masalah pengurusan sisa pepejal juga mampu diatasi
jika semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya bak kata pepatah Melayu, bulat
air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Sebelum kata mengunci bicara,
sebelum langkah mengundur pergi, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun
yang sungguh bererti buat renungan kita semua,
Sungguh enak makan lepat,
Dihidang dalam piring kaca,
Janganlah lupa harus diingat,
Menjaga alam tanggungjawab bersama.
Berjalan-jalan ditepi sawah,
Bila berjalan haruslah berhati,
Alam dijaga supaya indah,
Untuk warisan semua generasi.
Sekian terima kasih.
No comments:
Post a Comment