Kempen-kempen untuk memberikan
kesedaran kepada rakyat tentang kebaikan membaca perlu diteruskan dan
dipelbagaikan kerana banyak kebaikannya. Bincangkan kebaikan membaca kepada
semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja.
Pada era globalisasi ini, pendidikan dalam semua lapisan
masyarakat semakin penting dan diutamakan. Walaupun pelbagai usaha telah
dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memupuk amalan membaca namun, budaya
membaca dalam masyarakat masih rendah lagi. Melalui pembacaan, seseorang dapat
memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan yang secara tidak langsung dapat membantu
memajukan negara. Dengan ini, isu budaya membaca dalam kalangan masyarakat
tidak boleh dipandang ringan. Jika budaya tersebut dibiarkan begitu sahaja
hasrat masyarakat untuk menjadikan negara kita negara maju pasti akan
terganggu. Pengamalan budaya membaca dalam kalangan masyarakat akan
mendatangkan pelbagai faedah terhadap diri kita. Oleh itu, semua lapisan
masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca kerana membaca merupakan
jambatan ilmu.
Memang tidak
dapat dinafikan bahawa dengan membaca, seseorang akan dapat menambahkan ilmu
pengetahuan. Hal ini kerana terdapat berbagai-bagai maklumat termasuk isu
semasa dan pengetahuan tentang kehidupan harian yang terdapat di dalam buku,
majalah dan surat khabar. Terdapat banyak bahan bacaan telah dipasarkan di
pasaran. Ibu bapa haruslah sanggup membelikan bahan bacaan yang sesuai untuk
anak-anak dan diri sendiri. Dengan membaca, seseorang dapat meneroka pelbagai
ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan kerana bangsa membaca bangsa
berjaya. Dalam konteks ini, sewajarnya masyarakat rajin berusaha dalam memupuk
amalan membaca dan seterusnya menjayakan kempen-kempen yang telah dianjurkan
oleh kerajaan tentang amalan membaca. Pembacaan yang luas juga dapat memupuk
nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Oleh itu, masyarakat hendaklah rajin
membaca supaya dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
Selain itu,
membaca akan membantu menambahkan perbendaharaan kata yang kita miliki. Hal ini
kerana dengan membaca kita akan menemukan pelbagai jenis perkataan baharu. Jika
kita membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang Sains kita akan
mengenali lebih banyak istilah atau kosa kata baharu dalam bidang berkenaan
seperti Anemia dan X-ray malah, apabila seseorang telah mengenali banyak
perbendaharaan kata, mereka akan dapat bertutur dengan lancar dalam bahasa
berkenaan. Bukan itu sahaja, seseorang individu itu juga akan dapat menguasai
sesuatu bahasa dengan mudah. Penguasaan perbendaharaan kata sangat berguna
dalam menongkah arus globalisasi kini. Persaingan antara masyarakat dalam
pelbagai disiplin ilmu juga akan menjadi lebih mudah. Dengan ini, kita haruslah
rajin membaca supaya dapat menambahkan perbendaharan kata dalam minda kita.
Tambahan pula,
budaya membaca dapat membantu pelajar lulus dengan keputusan yang cemerlang.
Hal ini demikian kerana pembacaan bahan bacaan yang banyak dapat menambahkan
pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran. Terdapat juga mata pelajaran
tertentu yang memerlukan pembacaan yang banyak. Sebagai contoh, Bahasa Melayu,
Bahasa Inggeris dan Sejarah. Mata pelajaran tersebut memerlukan pembacaan yang
luas kerana kita akan dapat maklumat atau isu semasa yang amat berguna dalam
penulisan esei. Pembacaan boleh dilakukan di perpustakaan mahupun di rumah.
Dengan ini, perpustakaan hendaklah dinaik taraf dengan kemudahan yang lebih
selesa seperti meja, kerusi, penghawa dingin dan kemudahan ICT supaya
pelajar-pelajar dapat menjalankan pembacaan mereka dalam keadaan yang kondusif.
Secara eksplisit, pelajar akan mengingati lebih banyak ilmu pengetahuan
daripada bahan bacaan tersebut. Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang
rajin membaca. Oleh itu, semua pelajar hendaklah menjadikan tabiat membaca
sebagai rutin harian agar mendapat keputusan yang cemerlang.
Tidak dapat
dinafikan bahawa membaca juga dapat memenuhi masa lapang kita. Masa lapang
ialah masa senggang antara dua pekerjaan. Masa lapang perlu diisi dengan
perkara yang berfaedah. Kita boleh menjadikan amalan membaca sebagai hobi kita.
Selain membaca, kita boleh menjadikan perkara lain sebagai hobi sekiranya
perkara itu berfaedah. Terdapat 24 jam diperuntukkan kepada seseorang, namun
masa yang singkat itu sememangnya tidak cukup untuk kita melaksanakan pelbagai aktiviti.
Dengan ini, kita haruslah menggunakan masa lapang dengan efisien kerana masa
itu emas. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai masa untuk membaca, mereka
boleh membaca ketika menunggu bas. Oleh itu, sebagai insan yang begitu
mengutamakan masa mereka seharusnya mengisi masa dengan amalan membaca.
Di samping itu,
budaya membaca dapat membantu memajukan negara. Hal ini demikian kerana
tokoh-tokoh yang pakar dalam bidang tertentu dapat membantu meningkatkan
ekonomi negara kita. Lanjutan itu, negara kita dapat membangun dengan pesat.
Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan banyak ciptaan
baharu direka. Sebagai contoh, negara Jepun yang maju dalam bidang sains dan
teknologi telah mencipta pelbagai jenis barangan yang berfungsi secara automatik.
Membaca akan menambahkan ilmu pengetahuan kita dan ilmu-ilmu yang diperoleh ini
bolehlah digunakan dalam memajukan sektor-sektor tertentu seperti sektor
pelancongan. Apabila sektor-sektor dibangunkan, ekonomi negara kita akan pesat
membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Ghalibnya, negara kita akan
layak bersaing dengan negara maju yang lain. Kemajuan negara pula perlu
disusuli dengan budaya menulis buku. Oleh itu, kita hendaklah rajin membaca
supaya tanah air kita dapat dibangunkan dan dimajukan persis mutiara kata duduk
sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara maju di persada dunia
Secara
tuntasnya, budaya membaca mendatangkan banyak faedah kepada individu mahupun
negara. Melalui amalan membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan
kita. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang
mendapat keputusan yang cemerlang malah dapat memajukan negara. Walaupun pada
hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca
namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai
tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca. Hal ini disebabkan
budaya membaca perlu dipupuk sejak anak-anak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Ibu bapa juga bertanggungjawab menjadi suri teladan kepada
anak-anak dengan banyak membaca buku. Selain itu, pihak kerajaan perlu
menyediakan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca
dengan selesa. Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat bukannya sekadar
melepaskan batuk di tangga. Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat
dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu,
semua orang wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar
masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan sekali gus kita merealisasikan
Wawasan 2020.
No comments:
Post a Comment