Thursday, April 24, 2014

Kepentingan Internet Dalam Bidang Pendidikan. Karangan Bahagian B. SPM


Pada  zaman serba canggih ini, kemudahan internet merupakan satu kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang amat diperlukan oleh masyarakat zaman sekarang. Internet amat berguna dalam melakukan tugas-tugas harian terutamanya bagi mereka yang ingin menyelesaikan urusan-urusan penting mereka dalam kaedah yang cepat dan mudah serta menjimatkan kos. Pengguna Internet di Malaysia telah meningkat sekali ganda daripada tahun lalu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dengan kebanyakan pengguna berusia dalam lingkungan 15 hingga 25 tahun. Berdasarkan kajian yang dibuat, rakyat Malaysia membelanjakan sebanyak RM552 setahun dengan bayaran internet sebanyak RM46 sebulan. Kini,penggunaan internet tidak hanya terhad di tempat kerja sahaja malah institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti turut menggunakan internet sbagai salah satu kaedah pembelajaran bagi para pelajarnya. Penggunaan membolehkan bidang pendidikan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dunia dan peredaran zaman sekali gus melonjakkan status pendidikan di Malaysia ke arah yang lebih tinggi setaraf dengan pendidikan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom secara holistik. Persoalannya, apakah kepentingan-kepentingan Internet kepada bidang pendidikan terutamanya di Malaysia?

 
Kata-kata hikmat ada menyatakan bahawa “ilmu itu luas dan tiada sempadan”. Baru-baru ini, berita di televisyen telah menyiarkan lawatan Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin ke sebuah sekolah berprestasi tinggi di Alabama, Amerika Syarikat. Semasa lawatan beliau ke sekolah tersebut, beliau telah meninjau sebuah kelas yang menggunakan aplikasi internet sebagai sumber pembelajarannya. Para pelajar di dalam kelas tersebut hanya perlu mendengar penerangan daripada guru dan mampu mencari maklumat dalam pelbagai laman web yang dipaparkan dengan hanya satu klik sahaja. Hal ini menunjukkan bahawa internet mampu menyediakan kepelbagaian maklumat termasuk maklumat yang tidak disediakan dalam buku kepada para pelajar. Dengan ini, para pelajar mampu menyediakan bahan berlainan untuk aktiviti pembelajaran di dalam kelas seperti pembentangan dalam masa yang singkat.

Pada masa dahulu, buku teks dianggap sebagai sumber pembelajaran yang penting di dalam kelas.Kini,mentaliti pelajar zaman sekarang amat berbeza jika dibandingkan dengan pelajar zaman dahulu. Pelajar zaman sekarang menganggap buku teks menyusahkan mereka kerana mereka terpaksa menjinjing beg sekolah yang sarat dengan buku teks sepanjang sesi persekolahan. Keadaan ini menyebabkan terdapat segelintir pelajar lebih rela meninggalkan buku-buku teks mereka di rumah sekali gus menyebabkan mereka melanggar peraturan sekolah yang telah ditetapkan. Seperti yang kita tahu,tidak semua pelajar gemar membaca melalui buku kerana masa mereka banyak dihabiskan di hadapan komputer. Di samping itu, terdapat pelajar yang menggunakan aplikasi internet seperti e-book sebagai sumber bacaan kerana aplikasi ini menyediakan perkhidmatan yang percuma dan cepat kepada pembaca jika dibandingkan dengan pembaca terpaksa ke kedai buku untuk membeli buku  rujukan selain harga buku juga dijual mengikut jenis buku tersebut.

Selain itu, penggunaan internet memboleh perkongsian maklumat antara pelajar. Projek Jaringan Pendidikan(JP) di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran dan MIMOS merupakan salah satu aktiviti  dalam program Komputer Dalam Pendidikan oleh Kementerian Pelajaran.Projek ini mampu meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia kepada taraf yang lebih tinggi. Di samping itu, penggunaan aplikasi seperti e-mel membolehkan segala maklumat yang ingin dikongsi oleh para pelajar dan guru dapat dikirim dengan lebih cepat dan mudah. Menurut kenyataan salah seorang pengkaji penggunaan internet, Dr.Jane Lasarenko, kebaikan utama penggunaan e-mel adalah dapat menanam semangat belajar yang tinggi dalam kalangan pelajar dalam setiap pembelajaran mereka. Bukan itu sahaja,para pelajar tidak akan ada alasan lagi untuk tidak menghantar kerja rumah mereka pada hari yang ditetapkan kerana aplikasi e-mel ini memudahkan urusan pembelajaran antara murid dan guru menjadi senang malah hubungan murid dan guru dapat dieratkan.

Internet juga membolehkan para pelajar dan guru untuk mengetahui dan mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Misalnya pembangunan laman web sekolah mampu dijadikan sebagai alternatif untuk menyalurkan segala maklumat mengenai sekolah kepada semua pihak. Selain itu,laman web sekolah juga membolehkan ibu bapa untuk mendapatkan segala maklumat berkaitan dengan anak-anak seperti rekod disiplin, akademik dan juga kokurikulum. Ibu bapa hanya perlu melanggan laman web sekolah ataupun menggunakan e-mel untuk berhubung terus dengan guru. Secara tidak langsung, hubungan antara ibu bapa dengan pihak sekolah dapat ditingkatkan.Ibu bapa tidak akan ada alasan lagi untuk tidak berkunjung ke sekolah dengan alasan sibuk untuk mendapatkan perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Oleh yang demikian, masalah disiplin pelajar yang memerlukan kerjasama pihak sekolah dan ibu bapa dengan mudahnya dapat ditangani.

Guru-guru boleh menggunakan internet sebagai bahan bantu mengajar di dalam kelas.Internet mempunyai pelbagai komponen pengajaran seperti grafik,animasi atau audio visual.Dengan adanya kepelbagaian komponen pengajaran ini,sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi seronok dan mampu meningkatkan minat belajar yang tinggi dalam diri para pelajar.Guru-guru juga mampu mengakses pelbagai jenis bentuk latihan dan soalan untuk para pelajar mereka terutamanya bagi para pelajar yang bakal memduduki peperiksaan awam yang patut didedahkan dengan pelbagai bentuk soalan peperiksaan bagi menyiapkan diri mereka untuk peperiksaan yang bakal dihadapi. Maka,guru-guru tidak perlu berjumpa dengan pihak pentadbiran sekolah ataupun pihak penjual buku bagi mendapatkan buku yang diperlukan oleh guru dan para pelajar.

Kesimpulannya, peranan semua pihak amat penting dalam memastikan bidang pendidikan di Malaysia tidak ketinggalan  dalam arus pemodenan agar negara kita mampu membangun dengan kemahiran dan ilmu yang dimiliki oleh rakyat kita sendiri. Oleh yang demikian,impian kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020 akan tercapai sekali gus mampu melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan tinggi selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara iaitu masyarakat Malaysia yang terlatih dalam pelbagai kemahiran bagi melahirkan tenaga manusia yang produktif, berinisiatif dan berinovatif untuk mentadbirkan alam bagi meningkatkan daya pengeluaran ke arah pembangunan negara.

 

 
(837 patah perkataan)

Disediakan oleh:

Sabrina Sambai Ak Indang

5 Sains Alamanda 2013

No comments:

Post a Comment