Thursday, April 24, 2014

Faedah-faedah yang diperoleh melalui amalan berjimat cermat. Karangan Bahagian A. SPM


Sempena Hari Pengguna 2010, Perdana Menteri kita telah menyeru rakyat agar berjimat cermat dalam segala aspek kehidupan demi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Beliau juga menasihati rakyat agar ingat sebelum kena, jimat sebelum habis agar tidak menyesal kemudian hari. Rakyat juga digesa agar tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu ketika membeli-belah kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa. Pada hemat saya, pandangan Perdana Menteri ini sewajarnya direnungi kerana banyak faedahnya jika amalan berjimat cermat dijadikan agenda utama dalam kamus hidup kita.

Melalui amalan berjimat cermat, perbelanjaan harian dapat dikurangkan. Hal ini demikian kerana kita membandingkan harga barang-barang yang hendak kita beli dan membeli barangan buatan tempatan yang lebih murah harganya. Barang yang berkualiti dan mahal juga eloklah dibeli kerana alah membeli, menang memakai. Kasut sekolah Bata, misalnya, bukan sahaja tahan lama bahkan berbaloi. Pemakaian kasut ini memberikan keselesaan dan kepuasan. Dengan cara ini, bukan sahaja perbelanjaan harian dapat dijimatkan bahkan kebahagiaan terjamin.

Amalan berjimat cermat juga dapat menambah simpanan kita. Apabila kita menjimatkan perbelanjaan, wang yang dihematkan dan ditabungkan di institusi kewangan akan meningkat, bak kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Wang simpanan ini amat berguna ketika menghadapi waktu kecemasan seperti hendak menjalani pembedahan.  Menurut Dato’ Michael Chong, kita tidak perlu “mengemis” dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh dan menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. Tegasnya, bukan sekadar wang tabung kita bertambah malah kesenangan hidup terpelihara.

Seterusnya, amalan berhemat dalam pengurusan kewangan akan mendidik seseorang individu untuk berdikari.  Kita tidak perlu bersandar pada ibu bapa ataupun pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi mengongkosi pengajian kita di menara gading nanti.  Dewasa ini, banyak pelajar cemerlang yang menggantungkan harapan pada biasiswa tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN.  Apabila gagal beroleh bantuan kewangan, mereka pun seolah-olah langit runtuh, bumi cair ataupun kaca terhempas ke batu. Jadi, kita patut berjimat cermat untuk berdikari agar hidup kita lebih damai dan sejahtera.

Intihanya, cermat masa banyak, jimat masa sedikit. Kita hendaklah menghayati pesanan agama kita, yakni ingat akan kesakitan ketika sihat; ingat akan ketuaan usia ketika muda; ingat akan kematian ketika hidup; dan ingat akan kepapaan ketika kaya seandainya kita hendak bahagia sepanjang hayat. Sehubungan ini, ibu bapa berperanan sebagai cermin perbandingan yang positif kepada si anak, dan bukannya seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan terpupuknya nilai positif ini dalam lubuk kalbu generasi muda, mereka akan senantiasa mampu memberi dan tidak akan meminta.

 

 

No comments:

Post a Comment