Thursday, April 24, 2014

Kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah dalam kalangan generasi muda. Karangan bahagian A. SPM


         Pada masa ini, mata pelajaran Sejarah bukanlah suatu mata pelajaran yang asing kepada para pelajar. Sejak dari tingkatan satu, pelajar sudah mula berkenalan dengan mata pelajaran ini. Tambahan pula mata pelajaran Sejarah telah diwajibkan lulus bagi semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013. Walau bagaimanapun, terdapat murid yang menunjukkan perasaan tidak puas hati terhadap pelaksanaan tersebut kerana beranggapan bahawa Sejarah merupakan suatu mata pelajaran yang susah dan membosankan walhal banyak faedah yang dapat diperoleh melalui pembelajaran mata pelajaran ini. Persoalannya, apakah kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah khususnya dalam kalangan generasi muda?
        Dengan mempelajari mata pelajaran Sejarah, generasi muda dapat memperoleh banyak pengajaran. Hal ini demikian kerana dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang dinyatakan mengandungi pelbagai pengajaran yang tersirat. Sebagai contoh, peristiwa Tanah Melayu dijajah dan ditindas oleh penjajah British memberi pengajaran kepada generasi muda supaya jangan terlalu mudah mempercayai orang asing. Orang British digambarkan dengan licik dan jahat pada masa itu kerana sanggup menggunakan tipu muslihat atau taktik kotor untuk meluaskan kawasan jajahan mereka di tanah air kita. Justeru, generasi muda perlulah sentiasa ingat akan pengajaran tersebut dan tidak mengulanginya pada masa akan datang bagi mengelakkan peristiwa yang sama berulang lagi.
        Dalam pada itu, perpaduan antara kaum akan dapat dicapai melalui pembelajaran mata pelajaran Sejarah dalam kalangan generasi muda. Tamsilnya, semasa Tingkatan 3, para pelajar akan mempelajari peristiwa Tanah Melayu mendapatkan kemerdekaan. Dalam perjuangan tersebut, penduduk Tanah Melayu yang  terdiri daripada pelbagai kaum tanpa mengira warna kulit sanggup mengetepikan semangat kenegerian demi mendapatkan kemerdekaan bagi tanah air yang tercinta. Mereka telah bekerjasama bagai aur dengan tebing dan tidak mudah menyerah kalah. Perkara ini cukup membuktikan bahawa betapa pentingnya semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dalam kemajuan negara sekali gus dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020.
        Pada masa yang sama, semangat cinta akan negara turut dapat dipupuk dalam diri generasi muda. Generasi muda seharusnya mengingati jasa dan sumbangan tokoh-tokoh tanah air seperti Tunku Abdul Rahman. Jasa beliau patut dikenang oleh semua rakyat Malaysia kerana tanpa beliau, tidak mungkin kita dapat menikmati kemakmuran dan kedamaian di negara kita sendiri. Oleh itu, semangat nasionalisme dapat dipupuk dalam jiwa generasi muda malah mereka akan sentiasa bersyukur dan memberi penghargaan terhadap pengorbanan pejuang tanah air terdahulu seterusnya menghindarkan generasi muda daripada bersikap seperti kacang lupakan kulit.
        Secara tuntas, mata pelajaran Sejarah sangat penting bagi generasi muda. Selain itu, banyak faedah boleh diperoleh melalui mata pelajaran Sejarah. Generasi muda tidak sepatutnya mempunyai anggapan bahawa Sejarah sesuatu yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk minat anak dalam mata pelajaran Sejarah. Minat tersebut harus dipupuk sejak mereka kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun, kerjasama semua pihak dituntut dalam usaha memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat yang telah ditetapkan kerana sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing hanya mendatangkan kerugian sebaliknya peribahasa bukit sama didaki lurah sama dituruni wajar dijadikan panduan.

Oleh : Chee Fei San (4 Sains Alamanda)

3 comments: