Thursday, April 24, 2014

RUKUN NEGARA AMALAN HIDUP RAKYAT MALAYSIA


(Tempat ketiga Pertandingan Pidato Antara Sekolah Menengah Bahagian Miri 2013)

Oleh : Ramlah Ak Baro, 5 Sains Alamanda

“Kepercayaan kepada Tuhan,Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan,Kedaulatan undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.” Lima prinsip Rukun Negara yang diwujudkan ini adalah dibentuk berdasarkan acuan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan juga agama.Memetik kata-kata mantan perdana menteri kedua Malaysia,Tun Abdul Razak Hussein “Rahsia kesempurnaan Rukun Negara adalah pada amalannya.Tanpa amalan Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna.”
Terima kasih diucapkan kepada nakhoda pimpinan majlis yang berwisi,Tuan pengerusi majlis yang dihormati,kombinasi kehakiman yang berintergriti,seterusnya sidang hadirin yang dikasihi.Salam sejahtera dan salam perpaduan 1Malaysia.Berdirinya saya disini dengan penuh iltizam,ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana malelui mauduk pidato yang berbunyi “Rukun Negara Amalan Hidup Rakyat Malaysia”
Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara saya mewartakan dengan lebih jelas pendefinisian Rukun Negara. Rukun negara adalah satu ideologi negara yang mengandungi prinsip-prinsip kehidupan bermasyarakat, nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi aspek keagamaan,kebudayaan,ekonomi,politik dan perundangan.
Hadirin yang penuh santun,
Rukun negara terbentuk ekoran daripada peristiwa 13Mei 1969 setelah berlaku rusuhan kaum yang menggugat keamanan dan keutuhan negara.Hasil pemikiran Majlis Perundingan Negara(MPN) yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Hussein maka lahirlah Rukun Negara sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat yang bersatu padu, adil dan harmoni.

Menurut Tun Abdul Razak “Adalah mustahak Rukun Negara bukan sahaja difahami oleh setiap rakyat , tetapi juga diamalkan dengan sepenuhnya dan segala hikmat-hikmat yang terkandung di sebalik tiap-tiap perkataan dan kalimat Rukun Negara itu benar-benar menjadi darah daging”.Oleh itu bagi merungkaikepentingan rukun negara dan membuktikan kemampuannya,5 perspektif hujah saya unjurkan.
Hadirin sekalian,
Hijab pidato ini saya buka dengan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan.Albert Einstein pernah berkata, “agama tanpa ilmu itu lumpuh, ilmu tanpa agama itu buta”.Nah,terbuktilah bahawa agama amat penting dalam kehidupan manusia. Agama dijadikan pegangan utama rakyat Malaysia kerana ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang,sesuatau bangsa dan juga negara.Perlembagaan persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan bebas di negara kita sekaligus membuktikan bahawa rakyat negara ini mengamalkan sikap toleransi yang tinggi kerana tidak membeza-bezakan warganya.
Pendengar yang penuh santun,
Hujah saya yang kedua di bawah lembayung kata Prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan negara amat penting diamalkan bagi melahirkan rakyat yang taat setia kepada pemerintah dan negara. Setiap warganegara haruslah menumpukan sepenuh taat setia kepada raja dan negara kerana Raja lambang perpaduan negara.sumpah taat setia kepada raja dapat mengelakkan sesetengah rakyat di negara ini menggunting dalam lipatan atau menangguk di air yang keruh demi kepentingan diri sendiri.perkara buruk seperti rusuhan kaum dapat dielakkan jika rakyat mematuhi prinsip kedua ini sekaligus menjamin kestabilan negara yang berterusan.
Keluhuran perlembagaan adalah prinsip ketiga dalam rukun negara.Prinsip ini menekankan perlunya rakyat menerima,mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan perlembagaan negara keran perlembagaan negara merupakan sumber perundangan yang tertinggi.Rakyat perlu sedar bahawa Perlembagaan negara berfungsi untuk melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara.Nah,sudah terang lagi bersuluh,sudah tentulah setiap pesalah akan dikenakan tindakan tanpa mengira darjat dan sebagainya.
Hadirin sekalian,
Beralih kita kepada hujah saya yang keempat adalah bedasarkan Prinsip kedaulatan undang-undang.Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman,stabil dan makmur sekaligus menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan lancar dan teratur tanpa sebarang kekacauan.Hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang dan perkara-perkara seperti mana yang dijamin oleh perlembagaan.Sesiapa pun yang didapati bersalah akan mendapat hukuman yang setimpal bertepatan dengan aforisme, “ular dipukul jangan mati,kayu pemukul jangan patah,tanah dipalu jangan lembang.
Kesopanan dan kesusilaan adalah prinsip terakhir dalam rukun negara selaras dengan hujah saya yang terakhir pada hari ini.Prinsip ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang yang bertujuan untuk membentuk warganegara yang bersopan santun dan bersusila.Pengamalan prinsip ini membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini mengamalkan sikap saling menghormati dan menjaga hubungan baik antara satu sama lain. Justeru,tidak wajar sesuatu kaum membangkitkan isu yang dianggap sensitif agar ketenteraman rakyat sentiasa terpelihara.
Tidak hairanlah hadirin sekalian, jika suatu hari nanti generasi akan datang saling mengejek antara kaum, saling membenci antara agama dan saling menghina antara bangsa,jika kita sendiri tidak mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kehidupan kita. Bahkan jangan kita terkejut sekiranya peristiwa 13 Mei 1969 berulang kembali jika kita bersikap nafsi. Oleh itu hadirin sekalian, bukalah mata dan minda sama-sama kita memulakan anjakan paradigma dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai panduan hidup kita. Persoalannya, untuk mengejar harta duniawi, haruskah kepentingan negara menjadi taruhan? Tepuk dada tanya minda, tepuk dahi fikirlah sendiri.
Hadirin yang berwisi,
Sebelum kata mengunci bicara, sebelum langkah mengundur pergi,ingin saya simpulkan pidato saya dengan merenung ucapan yang disampaikan pada Perhimpunan Bergerak kaum Ibu dan Pemuda UMNO pada 22 Januari 1971,
“kerajaan amat berharap bahawa rakyat negara ini akan menjunjung tinggi Perlembagaan negara kita dan juga menjunjung tinggi dan mengamalkan prinsip-prinsip rukun negara. Saya yakin dan percaya dengan izin Tuhan jika kita patuh kepada kedua-dua ini,rakyat negara ini akan damai dan kita terus menjadi negara yang kukuh dan bersatu serta makmur.
Sekian terima kasih, srikandi mohon permisi.

 

Usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Karangan Bahagian B. SPM


Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung bersama-sama oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan terus subur dan mewangi dalam kehidupan masyarakat sekali gus mengelakkan peristiwa hitam 13 Mei 1969 daripada berulang kembali.

Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan “Negara Bersih Rakyat Sihat”. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Hari Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.
 
Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.

Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum, nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai.

TEKS PIDATO PENGURUSAN SISA PEPEJAL



“Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang”. Begitulah kata Mahatma Gandhi, seorang pemimpin India yang tersohor. Kata-kata beliau sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar adalah harta yang paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Terima kasih diucapkan kepada nakhoda pimpinan majlis yang berwisi, Tuan pengerusi majlis yang dihormati, kombinasi kehakiman yang berintergriti, seterusnya sidang hadirin yang dikasihi. Salam sejahtera dan salam perpaduan 1Malaysia. Berdirinya saya di sini dengan penuh iltizam ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana malAlui mauduk pidato yang berbunyi “Pengurusan Sisa Pepejal”.

Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara saya akan mewartakan dengan lebih jelas pendefinisian “Sisa Pepejal”. Mengikut Akta 672 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, sisa pepejal ditakrifkan sebagai apa-apa bahan sekerap atau benda lebihan lain yang tidak dikehendaki atau keluaran yang ditolak yang timbul daripada penggunaan apa-apa proses; apa-apa benda yang dikehendaki dilupuskan kerana sudah pecah, lusuh, tercemar atau selainnya rosak; atau apa-apa bahan lain yang mengikut Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain dikehendaki oleh pihak berkuasa supaya dilupuskan, tetapi tidaklah termasuk buangan terjadual sebagaimana yang diperihalkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127], kumbahan sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] atau sisa radioaktif sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 [Akta 304]. Walau bagaimanapun, secara ringkasnya, sisa pejal boleh ditakrifkan sebagai apa-apa bahan yang tidak dikehendaki oleh penciptanya dalam bentuk bukan gas dan bukan cecair yang terhasil dari aktiviti harian oleh komuniti kediaman, komersil dan sektor perindustrian.

Hadirin sekalian,

Sudah terang lagi bersuluh, kita tidak dapat menafikan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun dari segi pembangunannya dan juga perkembangan ekonominya sejajar dengan arus globalisasi dan modenisasi dunia hari ini. Pertumbuhan pesat penduduk bandar yang disebabkan oleh migrasi luar bandar ke bandar dan pertumbuhan semula jadi serta perubahan corak kepenggunaan telah menyumbang kepada peningkatan dalam penghasilan dan komposisi sisa pepejal di negara ini khususnya di bandar-bandar. Hasil dapatan daripada Alam Flora, jumlah sisa yang dihasilkan oleh penduduk bandar pada tahun 2000 adalah sebanyak 11,940 tan sehari atau 0.8 kilogram per kapita sehari. Lantaran itu, jumlah sisa pepejal yang besar ini telah memberi tekanan kepada tapak pelupusan sedia ada, dan sebahagian besar daripada kawasan pelupusan yang dikelaskan sebagai tapak pelupusan bukan sanitari atau tapak pembuangan sisa terbuka.

Hadirin pencinta alam yang berwisi,

Dalam memastikan pengurusan sisa pepejal dapat dilaksanakan dengan berkesan dan efektif, Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara (DPSPN) telah diwujudkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Antara matlamat penubuhannya adalah untuk mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang menyeluruh, bersepadu, kos efektif, mapan dan diterima masyarakat yang mementingkan pemeliharaan alam sekitar, pemilihan teknologi yang mampu bayar dan menjamin kesihatan awam; dan melaksanakan pengurusan sisa pepejal berdasarkan “waste management hierarchy” yang memberi keutamaan kepada pengurangan sisa melalui 3R, rawatan perantaraan dan pelupusan akhir yang akan dicapai melalui enam teras yang telah digariskan iaitu pengurangan sisa pepejal melalui 3R, perkhidmatan PSP yang menyeluruh, seragam, efisien, berkualiti dan kos efektif , pewujudan undang-undang dan peraturan dan institusi, penyampaian perkhidmatan PSP melalui kaedah penswastaan, teknologi yang mesra alam dan selamat, kos yang efektif, terbukti dan keutamaan kepada teknologi tempatan serta pendidikan awam dan program kesedaran yang melibatkan semua pihak.

Pendengar yang penuh santun,

Harus dikejut mana yang lena,

Harus ditegur mana yang alpa,

Sebelum manusia ditimpa bencana,

Sebelum alam mulai bicara.

 

Dalam konteks ini, semua pihak haruslah bekerjasama dalam usaha memastikan segala prakarsa yang dirancang mampu ditarbiahkan dengan baik bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga atau semata-mata angan-angan Mat Jenin. Oleh yang demikian, sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing tidak seharusnya menjadi pegangan hidup sebaliknya semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dengan efisien. Kita tidak seharusnya memandang enteng hal pengurusan sisa pepejal kerana jika tidak diuruskan dengan bijak kita bukan sahaja mengancam alam sekitar sebalikya kehidupan manusia juga turut terancam. Oleh itu hadirin sekalian, janganlah kita bersikap nafsi sebaliknya bukalah mata dan minda sama-sama kita memulakan anjakan paradigma dengan bersama-sama mengambil langkah dengan menguruskan sisa pepejal secara berkesan. Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, sebelum nanah bertukar menjadi barah, kita haruslah sedar bahawa sedikit perubahan yang kita lakukan pada hari ini mampu memberi impak yang besar kepada kesejahteraan hidup generasi akan datang.

Hadirin sekalian,

Persoalannya, untuk mengejar secangkir kemajuan, haruskah alam menjadi taruhan? Tepuk dada tanya minda, tepuk dahi fikirlah sendiri. Ingatlah bahawa tanggungjawab menjaga alam ini adalah tanggungjawab kita bersama bukannya terletak atas bahu satu pihak sahaja. Persis mutiara kata, tiada gunung yang tidak dapat didaki, tiada lurah yang tidak dapat dituruni, masalah pengurusan sisa pepejal juga mampu diatasi jika semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya bak kata pepatah Melayu, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Sebelum kata mengunci bicara, sebelum langkah mengundur pergi, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun yang sungguh bererti buat renungan kita semua,


Sungguh enak makan lepat,

Dihidang dalam piring kaca,

Janganlah lupa harus diingat,

Menjaga alam tanggungjawab bersama.

 

Berjalan-jalan ditepi sawah,

Bila berjalan haruslah berhati,

Alam dijaga supaya indah,

Untuk warisan semua generasi.

 

Sekian terima kasih.

Punca dan langkah mengatasi pembuangan bayi. Karangan Bahagian B. SPM.


Pada zaman era ini, negara kita yang semakin berkembang pesat sama ada dari segi ekonomi , politik ataupun sosial yang hendak menuju ke arah wawasan 2020. Namun begitu, di sebalik kegemilangan ini, masyarakat Malaysia masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah menjadi buah mulut rakyat malaysia iaitu gejala pembuangan bayi.Kes ini boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku dan boleh kita ketahui melalui akhbar harian,majalah,media massa dan radio. Tindakan manusia yang tidak bertanggungjawab yang telah membuang bayi adalah untuk menyembunyikan perbuatan jahat mereka. Persoalannya, apakah punca yang telah menyebabkan masalah gejala pembuangan bayi ini semakin meningkat? 

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kekurangan didikan agama merupakan punca utama dalam masalah pembuangan bayi ini. Biasanya golongan remaja yang kurang didikan agama merupakan golongan yang paling banyak menyumbang kepada masalah ini.Tambahan pula,remaja yang kurang didikan agama akan menyebabkan mereka tiada mempunyai perasaan tentang sikap bertanggungjawab dan akhirnya sanggup mengorbankan anak yang baru dilahirkan. Selain itu,didikan agama dalam sahsiah remaja amat penting kerana dapat mengawal sebarang tingkah laku mereka.Dengan adanya didikan agama, maka remaja akan bertindak secara rasional sebelum melakukan sesuatu malah mereka akan dapat membezakan sama ada perbuatan itu adalah baik atau buruk. Oleh itu, semua pihak perlulah bersikap menjaga tepi kain orang di sekeliling dan mengambil berat tentang isu ini supaya negara kita tidak dianggap sebagai masyarakat yang lemah dari segi agama.

Di samping itu,kepincangan institusi kekeluargaan juga menjadi punca dalam masalah ini. Sikap ibu bapa yang terlalu materalistik sehingga mengabaikan anak-anak telah menyebabkan anak-anak mereka berasa kurang kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa mereka.Ibu bapa tidak harus bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dalam mengejar kemewahan harta malah mereka perlu lebih prihatinkan keadaan anak-anak. Mereka harus meluangkan masa pada setiap hari untuk berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak kehilangan tempat untuk mengadu.Selain itu,ruang kebebasan yang diberikan terlalu banyak boleh membuka ruang kepada anak-anak terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial di luar rumah. Jadi, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengatasi gejala pembuangan bayi yang berpunca daripada anak-anak sendiri.

Lain daripada itu, pengaruh rakan sebaya turut menjadi punca membarahnya masalah ini di negara kita. Hal ini demikian kerana pada usia yang muda, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Hal ini bertambah teruk apabila mereka yang darah setampuk pinang usia setahun jagung ini mula bergaul dengan rakan sebaya yang negatif. Ghalibnya, rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan norma maysarakat, misalnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam gejal-gejala negatif tersebut akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuangkan bayi mereka .Hal yang demikian kerana mereka akan berperasaan malu terhadap masyarakat yang mencaci mereka atas perbuatan mereka.
Sesungguhnya, tiada penyakit yang tiad penawarnya. Oleh yang demikian, langkah yang drastik dan efisien perlulah diambil untuk mengatasi masalah gejala ini daripada semakin meningkat. Langkah yang utama hendaklah diambil oleh ibu bapa. Pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan pahala. Oleh itu, didikan keagamaan hendaklah dididik dalam jiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang berguna agar mereka tidak hidup bertuhankan nafsu. Umumnya, anak-anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Memandangkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dengan anak-anak, setiap perlakuan mereka akan mempengaruhi anak-anak mereka. Selain itu, ibu bapa juga hendaklah menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa mestilah memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak seawal dan sentiasa mengawasi pergaulan anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana hendak mengelakkan mereka daripada terjebak dengan pergaulan bebas yang seterusnya boleh membawa mereka terjerumus ke lembah penzinaan. 

Bukan sahaja ibu bapa, tanggungjawab untuk mengatasi masalah pembuangan bayi turut melibatkan pihak kerajaan dan media massa serta masyarakat di negara ini. Pihak berkuasa mestilah mengadakan kempen-kempen kesedaran untuk membangkitkan kesedaran remaja terhadap isu ini dan seterusnya dapat menangani masalah ini. Sebagai contoh, kempen Kami Prihatin. Dalam konteks ini, inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan haruslah berterusan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Di samping itu, peranan media massa dan media cetak amatlah penting bagi menjayakan kempen-kempen yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Peranan media ini penting dalam menghebahkan dan membuat liputan secara besar-besaran tentang kempen yang dilaksanakan. Masyarakat juga harus menyokong semua aktiviti yang telah diadakan untuk rakyat Malaysia.

Tuntas bicara, masalah pembuangan bayi tidak seharusnya dipandang enteng. Dalam hal ini semua pihak haruslah memberikan komitmen yang sepenuhnya. Kita tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab ini kepada satu pihak sahaja sebaliknya kita hendaklah berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi membenteras masalah ini persis mutiara kata, “bukit sama didaki, lurah sama dituruni”. Dengan adanya kerjasama yang utuh seikat bagai serai, serumpun bagai sirih, pasti masalah ini akan dapat ditangani dari akar umbinya sekali gus misi Wawasan Perdana 2057 mampu direalisasikan mengikut landasan yang betul.
(Kumpulan 8, 4 Sains Alamanda  2012)

Tajuk : Kesan Kemasukan Pendatang Asing dan Langkah-langkah Mengawal Kemasukan Pendatang Asing. Karangan Bahagian A. SPM


Saban hari kedatangan pekerja asing ke negara kita semakin meningkat bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Merujuk kamus, pekerja asing bermaksud tenaga kerja yang datang dari negara lain seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand, dan sebagainya. Negara kita dianggap sebagai lombong emas kerana negara kita mempunyai banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor pekerjaan seperti sektor pertanian, perkilangan, pembinaan dan perladangan. Dasar kerajaan yang membuka lebih luas peluang pelaburan dan memberi layanan serta kemudahan kepada pelabur asing untuk membina kilang mereka di negara ini turut merancakkan kedatangan mereka lagi. Walupun kehadiran mereka dapat membantu membangunkan ekonomi negara, namun terdapat beberapa kesan negatif apabila pekerja asing masuk ke negara kita secara tidak terkawal. Oleh yang demikian, langkah-langkah pengawalan harus diambil secara berkesan seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak terputus manakala tepung tidak berserak memandangkan hal ini melibatkan hubungan diplomatik antara negara.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa kemasukan pekerja asing menyebabkan peluang pekerjaan penduduk tempatan tersekat  berikutan dengan sikap majikan di negara ini yang gemar mengupah pekerja asing kerana kadar upah mereka jauh lebih murah berbanding mengupah pekerja-pekerja tempatan yang lebih mahal. Sikap tidak memilih pekerja haruslah wujud dalam peribadi pekerja tempatan. Jika mentaliti sedemikian diteruskan tanpa mengubah sebarang persepsi, hidup penduduk tempatan tersepit.  Sikap majikan yang ibarat peribahasa “kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan” akan memberi impak negatif kepada rakyat tempatan.  Buktinya, hampir 2.1 juta rakyat tempatan hilang peluang pekerjaan dan kadar pengangguran semakin meningkat dalam kalangan pekerja tempatan.

Sudah terang lagi bersuluh, kemasukan pekerja asing tanpa kawalan menyebabkan peningkatan kadar jenayah di negara ini.  Pelbagai jenayah akan dilakukan oleh pekerja tempatan berikutan tidak mempunyai gaji yang mencukupi dan tidak mempunyai pekerjaan. Tambahan pula, kos sara hidup pada era globalisasi ini semakin meningkat sebagai akibat kemelut ekonomi global. Kejadian pecah rumah, kecurian, rogol, rusuhan, dan lain-lain mungkin akan berlaku jika tiada sebarang usaha diimplementasikan oleh pihak kerajaan. Peningkatan kadar jenayah ini juga melibatkan pekerja asing yang masuk ke Malaysia tetapi tidak mendapat pekerjaan seperti yang diharapkan sedangkan mereka memerlukan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Buktinya, mantan Ketua polis Negara ( KPN) Tan Sri Musa Hassan mengakui pendatang asing yang melebihi 2.4 juta orang di negara ini menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.

Di samping itu, kemasukan pekerja asing ini juga turut memberi kesan terhadap ekonomi negara kita. Pengaliran keluar mata wang negara pada kadar yang banyak pada setiap bulan bakal merugikan negara dari segi tukaran wang asing dan menguntungkan negara asal pekerja asing ini. Sistem transaksi canggih di bank-bank negara kita menyumbang kepada proses pertukaran wang dapat dilakukan dengan mudah dan cepat serta perkhidmatan yang murah. Menurut statistik, sebanyak RM 9.124 juta telah dihantar ke negara asal pekerja asing antara bulan Januari hingga Jun setiap tahun.  Hal ini akan membebankan kewangan negara. Bukan itu sahaja, sebanyak RM1.169 juta digunakan sehari oleh kerajaan sebagai kos untuk penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI ) amat merugikan negara sekali gus mengganggu gugat  kerancakan ekonomi di negara kita.

Setiap penyakit ada penawarnya, begitu jugalah setiap masalah mempunyai jalan penyelesaiannya yang tersendiri. Jika masalah kemasukan pendatang asing ini ditangani secara efektif, pastinya kadar kemasukan pendatang asing ini mampu dikurangkan. Terdapat beberapa langkah yang dapat diimplementasikan oleh pihak kerajaan serta majikan. Pihak majikan khasnya, perlu mengehadkan kebergantungan kepada buruh asing kerana mampu menimbulkan pelbagai masalah sosial dan keselamatan. Pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu hendaklah mengikut sumber negara yang diluluskan kerajaan. Pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga asing di negara ini. Dengan mengehadkan penyertaan pekerja asing dalam sektor perladangan dan pembantu rumah, mudahlah rakyat serta pihak berkuasa mempersoal dan mengambil tindakan segera ke atas kehadiran rakyat asing yang tiada permit kerja dalam sektor-sektor yang ditetapkan oleh kerajaan. Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang haruslah dilakukan dengan lebih tegas. Sikap seperti melepaskan batuk di tangga tidak seharusnya diamalkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Hal ini kerana banyak pekerja asing terdiri daripada pendatang haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih tegas agar pendatang haram ini tidak berani bertindak lebih jauh. Perairan negara juga haruslah dikawal sepanjang masa untuk mengelakkan mereka menyusup melalui jalan laut. Jika semua pihak yang berkenaan memainkan tanggungjawab secara berkesan, tidak mustahil masalah kemasukan pendatang asing dapat diatasi dari akar umbinya.

Tuntas bicara, walaupun kedatangan pekerja asing ini ada kebaikannya namun, pihak kerajaan haruslah mengkaji segala aspek dari segi ekonomi, politik, dan sosial demi kesejahteraan dan pembangunan negara kita selaras dengan wawasan 2020. Tanggungjawab ini bukan sahaja terletak pada bahu pihak kerajaan semata-mata sebaliknya menuntut kerjasama dan sokongan semua pihak. Sesungguhnya, peribahasa bukit sama didaki, lurah sama dituruni wajar diamalkan oleh semua pihak waima pihak kerajaan, majikan mahupun rakyat negara ini yang mempunyai peranannya yang tersendiri. Hal ini sangat penting bagi memastikan implikasi negatif akibat kemasukan pekerjaan asing secara berleluasa ke negara kita dapat diatasi melalui pelbagai langkah yang dirancang dan diimplementasikan secara bijak dan berkesan sekali gus dapat mencapai matlamatnya.

                                                                                                                        (830 patah perkataan)

 
(Aaron Avit Ajeng, 5 Sains Alamanda)

Karangan A : Cara-Cara Untuk Mengelakkan Diri Daripada Masalah Obesiti. SPM.


      Belakangan ini, masalah obesiti semakin meningkat dalam kalangan rakyat negara kita. Mengikut laporan akbar, peratusan rakyat Malaysia yang mempunyai berat badan yang berlebihan ini adalah lebih tinggi berbanding dengan negara-negara Asia yang lain. Umumnya, obesiti ini mendatangkan pelbagai keburukan khususnya penampilan diri yang tidak menarik. Bukan itu sahaja, mereka yang mengalami masalah ini mudah diserang penyakit. Antara penyakit yang sering dikaitkan dengan obesiti ialah diabetes, darah tinggi dan juga serangan jantung. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan diri kita daripada masalah ini?

      Antara langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan diri kita daripada masalah ini adalah dengan mengamalkan pemakanan seimbang. Kita haruslah mengambil kira keperluan karbohidrat, lemak dan zat-zat pemakanan yang sesuai dengan peringkat umur. Oleh yang demikian, kita haruslah menjadikan piramid makanan sebagai panduan dalam pemilihan menu atau jenis makanan agar hidup lebih sihat. Selain itu, kita juga mestilah makan mengikut waktu secara teratur terutamanya tiga waktu makan yang utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Tambahan pula, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menguar-uarkan slogan “makan secara sihat, sihat sepanjang hayat” bagi memastikan rakyat mengamalkan pemakanan yang sihat. Hal ini kerana,  kita bukan sahaja sihat malah kehidupan lebih bahagia dan terjamin tanpa penyakit berbahaya sekiranya kita bijak dalam memilih makanan yang sihat dan seimbang setiap hari.

      Langkah yang seterusnya adalah dengan melakukan senaman secara teratur. Kita perlulah  mendisiplinkan diri  dan melakukan senaman sekurang-kurangnya selama dua puluh minit dalam tiga kali seminggu. Aktiviti senaman ini haruslah dijadikan rutin dalam kehidupan kita. Kita tidak seharusnya  menjadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk tidak bersenam. Tambahan pula, kini banyak alatan senaman yang mampu dimiliki dan dapat digunakan di rumah. Dengan itu, kita tetap berpeluang untuk bersenam dan kekal hidup sihat. Jadi, jelaslah bahawa melalui senaman yang teratur akan dapat membantu kita mengekalkan berat badan yang sihat sekali gus mencegah daripada masalah kegemukan,malahan kita seperti menyelam sambil minum air kerana dengan bersenam bukan sahaja badan kita sihat tetapi otak juga lebih cerdas.

      Selain daripada menjaga pemakanan dan melakukan senaman yang teratur, kita juga tidak seharusnya terpedaya dengan produk pelangsingan badan yang kian berlambak dalam pasaran. Pelbagai produk pelangsingan badan dijual dan diiklankan yang boleh mengaburi mata pengguna. Pengguna haruslah berhati-hati kerana biasanya kandungan bahan-bahan dalam produk pelangsingan badan boleh membahayakan kesihatan malah, kebanyakan produk  tiada jaminan keselamatan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh yang demikian, penggunaan produk ini tidak selamat dan boleh menimbulkan pelbagai kesan negatif yang boleh menjejaskan kesihatan. Penggunaan produk tersebut bukannya dapat menguruskan badan sebaliknya mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Oleh itu, kita haruslah mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar perubatan yang bertauliah sebelum menggunakan sesuatu produk pelangsingan badan yang ada dalam pasaran.

      Konklusinya, kita haruslah sedar bahawa tiada jalan mudah untuk menguruskan dan mengawal berat badan. Sebaliknya kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang dan senaman dan melakukan aktiviti fizikal secara aktif. Hal ini kerana, masalah obesiti hanya dapat dielakkan jika setiap orang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga kesihatan dan mencapai berat badan yang ideal. Kita haruslah berpegang kepada falsafah peribahasa “mencegah lebih baik daripada mengubati” khususnya dalam memastikan kehidupan yang sihat dan terjamin sepanjang masa.

Kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah dalam kalangan generasi muda. Karangan bahagian A. SPM


         Pada masa ini, mata pelajaran Sejarah bukanlah suatu mata pelajaran yang asing kepada para pelajar. Sejak dari tingkatan satu, pelajar sudah mula berkenalan dengan mata pelajaran ini. Tambahan pula mata pelajaran Sejarah telah diwajibkan lulus bagi semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013. Walau bagaimanapun, terdapat murid yang menunjukkan perasaan tidak puas hati terhadap pelaksanaan tersebut kerana beranggapan bahawa Sejarah merupakan suatu mata pelajaran yang susah dan membosankan walhal banyak faedah yang dapat diperoleh melalui pembelajaran mata pelajaran ini. Persoalannya, apakah kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah khususnya dalam kalangan generasi muda?
        Dengan mempelajari mata pelajaran Sejarah, generasi muda dapat memperoleh banyak pengajaran. Hal ini demikian kerana dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang dinyatakan mengandungi pelbagai pengajaran yang tersirat. Sebagai contoh, peristiwa Tanah Melayu dijajah dan ditindas oleh penjajah British memberi pengajaran kepada generasi muda supaya jangan terlalu mudah mempercayai orang asing. Orang British digambarkan dengan licik dan jahat pada masa itu kerana sanggup menggunakan tipu muslihat atau taktik kotor untuk meluaskan kawasan jajahan mereka di tanah air kita. Justeru, generasi muda perlulah sentiasa ingat akan pengajaran tersebut dan tidak mengulanginya pada masa akan datang bagi mengelakkan peristiwa yang sama berulang lagi.
        Dalam pada itu, perpaduan antara kaum akan dapat dicapai melalui pembelajaran mata pelajaran Sejarah dalam kalangan generasi muda. Tamsilnya, semasa Tingkatan 3, para pelajar akan mempelajari peristiwa Tanah Melayu mendapatkan kemerdekaan. Dalam perjuangan tersebut, penduduk Tanah Melayu yang  terdiri daripada pelbagai kaum tanpa mengira warna kulit sanggup mengetepikan semangat kenegerian demi mendapatkan kemerdekaan bagi tanah air yang tercinta. Mereka telah bekerjasama bagai aur dengan tebing dan tidak mudah menyerah kalah. Perkara ini cukup membuktikan bahawa betapa pentingnya semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dalam kemajuan negara sekali gus dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020.
        Pada masa yang sama, semangat cinta akan negara turut dapat dipupuk dalam diri generasi muda. Generasi muda seharusnya mengingati jasa dan sumbangan tokoh-tokoh tanah air seperti Tunku Abdul Rahman. Jasa beliau patut dikenang oleh semua rakyat Malaysia kerana tanpa beliau, tidak mungkin kita dapat menikmati kemakmuran dan kedamaian di negara kita sendiri. Oleh itu, semangat nasionalisme dapat dipupuk dalam jiwa generasi muda malah mereka akan sentiasa bersyukur dan memberi penghargaan terhadap pengorbanan pejuang tanah air terdahulu seterusnya menghindarkan generasi muda daripada bersikap seperti kacang lupakan kulit.
        Secara tuntas, mata pelajaran Sejarah sangat penting bagi generasi muda. Selain itu, banyak faedah boleh diperoleh melalui mata pelajaran Sejarah. Generasi muda tidak sepatutnya mempunyai anggapan bahawa Sejarah sesuatu yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk minat anak dalam mata pelajaran Sejarah. Minat tersebut harus dipupuk sejak mereka kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Namun, kerjasama semua pihak dituntut dalam usaha memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat yang telah ditetapkan kerana sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing hanya mendatangkan kerugian sebaliknya peribahasa bukit sama didaki lurah sama dituruni wajar dijadikan panduan.

Oleh : Chee Fei San (4 Sains Alamanda)