LATAR BELAKANG DAN SEJARAH RINGKAS KOMUNITI KAYAN

LATAR BELAKANG KOMUNITI KAYAN



Sejarah Ringkas

Komuniti Kayan di Sarawak secara umumnya dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan yang utama, iaitu Kayan Baram yang mendiami kawasan pedalaman di bahagian Miri, Kayan Belaga yang mendiami kawasan pedalaman bahagian Kapit dan Kayan Tubau yang menetap di bahagian Bintulu.  Komuniti Kayan ini dipercayai telah berhijrah dan menetap di Sarawak lebih daripada 300 tahun yang lalu.

            Terdapat sejumlah besar komuniti Kayan yang menetap di negara Indonesia, terutamanya di bahagian Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah.  Golongan Kayan di Indonesia juga dipercayai mempunyai hubungan dan kaitan dengan komuniti Kayan di Sarawak berdasarkan penghijrahan yang dilakukan oleh komuniti Kayan di ketiga-tiga daerah sejak dahulu lagi.  Komuniti Kayan di Indonesia lebih dikenali sebagai Kayan Mekam, Kayan Uma Laran, Kayan Ja’e dan Kayan Uma Leken.

Penghijrahan komuniti ini ke bahagian pedalaman negeri Sarawak mengambil masa yang lama dan dilakukan secara berperingkat-peringkat.  Pada masa dahulu, komuniti ini berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain atas dasar keselamatan.  Hal ini kerana komuniti ini pada masa itu masih lagi mengamalkan amalan ngayo [hajɔ] atau dikenali sebagai amalan memotong kepala musuh yang terdiri daripada komuniti lain seperti Iban dan sebagainya.  Di samping itu, komuniti ini juga sering berhijrah dengan tujuan mencari penempatan baru yang sesuai dengan aktiviti pertanian sara diri.
           
Asal-usul Komuniti Kayan

Penempatan awal komuniti Kayan di Sarawak dipercayai di Halem Kayan, Kalimantan.  Penghijrahan secara beransur-ansur telah menyebabkan komuniti ini berpecah-belah dan menduduki beberapa kawasan pedalaman di Sarawak.  Pada peringkat awal, komuniti ini dipercayai menetap di Apo Kayan.  Kemudian mereka telah berpindah ke Halem Kayan.  Sehingga kini, masih terdapat lagi peninggalan komuniti ini di Halem Kayan, Mahakam (Mekam) seperti serpihan-serpihan tajo [taǰo] (pasu besar), periuk besi, pinggan mangkuk dan peralatan-peralatan yang lain.

            Semasa di Halem Kayan, penduduk Kayan dipercayai telah berpecah kepada beberapa kumpulan.  Menurut temu ramah penulis dengan informan, kejadian ini berlaku pada waktu subuh setelah mereka mendengar bunyi teriakan payo! payo! payo!  (bermaksud rusa! rusa! rusa!) Tetapi kebanyakan mereka tersalah dengar dengan  menyangkakan ayo! ayo! ayo! (bermaksud musuh! musuh! musuh!)  Kemudian, mereka telah melarikan diri bersama-sama keluarga masing-masing sehinggalah menyebabkan berlakunya penghijrahan dalam kalangan komuniti ini secara berperingkat-peringkat.  Terdapat juga komuniti Kayan yang dipercayai masih tinggal di kawasan tersebut dan tidak dapat berhijrah kerana jambatan yang merentangi Sungai Halem Kayan telah dirobohkan oleh golongan awal yang telah melarikan diri semasa insiden itu berlaku.  Sebab itulah sehingga kini masih terdapat komuniti Kayan yang masih tinggal di tempat asal komuniti ini di Kalimantan.

            Kebanyakan mereka yang telah melarikan diri dipercayai telah membuka penempatan di Long Tavang [loŋ tavaŋ], Long Boh (loŋ boh), Long Medalam (loŋ mədalam], dan Long Mekam (loŋ məkam].  Kemudian terdapat lagi segelintir daripada komuniti Kayan ini telah berhijrah lagi ke kawasan hilir Sungai Balui dan membuka penempatan baru di Udu Belavan [udu bəlavan], Lusong Laku [lusoŋ laku], Long Benalui [loŋ benalui], dan Long Taman [long taman].  Dipercayai, peperangan telah berlaku di Lusong Laku [lusoŋ laku] menyebabkan segelintir lagi komuniti Kayan telah berhijrah ke Telang Usan [təlaŋ usan] atau di bahagian Baram, Miri.  Inilah yang menyebabkan terdapatnya komuniti Kayan di Miri.  Sebelum itu, Long Benalui (loŋ benalui], merupakan kawasan penempatan yang terbesar bagi komuniti ini sebelum mereka meneruskan penghijrahan.  Selepas beberapa lama, mereka dipercayai berhijrah lagi ke Juman Baho (ǰuman baho], dan terus berhijrah lagi hingga ke Long Jawe [loŋ ǰawɛʡ].  Di sini mereka membuka perkampungan baru yang diberi nama Long Levuwe (loŋ ləvuwe], Long Minor (loŋ minɔr], dan Long Luwe [long luwɛ]. Kemudian komuniti ini dipercayai telah berhijrah lagi ke kawasan hilir dan membuka penempatan yang baru yang kekal sehingga kini. 




Sejarah Bahasa Kayan

            Dari segi penyebaran, bahasa Kayan ditutur di beberapa kawasan di Pulau Borneo.  Misalnya di Sarawak, bahasa Kayan dituturkan di Miri, Bintulu, dan Belaga.  Manakala di Kalimantan, bahasa Kayan turut dituturkan di kawasan Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah.  Bahasa Kayan mempunyai berbagai dialek yang tersendiri.  Di Sarawak, terdapat dua dialek Kayan yang berbeza iaitu, dialek Kayan Belaga dan Kayan Baram.  Dialek Kayan Tubau lebih banyak persamaan dengan dialek Kayan Belaga, memandangkan Kayan Tubau merupakan komuniti Kayan Belaga yang baru berpindah dari Daerah Belaga. Namun, masih terdapat kesalingfahaman yang tinggi antara penutur di  ketiga-tiga derah ini.

            Di Kalimantan pula, terdapat banyak lagi dialek yang dituturkan oleh komuniti Kayan di sana.  Misalnya Kayan Ja’e [kajan ǰa:ɛ], Kayan Mekam [kayan məkam], Kayan Uma Leken [kajan uma ləkən], Kayan Temeru [kajan təməru], Kayan Lirong Amo [kajan liroŋ amɔ], Kayan Belugu [kajan bəlugu] dan lain-lain.  Namun masih terdapat kesalingfahaman antara penutur-penutur dialek Kayan di Sarawak dengan Kayan di Kalimantan.  Menurut informan penulis semasa kajian ini dijalankan, pada awalnya bahasa Kayan dipercayai sama.  Pepecahan yang berlaku antara komuniti ini menyebabkan bahasa Kayan masing-masing berkembang dengan sendiri.  Tambahan pula, komuniti ini telah berhijrah jauh antara satu dengan lain menyebabkan mereka tidak lagi berhubung dan faktor inilah menggalakkan perbezaan bahasa dalam kalangan komuniti ini.

Kelas Sosial komuniti Kayan


Apa yang unik tentang komuniti ini ialah mereka masih mengamalkan kelas-kelas sosial sehingga ke hari ini.  Terdapat empat tingkat sosial yang utama di dalam komuniti ini.  Misalnya golongan atasan dipanggil Maren [marən] (paling tinggi), golongan kelas kedua Hipui  [hipui] (sederhana), golongan kelas ketiga Panyin [paŋin] (bawahan), golongan kelas keempat Dipen [dipən] (hamba).  Hanya golongan kelas keempat, iaitu golongan hamba sahaja yang sudah dihapuskan dan tidak diamalkan lagi.

Golongan maren misalnya terdiri daripada golongan diraja dalam komuniti ini.  Golongan ini terdiri daripada keluarga Temenggong, Penghulu, Pemanca dan Ketua Kampung shaja.  Untuk mengekalkan keturunan ini, golongan ini hendaklah berkahwin dengan golongan yang setaraf dengan mereka.  Jika seseorang yang Maren berkahwin dengan kelas sosial yang rendah, maka anak kepada psangan tersebut bukan lagi Maren.

            Biasanya, golongan ini merupakan golongan yang ateng urip [atəŋ urip] (kaya) dan mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kalangan rakyatnya.  Mereka akan sentiasa dihormati dan disanjungi oleh kelas sosial yang lain yang lebih rendah.  Selain itu, golongan Maren ini juga akan membela dan menjaga kebajikan rakyatnya, di samping menjadi tempat mengadu sekiranya rakyat berada dalam kesusahan.

Golongan Hipui pula dianggap sebagai golongan kelas kedua dalam komuniti Kayan.  Golongan ini wujud akibat daripada perkahwinan golongan Maren dengan golongan kelas bawah.  Anak pasangan Maren dengan golongan bawahan itulah yang akan menduduki kelas sosial hipui.  Golongan ini masih juga menduduki kelas sosial yang agak tinggi berbanding dengan golongan Panyin dan Dipen.

Golongan Panyin merupakan golongan kelas sosial yang ketiga.  Golongan Panyin [paŋin] ini juga boleh dibahagikan kepada dua kelas lagi, iaitu Panyin Ayak [paŋin ajaʡ] dan Panyin Unyer  [paŋin uŋər]. Panyin Ayak [paŋin ajaʡ] merupakan suatu kelompok yang sememangnya berasal dan menduduki sesuatu tempat itu dalam jangka masa yang panjang bersama golongan Maren. Golongan ini biasanya berkelakuan baik dan jam adet  [ǰam adət] (kaya dengan budi bahasa).  Manakala,  Panyin Unyer pula lebih rendah tarafnya daripada Panyin Ayak. Golongan ini merupakan golongan yang jan ateng urip [ǰan atəŋ urip] (kurang berada/berkemampuan) dan jan lalek sayu [ǰan laleʡ saju] (berkelakuan kurang baik).

Dipen bermaksud hamba dan golongan ini biasanya menjadi hamba kepada golongan Maren. Terdapat dua tahap dalam Dipen, iaitu Dipen Tua [dipən tua] dan Dipen Nengar [dipən nəŋar] merupakan golongan yang menjadi hamba kepada golongan Maren sepenuh masa.  Golongan inilah yang akan melakukan semua kerja untuk golongan Maren. Selain itu, golongan ini akan tinggal bersama golongan Maren dan menuruti apa sahaja arahan daripada golongan Maren. Dengan kata lain, golongan ini lebih rapat dengan golongan Maren.
            Berbeza pula dengan Dipen Nengar. Dipen Nengar  biasanya golongan yang membuat kerja mereka sendiri.  Mereka tinggal  di rumah mereka sendiri dan tidak ada kena mengena dengan golongan Maren. Biasanya golongan inilah merupakan golongan yang paling rendah dalam kelas sosial komuniti Kayan.  Walau bagaimanapun, golongan kelas sosial  Dipen ini secara beransur-ansur telah dihapuskan dan tidak lagi diamalkan pada masa sekarang.

            Terdapat banyak perbezaan yang ketara antara golongan Maren dengan golongan kelas sosial yang lain seperti Hipui, Panyin dan Dipen. Perbezaan-perbezaan ini turut merangkumi cara hidup, cara percakapan, bahasa, kebudayaan dan tahap sosioekonomi mereka.  Golongan Maren dianggap golongan yang agak sempurna sebab itulah golongan ini digelar golongan raja.  Perkahwinan antara golongan Maren dengan golongan bawahan tidak digalakkan kerana ini dianggap sebagai sesuatu yang memalukan memandangkan terdapatnya perbezaan taraf.  Malah, golongan Maren sanggup membenarkan anak mereka berkahwin bangsa lain yang tidak menekankan status sosial dalam komuniti mereka.
            Selain itu, tahap hukuman dan hantaran perkahwinan antara keempat-empat golongan ini juga berbeza-beza.  Golongan Maren akan dikenakan hukuman yang lebih tinggi berbanding dengan golongan bawahan.  Misalnya, seorang wanita yang terdiri daripada golongan Maren akan menerima hantaran yang lebih tinggi dan mahal berbanding dengan golongan yang lain.

            Terdapat juga perbezaan penggunaan bahasa di antara kelas-kelas sosial ini terutamanya dari segi perlakuan berbahasa. Kelas sosial Maren didapati menggunakan bahasa yang lebih sopan berbanding dengan kelas-kelas sosial yang lain.  Golongan ini juga bijak menggunakan eufemisme bagi menggantikan sesuatu perkataan yang tabu sifatnya.  Secara keseluruhan, bentuk-bentuk bahasa golongan Maren lebih mantap dan sangat mementingkan aspek kesopanan bahasa berbanding dengan golongan kelas bawah.

            Dalam komuniti Kayan, Ketua Kampung adalah ketua sesebuah rumah panjang.  Beliau berperanan sebagai penyimpan dan pemelihara adat.  Beliau juga bertanggungjawab memelihara keamanan di sesebuah rumah panjang dan akan menyelesaikan sesuatu masalah di antara anak buahnya.  Sekiranya terdapat kes yang tidak dapat diselesaikan oleh Ketua Kampung, kes tersebut akan dirujuk kepada Penghulu, Pemanca dan seterusnya Temenggung.

            Seorang Penghulu pula bertanggungjawab mengawasi ketua-ketua kampung di satu-satu kawasan yang mengandungi beberapa buah rumah panjang.  Manakala, Pemanca pula juga berperanan mengawasi dan menjaga kawasan yang ditadbir oleh Penghulu.  Temenggung pula berperanan mengawasi kesemua jawatan tersebut.  Biasanya, ketua-ketua masyarakat inilah yang akan dijemput ke mesyuarat rasmi.

Adat Istiadat Komuniti Kayan

Pada masa dahulu, sebuah perkahwinan akan ditentukan oleh ibu bapa masing-masing.  Penulis mendapati bahawa amalan ini masih lagi wujud sehingga sekarang walaupun tidak lagi diamalkan sepenuhnya.  Walau bagaimanapun, amalan ini semakin hilang kerana generasi muda komuniti ini lebih suka menentukan jodoh mereka sendiri dan bukannya ditentukan oleh keluarga masing-masing.

            Sebelum berlangsungnya perkahwinan, satu rombongan akan dihantar untuk merisik pihak perempuan.  Sekiranya pihak perempuan bersetuju, maka mereka akan membincangkan hari pertunangan dan seterusnya tarikh perkahwinan akan ditetapkan.  Kedua-dua belah pihak juga akan membincangkan jumlah hantaran dan jumlah perbelanjaan yang akan diperuntukkan.  Persetujuan yang telah diperolehi hasil daripada perbincangan itu hendaklah dimaklumkan dengan segera kepada Maren Uma (Ketua Kampung).
            Perkahwinan komuniti ini berbeza daripada perkahwinan komuniti lain kerana hantaran daripada pihak lelaki berbeza berdasarkan sistem kelas sosial pihak perempuan.  Sekiranya pihak pengantin perempuan merupakan golongan Maren, semakin tinggilah hantaran dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh pihak lelaki, begitu juga sebaliknya.  Melalui kajian lapangan yang telah penulis lakukan, telah  didapati bahawa hantaran perkahwinan kepada wanita Kayanlah yang paling tinggi dan mahal berbanding dengan komuniti lain.

            Selepas upacara perkahwinan, terdapat lagi dua upacara yang penting yang perlu diikuti, iaitu upacara Kaja Amin [kaǰa amin] (upacara bertandang ke rumah pengantin lelaki) dan Inu Lok [inu lɔʡ] (upacara yang dilakukan selepas mempunyai anak).  Hantaran untuk upacara ini juga berbeza mengikut taraf sosial wanita tersebut.

Apabila berlaku sesuatu kematian, seluruh penduduk kampung berkenaan tidak dibenarkan ke kebun atau keluar daripada kawasan kampung sebagai tanda hormat kepada keluarga si mati.  Pada masa inilah kaum lelaki dalam rumah panjang tersebut akan bergotong-royong menyiapkan bila [bila] (kubur) dan lungun [luŋun] (keranda).  Manakala pihak perempuan pula bergotong-royong menyediakan makanan dan minuman kepada tetamu.  Setiap rumah panjang yang berdekatan akan menghantar  wakil untuk menziarahi keluarga si mati dan amalan ziarah-menziarahi ini masih kukuh sehingga kini.

            Tempat mayat berada di rumah bergantung kepada taraf sosial si mati.  Sekiranya si mati terdiri daripada golongan Maren mayat tersebut akan berada di rumah selama lebih daripada tujuh hari.  Bagi golongan biasa, mayat hanya dibenarkan berada tidak lebih daripada tiga hari.  Upacara pengkebumian dan upacara berkabung juga turut berbeza mengikut taraf sosial si mati.
            Mayat yang dihantar ke kawasan perkuburan akan diletak di dalam Salong [saloŋ].  Salong tersebut biasanya diukir dengan ukiran ikeng [ikəŋ] (sejenis ukiran tradisional) yang kaya dengan nilai-nilai kesenian ukiran Orang Ulu.  Ukiran-ukiran ikeng ini terdiri daripada pelbagai jenis bentuk dan bunga.  Untuk membuat Salong, komuniti ini akan menggunakan kayu belian.  Kayu belian yang telah diukir akan dicat berwarna-warni.  Biasanya Salong golongan Maren lebih cantik dan besar berbanding dengan golongan biasa kerana Salong juga boleh melambangkan status sosial si mati.

Menurut temu bual penulis dengan informan, sebelum kedatangan agama Kristian, komuniti ini dipercayai mengamalkan kepercayaan Apo Kayan [apo kajan].  Kepercayaan ini diamalkan sejak mereka menetap di Mahakam (Mekam), Kalimantan kira-kira tiga ratus tahun yang lalu.  Semasa menganut kepercayaan ini, mereka percaya kepada burung helang, Pakei Lali  [pakɛ lali], dan Pakei Isip Ta’o [pakɛ isip taʡ:ɔ].  Semasa menganut kepercayan ini, mereka tidak dibenarkan makan ikan Dungan [duŋan] (sejenis ikan sungai yang berbau hanyir), kijang, pelanduk dan sebagainya.  Namun kepercayaan lama ini telah ditinggalkan selepas munculnya sistem kepercayaan Bungan [buŋan].

            Kepercayaan Bungan merupakan satu upacara penyembahan berhala yang disambut pada setiap tahun antara bulan Mac hingga Jun.  Semasa menyambut perayaan ini, mereka akan mengorban seekor khinzir sebagai tanda ucapan terima kasih mereka kepada Tenangan [tənaŋan].  Sebelum menyembelih khinzir tersebut, mereka akan melakukan upacara pemujaan dengan memohon daripada Tenangan agar setiap kerja mereka diberkati dan supaya mereka dapat hidup dalam kesejahteraan.  Semasa upacara Bungan, penganut kepercayaan ini akan mendirikan jok di ruai rumah panjang.  Kemudian mereka akan meju teloh [meǰu təlɔh] (mengangkat telur) seperti memohon sesuatu dan mara [mara] (sumpah seranah) khinzir, iaitu dengan memohon supaya ditunaikan hajat mereka.

            Walau bagaimanapun, kepercayaan Apo Kayan dan Bungan ditinggalkan secara beransur-ansur sejak kedatangan agama Kristian dalam komuniti Kayan. Penulis juga mendapati bahawa kedatangan agama Kristian ini juga banyak mempengaruhi kehidupan sosial komuniti Kayan.  Kepercayaan karut seperti percaya kepada burung helang, percaya kepada matahari dan sebagainya telah ditinggalkan secara beransur-ansur.  Di samping itu, kedatangan agama Kristian juga telah membawa masuk leksikal-leksikal asing seperti perkataan puji, syukur, tolong, Tuhan dan sebagainya.

            Penulis mendapati masih terdapat banyak lagi pantang larang yang masih diikuti dalam komuniti Kayan.  Misalnya, komuniti ini dilarang mentertawakan binatang seperti anjing, ulat-ulat dan lain-lain.  Terdapat kepercayaan apabila seseorang itu mentertawakan binatang, dia akan berubah menjadi batu.  Selain daripada itu, komuniti ini juga dilarang menetak barangan orang lain seperti pakaian dan jala ikan.  Sekiranya seseorang itu berbuat demikian, orang berkenaan akan busong [busoŋ] (mati dalam keadaan perut yang besar dan dahsyat).  Kepercayaan ini masih lagi kukuh sehingga ke hari ini.

            Komuniti ini juga masih lagi percaya pada ketulahan.  Oleh itu, orang muda dilarang sama sekali bersifat kurang ajar atau tidak bersopan kepada orang tua.  Mereka juga diingatkan supaya sentiasa mengenang jasa orang lain supaya tidak ketulahan.  Apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap seseorang yang telah melanggar pantang-larang tersebut di kemudian hari, peristiwa tersebut dianggap sebagai tulah.  Kepercayaan inilah yang menyebabkan komuniti ini kaya dengan budi bahasa dan menghormati orang tua tanpa mengira hubungan kekeluargaan.  Mereka mengamalkan prinsip menghormati orang tua dan amalan ini masih kukuh sehingga kini.

Komuniti Kayan juga mudah dikenali melalui pakaian tradisional mereka.  Pakaian tradisional kaum wanita komuniti ini menarik dan unik kerana diperbuat daripada manik-manik halus dan berwarna-warni.  Manik-manik halus dijahit mengikut ukiran ikeng [ikǝŋ] (ukiran Orang Ulu) yang mempunyai nilai-nilai estetika yang tersendiri.  Pakaian ini biasanya dipakai semasa majlis perkahwinan, upacara menyambut tetamu kehormat dan perayaan Gawai Dayak.

            Wanita Kayan juga mempunyai barang perhiasan lain seperti leku  [lǝku] (gelang tangan), teva’eng inu [tǝva:ǝŋ inu] (rantai manik), iseng [isǝŋ] (objek keras yang diperbuat daripada perak atau suasa yang digantungkan  di telinga kaum wanita Kayan), teksa [tǝksa] (dijadikan sebagai tali pinggang kaum wanita Kayan). Lavong sek [lavɔŋ sɛʡ] (perhiasan kepala yang dihias dengan manik dan rambut kambing yang berwarna-warni) dan isel  [isɛl] cincin.  Leku [lǝku] biasanya diperbuat daripada buluh dan tulang-tulang binatang.  Teva’eng inu [tǝva:ǝŋ inu] dan teksa [tǝksa] pula merupakan hasil gabungan daripada manik-manik besar yang berwarna-warni. 

            Pakaian tradisional kaum lelaki komuniti ini pula kaya dengan ciri-ciri kepahlawanan, sesuai dengan amalan memotong kepala pada zaman dahulu.  Kelengkapan kaum lelaki terdiri daripada bakel  [bakɛl] tombak, hemput  [həmput] sumpit, sunong [sunoŋ] (perhiasan seperti baju yang diperbuat daripada kulit-kulit binatang seperti kulit kambing), lavong kering [lavoŋ kəriəŋ] (perhiasan kepala yang diperbuat daripada rotan dan dihiasi dengan bulu kambing dan bulu burung kenyalang dan diwarnakan), bah [bah] (sirat), tabin [tabin] (diperbuat daripada rotan dan dihiasi dengan manik-manik kecil dan dipakai di bahagian punggung seorang pahlawan), dan kelebit  [kələbit] (perisai).  Selain daripada menjadi set barangan hantaran kepada pengantin perempuan, pakaian tradisional ini juga mencerminkan nilai-nilai estetika dan kebudayaan Kayan yang tinggi.

Komuniti Kayan juga terkenal kerana memiliki telinga yang panjang dan bertatu.  Komuniti ini bertelinga panjang dan bertatu untuk tujuan kecantikan.  Semakin panjang telinga seseorang wanita itu, semakin cantiklah wanita tersebut bagi komuniti ini.  Pada masa sekarang, budaya ini semakin pupus dan hanya wanita Kayan yang berusia lima puluh tahun ke atas sahaja yang masih bertelinga panjang dan bertatu.

            Bentuk dan ukiran tatu seseorang wanita Kayan juga mencerminkan kedudukan sosial wanita ini.  Golongan Maren akan melukis Hudok Asok [hudɔʡ asɔʡ] (gambar anjing) pada lengan, paha, lutut dan betis mereka.  Manakala, golongan bawahan hanya dibenarkan melukiskan ukiran yang dinamakan sebagai Kelingei Tengen [kəliŋe təŋən] dan Ubong Bila [ubɔŋ bila].
            Kebudayaan komuniti ini sangat unik dan banyak lagi yang boleh dikaji dan dirungkai oleh pengkaji yang lain. Penulis hanya memperkenalkan serba sedikit dan membicarakan kebudayaan komuniti ini dari kaca mata penulis sebagai penutur natif bahasa Kayan dan pengamal budaya dan cara hidup masyarakat Kayan.


Data dalam ini adalah asli dan tidak ditiru daripada mana-mana pihak. Hasil perbualan dan kajian lapangan semasa memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera di UKM pada tahun 2001.
Terima Kasih.

7 comments:

  1. :)
    Unique and i am proud to be 'Orang Ulu' (kayan)

    ReplyDelete
  2. Salam sejahtera. Saya Shamsul dari PPD Segamat sedang membuat kerja kursus bagi Program Pensiswazahan Guru untuk subjek EDU3106.Saya amat berharap untuk mendapatkan salinan kajian lapangan ini (sekiranya diizinkan) untuk digunakan sebagai rujukan di dalam KKP saya. Jika diizinkan bolehlah emailkan ke uictppdsegamat@yahoo.com atau saya akan buat salinan terus (copy&paste) daripada artikel ini. Minta respon daripada cikgu. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Maria you ve done great job. From your research we ve learnt a lot. Sayu kenep. lakek kayan Tubo. marenumatevok@gmail.com

    ReplyDelete