Friday, July 15, 2011

UNSUR-UNSUR PENTING BAGI MELAHIRKAN INSAN YANG SEIMBANG DAN HARMONIS

1.0 PENGENALAN
“Pendidikan bertaraf dunia” sebagai wacana dalam dasar pendidikan negara meletakkan proses pendidikan sebagai satu bidang yang penting dalam kehidupan seharian khususnya di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai institusi perkembangan ilmu.
 Pengiktirafan yang diberikan terhadap bidang pendidikan membawa satu implikasi dan impak yang serius terhadap profesion perguruan yang secara langsung terlibat di dalam sistem penyampaian ilmu.
            Pendidikan bertaraf dunia mempunyai wawasan ke arah melahirkan generasi mengamalkan budaya fikir, kritis, kreatif dan inovatif.  Hanya manusia yang berbudaya fikir dapat bersaing di medan antarabangsa  serta menjanakan idea ke arah pembangunan tamadun ilmu, masyarakat, budaya, bangsa dan negara. 
Tahun 2004 dan tahun-tahun yang akan mendatang  bukan sahaja berkehendakkan manusia mengamalkan budaya fikir tetapi bersama-sama menggabungkan penggunaan teknologi dalam sebarang bentuk tindakan.  Perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dengan adanya penggunaan komputer dalam bidang pendidikan menjadikan ilmu lebih mudah diakses, disebar dan disimpan.  Manakala kecanggihan serta kemampuannya menyampaikan sesuatu maklumat secara cepat, tepat dan menarik dalam bentuk multimedia menjadikannya sebagai satu daya tarikan ke arah mewujudkan satu senario belajar yang lebih menyeronokkan.
Dalam hal ini profesion perguruan pada alaf baru ini haruslah mampu menguasai  dan menggabungkan kemahiran-kemahiran yang berkaitan untuk melahirkan satu bentuk pendidikan yang lebih bermakna dan bestari.
 Kebestarian sesuatu pengajaran itu bergantung kepada sejauhmanakah seseorang guru dapat mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu ke arah melahirkan seorang pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani serta dapat hidup dalam keadaan yang harmonis yang berpegang teguh pada agama dan kepercayaan pada Tuhan sepertimana yang terdapat dalam falsafah pendidikan negara.
        "Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."


            Ironisnya, gabungan empat unsur utama yang saling berkait dan bergantungan ini akan mampu melahirkan insan yang seimbang dan harmonis seperti yang termaktub dalam dasar pendidikan negara.


2.0       UNSUR-UNSUR PENTING BAGI MELAHIRKAN INSAN YANG SEIMBANG DAN HARMONIS.

2.1       UNSUR INTELEK

Unsur intelek merangkumi unsur hikmah iaitu ilmu yang sebenar. Ia berdasarkan daya pemikiran yang inovatif, logikal, analitis dan ilmu yang bermanfat. Walau bagaimanpun, unsur-unsur intelek yang diterapkan ke dalam dasar pendidikan negara banyak dipengaruhi oleh pemikiran dan teori barat. Barat menggariskan bahawa ideologi intelek adalah bersifat antroposenik, iaitu kepusatan manusia semata-mata. Ideologi barat misalnya memutuskan hubungan individu dengan Tuhan. Barat menggariskan intelek adalah bersifat sekular yang terdiri daripada enam bahagian iaitu kognitif, mental, pemprosesan maklumat, berasaskan biologi, perkembagan kognitif dan interaksi sosial.

            Menurut Nik Aziz Nik Pa dalam bukunya “Potensi Intelek” menjelaskan dalam perkembangan daya intelek, kita tidak harus mengenepikan unsur agama Islam dalam pendidikan. Ini disebabkan manusia adalah mahluk ciptaan Tuhan yang paling istimewa dan lahir dengan segala macam keistimewaan dan anugerah. Berdasarkan pendekatan tauhid, terdapat tujuh  perkembangan intelek itu, hakikat teori kecerdasan, hakikat metafona kecerdasan, mitos tentang kecerdasan, hakikat insan, hakikat pintar cerdas, fungsi perkembagan individu, dan fungsi pembangunan keluarga.

            Akal amat penting bagi melahirkan daya intelek yang tinggi dan bermutu. Akal merupakan alat peneroka dan pemyelidik ilmu dan maklumat kepad manusia. Akal yang waras secara berterusan penting untuk menjana ilmu dan maklumat terkini sejajar dengan tuntutan semasa. Antara otak dan akal sememangnya mempunyai perkaitan yang amat rapat, akal tidak sihat tanpa adanya otak. Oleh yang demikian, otak itu sendiri memainkan peranan yang amat penting dalam pelahiran yang waras.

            Kelebihan seseorang itu bergantung kepada penggunaan otaknya bagi berfikir. Otak yang berada di hemisfera kanan misalnya berfungsi untuk mengawal bahagian kiri badan dan merupakan sesuatu yang amat unik. Dalam bahagian ini, seseoarang itu berkebolehan berbahasa, bertutur, analisa matematik, analitik, logik, rasional, turutan dan disiplin. Manakala, hemisfera kanan pula berfungsi untuk proses non verbal, holistik, .lutnitif, visual, muzik, perasaan, dan imaginatif kerohanian. Berdasarkan kegunaan, otak hemisfera kiri digunakan untuk menanamkan perasaan mencintai sama ada kepada insan dan juga Tuhan.

            Kesimpulannya, berdasarkan pendapat Imam Ghazali otak berfungsi sebagai ingatan, perasaan, mensintesis, dan daya berfikir, visual atau bayangan, Oleh yang demikian, para pendidik tidak seharusnya mengenepikan agama itu sendiri  kerana agama  bukan sahaja bersesuaian dengan perkembangan daya intelek malah membantu untuk mendorong proses merealisasikan daya intelek dengan sempurna dan membekalkan daya petunjuk bagi perkembangan intelek secara beradab terutamanya dalam perkembangan dunia yang semakin mencabar kini. Sekiranya konsep dan kepercayaan kepada Tuhan Maha Pencipta itu diterapkan nescaya impian falsafah pendidikan negara akan tercapai terutamanya melahirkan masyrakat yang berilmu pengetahuan, dan berakhlak mulia akan tercapai.


2.2 UNSUR ROHANI

Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1998), rohani adalah dierti sebagai batin yang berkaitan dengan roh, rohaniah atau jiwa. Rohani pula merupakan sesuatu yang berlawanan dengan jasmani, iaitu perkara yang bukan berbentuk fizikal dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

            Imam Al-Ghazali (1058-1111) mentafsirkan rohani sebagai perkara yang terdiri daripada akal, nafsu jiwa dan roh. Mengikut pandangan Islam, perkembagan rohani seseorang insan remaja terdiri daripada pelbagai peringkat. Pada peringkat awal remaja, iaitu lingkungan umur 12-15 tahun, remaja telah  memahami nilai ketuhanan, dosa dan pahala secara konseptul. Pada peringkat ini, mereka memerlukan kepuasan rohanian untuk menghadapi dugaan hidup. Pada peringkat ini juga remaja mudah terpengaruh pada persekitaran dan rakan sebaya dalam perkembangan rohaninya.

            Namun, remaja yang berusia lingkungan 15 hngga 20 tahun mula mempunyai pegangan yang kukuh kepada agama. Mereka telah percaya tentang kewujudan  Tuhan, dosa  dan pahala serta hari pembalasan. Mereka juga mula memikirkan Tuhan dan sifat-sifat ketuhanan secara abstrak. Remaja dalam lingkungan umur  ini juga mula mempersoalkan aspek-aspek kerohanian secara logik. Malah, kadang-kadang timbul perasaan ragu, gelisah dan curiga terhadap perkara-perkara yang berkaitan kerohanian.

            Kesimpulannya, bagi meningkatkan perkembangan rohani remaja, pendidikan agama harus ditekankan seperti yang dilakukan pada masa kini.Kesedaran tentang Tuhan sebagai pencipta alam semesta dan bend-benda di sekeliling terus ditegaskan. Melalui pendidikan agama, semangat sayang kepada Tuhan serta sifat-sifat yang taat kepada suruhan Tuhan tetap akan diperkukuhkan. Maka, dengan ini perinsip dalam falsafah pendidikan negara iaitu kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan akan tercapai.


2.3    UNSUR EMOSI

Menurut Freud, seorang ahli psikologi dan psikiatri terkenal telah membahagiakan perkembangan manusia kepada tiga bahagian iaitu id, ego dan superego. Ia merupakan bahagian personaliti tidak sedar yang berfungsi sebagai stor prnyimpanan keinginan manusia dan ia telah didorong oleh tenaga libido. Ego wujud  seawal bayi berusia enam bulan dan pada waktu itu ia mengandungi pemikiran realistik, dan logik yang tersusun. Ia berfungsi mengawal supaya keinginan itu tidak akan melanggar nilai-nilai dan norma-norma masyarakat.

            Freud juga berpendapat bahawa perkembangan emosi manusia berkait rapat dengan perkembagan fizikal. Ciri perkembangan emosi remaja dapat dikenal pasti apabila remaja mulai menaruh minat terhadap rakan sebaya yang berlainan jantina. Selain itu, mereka mula merasa ingin bersosial dengan rakan sebaya. Malah pada peringkat ini, mereka telah didorong oleh tenaga libido yang memotivasikan tingkah laku.
           
Oleh itu sejajar dengan tuntutan falsafah pendidikan negara, seseorang pendidik itu harus tahu tentang emosi dan rohani pelajar mengikut peringkat perkembangannya. Pada peringkat ini golangan remaja harus dikawal dan dicegah daripada perkembangan rohani yang tidak diingini. Pendidik sewajarnya bersifat penyayang dan membantu pelajar serta membimbing mereka agar menyelesaikan masalah rohani mereka dengan cara yang berpatutan di samping menunjukkan kepimpinan melalui teladan kepada para pelajar.





2.4     UNSUR JASMANI

2.4.1        PSIKOMOTOR

Psikomotor merujuk kepada potensi atau kematangan seseorang dan kesediaan untuk melakukan sesuatu tindakan fizikal dalam sesuatu proses pembelajaran yang baru. Seseorang individu dikatakan mempunyai kesediaan psikomotor sekiranya tubuh badannya telah sampai kematangan selaras dengan latihan fizikal yang diperlukan. Kematangan psikomotor ini meliputi perkembangan otot, tulang, anggota , pengawalan dan penyelarasan pergerakan di seluruh tubuh badan.

            Peringkat kesediaan psikomotor bagi kanak-kanak yang sebaya adalah berbeza-beza, memandangkan fizikal setiap orang adalah unik dan tersendiri. Bagaimanapun, kesediaan psikomotor yang tinggi adalah membolehkan seseorang menjalankan aktiviti harian dalam program pembelajaran yang cekap dan berkesan. Kesediaan psikomotor ini adalah penting untuk pembelajaran dalam mata pelajaran Pendidikan Seni, Pendidikan Jasmani, Muzik dan Kemahiran Hidup.

            Melihat senario pendidikan dan pembelajaran di Malaysia pada masa kini, kesediaan psikomotor memainkan peranan yang amat penting bagi membentuk kokurikulum di sekolah. Malah, sistem yang diikuti oleh pelajar di sekolah telah dirancang mengikut tahap psikomotor terutamanya latihan-latihan permainan bagi menajamkan lagi kemahiran pelajar. Malah, pelajar-pelajar juga telah didahkan dengan latihan olahraga dan aktiviti fizikal yang lain untuk membina daya tenaga, daya tahan, ketangkasan dan pergerakan yang cekap.

Kesimpulannya, pada tahap kematangan dan kesediaan psikomotot yang tertentu dan peringkat-peringkat, proses pembelajaran boleh diterapkan dengan nilai-nilai Islam supaya mampu melahirkan insan yang lebih seimbang pada masa akan datang. Ini kerana fizikal yang sihat dan matang tidak akan sihat tanpa disusuli dengan kematangan dalam beribadat dan menyembah Pencipta yang Esa. Dengan ini, matlamat dan wawasan falsafah pendidikan negara akan tercapai seperti dalam petikan “Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”


2.4.2        KOGNITIF

Kognitif merujuk kepada kesediaan mental seseorang untuk belajar sesuatu. Ia berkaitan dengan peringkat perkembangan intelek seperti berfikir, menaakul, menganalisis, mengsintesis dan menilai. Biasanya, perkembangan intelek seseorang adalah berkadar secara terus dengan pertambahan umurnya iaitu murid-murid sekolah rendah hanya perlu bersedia untuk belajar operasi konkrit, dan apabila telah masuk sekolah menengah, mereka mula sanggup bersedia untuk belajar operasi yang kompleks.

            Kajian ahli-ahli psikologi Galton (1865), Goddard (1890), Newmah (1937), dan Sheildo (1962) telah membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan intelek yang berbeza-beza dengan rakan sebayanya. Perbezaan kecerdasan antar individu boleh diperhatikan daripada prestasi pelajar dalam kelas.

Dengan kata lain, kesediaan kognitif untuk mempelajari sesuatu ialah kesanggupan seseorang yang dapat melaksanakan aktiviti pembelajaran dan menerima faedahnya. Seseorang itu dikatakan mempunyai kesediaan kognitif apabila pencapaian ilmiahnya adalah sepadan dengan usaha dan latihan yang diperlukan.

Kesimpulannya, dalam unsur kognitif ini maklumat yang diterima akan diproses melalui pemilihan, perbandingan dan penyatuan dengan maklumt yang lain yang sedia ada dalam ingatan, iaitu diubah secara disusun semula. Oleh itu, bagi melahirkan generasi yang ideal, maklumat tentang ketuhanan dan keagamaan sentiasa disalurkan kepada mereka supaya maklumt ini terus sebati dalam diri pelajar itu bagi melahirkan generasi yang seimbang.


3.0 KESIMPULAN

Konklusinya, sebagai negara yang menjunjung Islam sebagai agama rasmi, maka aspek rohani perlulah ditegaskan dengan maksud menghubungkan manusia (Insan) dengan Allah (Pencipta). Ini tentulah menyentuh persoaalan dasar kepercayaan dan ketakwaan kepada Allah. Apabila diperkatakan konsep rohani, maka wajarlah dihayati aspek keimanan, tradisi keilmuan, ketakwaan, serta amal yang salih. Oleh itu, dengan wajar perkara-perkra ini dihayati di dalam pembelajaran agar dapat mencapai matlamat dalam falsafah pendidikan negara.

            Ilmu dan kebijaksanan tidak bermakna sekiranya tanpa unsur ketuhanan dan rohani dalam kehidupan manusia. Tiada gunanya kemajuan  sekiranya tanpa kasih sayang dan sikap menghormati dan menyayangi mahluk ciptaan Tuhan itu sendiri.

No comments:

Post a Comment