Thursday, March 29, 2012

Sebuah Perjuangan (Ab Manaf Kamarudin) KOMSAS Ting 3

SINOPSIS

 Babak 1

Pangeran Syahbandar menyampaikan ucapan kepada penduduk di kawasan Sungai Padas agar menentang kompeni Inggeris kerana kawasan itu di bawah pemerintahan adik Tunku Sultan Hashim Jalilul Alam.

 Babak 2

Jahul melaporkan kepada Pegawai Inggeris bahawa Pangeran Syahbandar mendakwa beliau berkuasa di Sungai Padas. Hal ini membangkitkan kemarahan Pegawai Inggeris kerana  Sungai Padas telah pun dipajak oleh Tuanku Sultan Brunei kepada mereka. Pegawai Inggeris memberi hadiah kepada Jahul sebagai penghargaan atas maklumat yang diberikan.

 Babak 3

Pangeran Syahbandar dan Awang mengesyaki ada tali barut yang menfitnah Pangeran Syahbandar kepada penduduk kampung. Mereka bertekad untuk bertindak terhadap penduduk kampung yang belot.

 Babak 4

Satu pertempuran berlaku antara pengikut Pangeran Syahbandar dengan kumpulan pembelot.

Babak 5

Jahul memberitahu Pegawai Inggeris bahawa Pangeran Syahbandar  telah menyerang dan menawan penduduk yang menyokong kompeni Inggeris. Pengawai Inggeris akan membuat bantahan kepada Sultan Brunei agar menghentikan kegiatan Pangeran Syahbandar yang menentang kompeni Inggeris.

Babak 6

Tunku Sultan mengarahkan Pangeran Syahbandar membebaskan tawanan dan menghentikan penentangan. Pangeran Syahbandar kesal kerana Sultan termakan hasutan Inggeris. Beliau bertegas tetap meneruskan perjuangan.

 Babak 7

Berlaku pertempuran antara Pangeran Syahbandar dengan polis-polis kompeni Inggeris. Mereka berjaya menyerang, membunuh dan merampas senjata api orang Inggeris.

Babak 8

Di pejabat, Pegawai Inggeris marah kerana tindakan Pangeran Syahbandar menyebabkan pihaknya kerugian. Kedegilan Pangeran Syahbandar akan dibalas kerana pihak Inggeris telah mendapat kebenaran daripada Tuan Residen untuk menyerang balas kota Manggalela iaitu kubu kuat Pangeran Syahbandar.

Babak 9

Berlaku pertempuran antara Pangeran Syahbandar dengan polis kompeni. Pangeran Syahbandar mahu semua pengikutnya berwaspada walaupun pihak kompeni telah berundur.

Babak 10

Pegawai Inggeris mengetahui tentang kebijaksanaan Pangeran Syahbandar membina kubu untuk menahan serangan kompeni Inggeris tetapi pihaknya tidak akan berputus asa dan akan menyerang sekali lagi kubu tersebut. Kompeni  Inggeris juga mendapatkan bantuan polis Sikh dari Perak yang mempunyai senjata api yang lebih lengkap.

 Babak 11

Keadaan kelam kabut berlaku kerana tembakan meriam daripada polis kompeni yang menyerang kubu Pangeran Syahbandar sekali lagi. Awang berasa cemas kerana bilangan polis kompeni yang ramai dan dibantu oleh polis Sikh manakala pihaknya hanya mempunyai senjata lembing dan keris. Pangeran Syahbandar memberi kata-kata semangat agar berjuang habis-habisan.

Babak 12

Pertempuran berlarutan, Awang memberitahu Pangeran Syahbandar bahawa mereka tidak boleh bertahan kerana ramai pengikut telah terkorban. Pangeran Syahbandar menyatakan mereka tidak akan mengaku kalah. Awang menyarankan supaya mereka menyahut seruan Gabenor untuk berunding dan menghentikan peperangan. Akhirnya Pangeran Syahbandar
bersetuju tetapi pengunduran mereka bukan bererti mereka tewas. Pangeran Syahbandar  dan pengikut-pengikutnya keluar dari kubu dan menyerah diri kepada kompeni Inggeris.

PEMIKIRAN / TEMA

Drama ini mengetengahkan pemikiran  perjuangan anak watan menentang penjajahan. Drama  ini menyorot kisah perjuangan Pangeran Syahbandar menentang kompeni Inggeris di Sungai Padas. Pangeran Syahbandar bertegas bahawa kawasan Sungai Padas merupakan hak milik Sultan Hashim Jalilul Alam yang mesti dipertahankan oleh penduduk watan. Pangeran Syahbandar sanggup menentang serangan kompeni Inggeris walaupun mereka bertempur  dalam keadaan serba kekurangan.


PERSOALAN

i.        Kepentingan mempertahankan hak kebebasan memerintah  di negara sendiri.

Contoh: Pangeran Syahbandar bertegas agar kawasan Sungai Padas diuruskan oleh anak watan.


ii.        Pengkhianatan terhadap bangsa sendiri.

Contoh: Jahul sanggup menjadi tali barut Pegawai Inggeris.


iii.        Kepentingan bekerjasama dalam mempertahankan tanah air.

Contoh: Pangeran Syahbandar  dan orang kampung menentang Kompeni Inggeris  walaupun tidak mempunyai senjata  yang lengkap.


iv.        Kebijaksanaan dalam menghadapi musuh.

Contoh: Pangeran Syahbandar dan pengikutnya telah membuat persediaan awal menentang kompeni Inggeris dengan membina kubu yang kuat.


PLOT

 Secara keseluruhan drama ini disusun mengikut kronologi iaitu mengikut urutan cerita bermula dengan Pangeran Syahbandar menyampaikan ucapan kepada penduduk di kawasan Sungai Padas dan diakhiri dengan Pangeran Syahbandar bersetuju menyerah kalah apabila melihat anak buahnya terkorban.


Pembinaan plot

Empat peringkat garapan plot:

 i.       Permulaan

Pangeran Syahbandar menyampaikan ucapan kepada penduduk di kawasan Sungai Padas. Beliau menyeru penduduk kampung menentang kompeni Inggeris

kerana daerah ini ialah kawasan mereka.



ii.          Perkembangan

Di pejabat Pegawai Inggeris, Jahul melaporkan berita tentang Pangeran Syahbandar yang memberitahu beliau berkuasa di Sungai Padas kerana itu tidak termasuk dalam kawasan pajakan Inggeris.Pertempuran berlaku antara pengikut Pangeran Syahbandar dengan kumpulan  pembelot. Pangeran Syahbandar telah mengarahkan pengikut-pengikutnya memburu dan menangkap pembelot-pembelot.Pegawai Inggeris membuat bantahan kepada Sultan Brunei supaya menghentikan tindakan Pangeran Syahbandar menentang kompeni.Tuanku Sultan mengarahkan Pangeran Syahbandar membebaskan tawanan dan menghentikan penentangan terhadap kompeni tetapi tidak diendahkan. Pertempuran dan tembak-menembak antara Pangeran Syahbandar dan polis-polis kompeni. Pangeran Syahbandar mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya menyerang, membunuh dan merampas senjata api orang Inggeris. Ramai polis kompeni dibunuh  dan senjata api dirampas.Tindakan Pangeran Syahbandar menyebabkan pegawai Inggeris mendapatkan kebenaran daripada Tuan Residen untuk menyerang balas Kota Manggalela iaitu kubu kuat Pangeran Syahbandar.

iii.         Klimaks

Keadaan kelam kabut berlaku apabila serangan sekali lagi dilakukan oleh kompeni Inggeris dengan bantuan polis Sikh. Bilangan polis kompeni lebih ramai jika dibandingkan dengan pengikut-pengikut Pangeran Syahbandar.  Awang berasa cemas  tetapi Pangeran Syahbandar memberi kata semangat supaya berjuang habis-habisan.

iv.        Peleraian

Awang menyatakan bahawa mereka tidak dapat bertahan lagi kerana ramai orang mereka yang terkorban. Awang menyarankan supaya mereka menyahut seruan gabenor supaya berunding dan menghentikan peperangan. Pangeran Syahbandar bersetuju tetapi mereka bukan menyerah kalah. Semangat mereka tetap kekal untuk menentang penjajah. Pangeran Syahbandar dan pengikut-pengikutnya keluar daripada kubu dan menyerah diri.

TEKNIK PENCERITAAN

1.            Teknik Pemerian

Contoh: Pengarang mengarapkan teknik pemerian dalam babak pertempuran antara pengikut Pangeran Syahbandar dengan polis Kompeni.

 2. Teknik dialog

Contoh: Jahul:   (sedikit gugup) Betul tuan. Saya tidak salah dengar,tuan.

3. Teknik kejutan

Contoh: Kota Manggalela diserang secara tiba-tiba oleh pihak Inggeris dengan bantuan anggota polis Sikh dari Perak selepas Pangeran Syahbandar menyangka mereka telah berundur.

WATAK DAN PERWATAKAN

Watak Utama

Pangeran Syahbandar

i.        Tokoh pejuang di Sungai Padas.

ii.        Pemimpin yang berani.

Contoh: Pangeran Syahbandar tidak gentar menentang kumpulan kompeni Inggeris yang ramai.

iii.        Pemimpin yang tegas.

Contoh: Pangeran Syahbandar bertegas meneruskan perjuangan menentang Inggeris walaupun Tuanku Sultan mahu mereka menghentikan penentangan terhadap Kompeni Inggeris.

iv.        Pemimpin yang rasional.

Contoh: Pangeran Syahbandar sanggup berunding dan berdamai dengan Kompeni Inggeris setelah pengikut-pengikutnya semakin ramai terkorban.

v.        Pemimpin yang berkaliber.

Contoh: Pangeran Syahbandar telah berjaya mengarahkan pengikut-pengikutnya menangkap pembelot.

vi.        Pemimpin yang bijak.

Contoh: Pangeran Syahbandar telah membuat persediaan yang rapi dengan membina kubu sebagai pertahanan menentang musuh.

Watak Sampingan

Awang 

i.        Pembantu kepada Pangeran Syahbandar.

Contoh: Awang sentiasa membantu Pangeran Syahbandar semasa menentang Kompeni Inggeris.

 ii.        Pemuda yang cinta akan tanah air.

Contoh: Awang bersama-sama Pangeran Syahbandar menentang kompeni Inggeris yang ingin menguasai kawasan Sungai Padas.

 iii.        Berfikiran jauh.

Contoh: Awang mencadangkan Pangeran Syahbandar supaya berunding dan menghentikan peperangan.


Jahul

i.        Tali barut Inggeris.

Contoh: Jahul sentiasa melaporkan kegiatan Pangeran Syahbandar dan pengikut-pengikutnya kepada Pegawai Inggeris.

 ii.        Pemuda yang mudah termakan pujukan.

Contoh: Jahul bersetuju memberikan maklumat  apabila  Pegawai Inggeris memberi hadiah.


Pegawai Inggeris

i.        Wakil kompeni Inggeris di Sungai Padas.  

ii.        Bijak mengatur strategi.

Contoh: Pegawai Inggeris pandai memujuk Jahul untuk mendapatkan maklumat dengan memberikan ganjaran kepada Jahul.


LATAR

Latar Masa

i.        Berlaku hampir 4 bulan

Contoh: Awang menyatakan pertempuran antara pengikut Pangeran Syahbandar dengan Kompeni Inggeris sudah berlarutan hampir 4 bulan.

 ii.        Waktu malam.

Contoh: Pertempuran berlaku antara pihak Kompeni Inggeris dengan pengikut Pengeran Syahbandar di Kota Manggalela.


iii.        Waktu pagi.

Contoh: Jahul melaporkan berita Pangeran Syahbandar mendakwa dia berkuasa di kawasan Sungai Padas kepada Pegawai Inggeris.

Latar Tempat

i.        Di kawasan Sungai Padas.

Contoh: Pangeran Syahbandar memberi ucapan kepada penduduk kampung bahawa Kompeni Inggeris tidak berhak melarang mereka mencari nafkah di bumi mereka sendiri.

ii.        Pejabat Pegawai Inggeris.

Contoh: Perbualan antara Jahul dan Pegawai Inggeris tentang perkara yang berlaku di kawasan Sungai Padas.


iii.        Kubu Kota Manggalela.

Contoh: Kompeni Inggeris membedil kota Manggalela sebagai serangan balas.


Latar Masyarakat

i.        Masyarakat  kampung yang mudah dipengaruhi.

Contoh: Terdapat penduduk kampung Kawasan Sungai Padas menyokong kompeni Inggeris dan menjadi pembelot.

ii.        Masyarakat  yang mengkhianati bangsanya sendiri.

Contoh: Jahul memberi maklumat mengenai Pangeran Syahbandar kepada Kompeni Inggeris.

iii.        Masyarakat penjajah.

Contoh: Kompeni Inggeris bertegas mahu menguasai  kawasan Sungai Padas.


iv.        Masyarakat pemimpin yang bertimbang rasa.

Contoh: Pangeran Syahbandar hanya akan mengutip cukai sekadar yang termampu oleh penduduk.


GAYA BAHASA


i.        Kata pinjaman(bahasa Inggeris)

Contoh: what, special for you, coming

ii.        Peribahasa

Contoh: Biar berputih tulang, jangan berputih mata, alang-alang mandi biar basah, kepala batu, biar kita mati berkalang tanah

iii.        Kata ganda

Contoh: tercunggap-cungap, saudara-saudara dan polis-polis

 iv.        Sinkof/sinkop Contoh: tu, tak kan, tapi


NILAI

i.           Nilai semangat cinta akan tanah air

Contoh: Pangeran Syahbandar sanggup bergadai nyawa untuk mempertahankan kawasan Sungai Padas.

ii.          Nilai kesetiaan

Contoh: Awang menyokong tindakan Pangeran Syahbandar demi mempertahankan tanah air daripada kekuasaan Kompeni Inggeris.

iii.         Nilai bersatu padu

Contoh: Pangeran Syahbandar, Awang, dan pengikut-pengikutnya bersatu padu dalam menentang Kompeni Inggeris sehingga ramai yang terkorban.

iv.        Nilai keberanian

Contoh: Pangeran Syahbandar dan Awang sanggup mati demi menegakkan hak mereka. Mereka juga berani menyerang pihak Kompeni Inggeris walaupun tidak mempunyai kelengkapan senjata yang sesuai.

v.         Nilai rasional

Contoh: Pangeran Syahbandar menerima pendapat Awang untuk berdamai dengan pihak Kompeni Inggeris agar tidak ramai yang menjadi korban.

PENGAJARAN

i.        Kita haruslah mempertahankan tanah air daripada sebarang bentuk penjajahan.

Contoh:  Pangeran Syahbandar berjuang habis-habisan untuk mempertahankan kawasan Sungai Padas.

ii.        Kita hendaklah bersatu padu menentang penjajah.

Contoh: Pengikut-pengikut kampung bersama-sama Pangeran Syahbandar dan Awang bersatu padu menentang Kompeni Inggeris.

iii.        Kita hendaklah berani menentang penjajah.

Contoh:  Pangeran Syahbandar dan pengikut-pengikutnya berani menentang Kompeni Inggeris.

iv.        Kita mestilah setia kepada ketua.

Contoh: Pangeran Syahbandar sentiasa disokong oleh Awang dalam mempertahankan tanah air.




CIKGU NANCY 2012


1 comment:

  1. kalau soalan dia tanya pendapat kita tentang drama ni?

    ReplyDelete