Saturday, July 27, 2013

CETI HARAM


Walaupun faedah yang sangat tinggi dikenakan oleh ceti haram atau Along,  ramai orang masih tidak serik mencari khidmat mereka untuk menyelesaikan masalah kewangan.  Bincangkan punca-punca yag menyebabkan gejala ini berlanjutan dan kesan-kesannya.

 

Jawapan:

 

            Kini, ramai orang yang menghadapi masalah kewangan meminjam wang daripada ceti haram.  Mereka merupakan kumpulan pemberi pinjaman  dan dikenali dalam masyarakat India sebagai ‘Chettiar’, manakala ‘Tai Ee Long’ dan ‘Along’ dalam masyarakat Cina dan masyarakat Melayu masing-masing.  Terdapat banyak faktor yang menyebabkan ramai orang berbuat demikian.  Kegiatan ini, jika tidak dibendung pasti mendatangkan pelbagai kesan buruk.

 

            Faktor utama ramai orang meminjam wang daripada ceti haram kerana menghadapi masalah kewangan.  Ada dikalangan peniaga menghadapi masalah kekurangan modal pusingan atau sukar mendapat pinjaman bank kerana tidak memiliki harta untuk dipajakkan sebagai cagaran. Tambahan pula, kelulusan pinjaman dari bank mengambil masa yang lama menyebabkan mereka membuat keputusan mendapatkan khidmat dari ceti haram untuk mendapatkan pinjaman.

 

            Kemudahan mendapat pinjaman mendorong ramai orang yang mengalami masalah kewangan seperti tidak mampu membayar hutang perniagaan meminjam wang daripada ceti haram kerana mereka boleh mendapat wang tunai dengan segera tanpa memerlukan cagaran.  Peminjam juga tidak perlu menyediakan sebarang kertas cadangan atau dokumen.  Syaratnya hanyalah membayar balik pinjaman beserta faedahnya dalam masa yang ditetapkan.

 

            Kesan buruk utama pinjaman daripada ceti haram ialah faedah yang dikenakan sangat tinggi.  Peminjam dikenakan faedah melebihi 10% dalam tempoh sebulan.  Jika peminjam gagal menjelaskan pinjamannya dalam masa yang ditetapkan, hutangnya akan berlipat ganda daripada jumlah pinjaman asalnya.  Akhirnya, peminjam seperti menjerat leher sendiri kerana langsung tidak mampu membayar hutang.

 

            Keganasan terhadap para peminjam juga berlaku jika gagal membayar balik pinjaman.  Anak isteri peminjam mungkin diculik dan peminjam sendiri akam diugut, digertak atau dikasari.  Ada peminjam yang dibunuh kerana tidak membayar hutang.  Pernah berlaku tragedi sekeluarga suami isteri dan anak terpaksa membunuh diri kerana tidak tahan akan ugutan ceti haram.

 

            Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk menangani kegiatan ceti haram yang memeng mendatangkan kesan buruk yang pelbagai kepada masyarakat.  Kempen kesedaran perlu diadakan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia terjerumus ke dalam kancah hutang yang tidak berkesudahan.

 

(300 patah perkataan)

1 comment:

  1. Mudah-mudahan kita terhibdar dari peprbuatan dosa.

    ReplyDelete