Thursday, April 24, 2014

RUKUN NEGARA AMALAN HIDUP RAKYAT MALAYSIA


(Tempat ketiga Pertandingan Pidato Antara Sekolah Menengah Bahagian Miri 2013)

Oleh : Ramlah Ak Baro, 5 Sains Alamanda

“Kepercayaan kepada Tuhan,Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan,Kedaulatan undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.” Lima prinsip Rukun Negara yang diwujudkan ini adalah dibentuk berdasarkan acuan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan juga agama.Memetik kata-kata mantan perdana menteri kedua Malaysia,Tun Abdul Razak Hussein “Rahsia kesempurnaan Rukun Negara adalah pada amalannya.Tanpa amalan Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna.”
Terima kasih diucapkan kepada nakhoda pimpinan majlis yang berwisi,Tuan pengerusi majlis yang dihormati,kombinasi kehakiman yang berintergriti,seterusnya sidang hadirin yang dikasihi.Salam sejahtera dan salam perpaduan 1Malaysia.Berdirinya saya disini dengan penuh iltizam,ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana malelui mauduk pidato yang berbunyi “Rukun Negara Amalan Hidup Rakyat Malaysia”
Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara saya mewartakan dengan lebih jelas pendefinisian Rukun Negara. Rukun negara adalah satu ideologi negara yang mengandungi prinsip-prinsip kehidupan bermasyarakat, nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi aspek keagamaan,kebudayaan,ekonomi,politik dan perundangan.
Hadirin yang penuh santun,
Rukun negara terbentuk ekoran daripada peristiwa 13Mei 1969 setelah berlaku rusuhan kaum yang menggugat keamanan dan keutuhan negara.Hasil pemikiran Majlis Perundingan Negara(MPN) yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Hussein maka lahirlah Rukun Negara sebagai satu bentuk garis panduan dalam membina masyarakat yang bersatu padu, adil dan harmoni.

Menurut Tun Abdul Razak “Adalah mustahak Rukun Negara bukan sahaja difahami oleh setiap rakyat , tetapi juga diamalkan dengan sepenuhnya dan segala hikmat-hikmat yang terkandung di sebalik tiap-tiap perkataan dan kalimat Rukun Negara itu benar-benar menjadi darah daging”.Oleh itu bagi merungkaikepentingan rukun negara dan membuktikan kemampuannya,5 perspektif hujah saya unjurkan.
Hadirin sekalian,
Hijab pidato ini saya buka dengan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan.Albert Einstein pernah berkata, “agama tanpa ilmu itu lumpuh, ilmu tanpa agama itu buta”.Nah,terbuktilah bahawa agama amat penting dalam kehidupan manusia. Agama dijadikan pegangan utama rakyat Malaysia kerana ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang,sesuatau bangsa dan juga negara.Perlembagaan persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan bebas di negara kita sekaligus membuktikan bahawa rakyat negara ini mengamalkan sikap toleransi yang tinggi kerana tidak membeza-bezakan warganya.
Pendengar yang penuh santun,
Hujah saya yang kedua di bawah lembayung kata Prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan negara amat penting diamalkan bagi melahirkan rakyat yang taat setia kepada pemerintah dan negara. Setiap warganegara haruslah menumpukan sepenuh taat setia kepada raja dan negara kerana Raja lambang perpaduan negara.sumpah taat setia kepada raja dapat mengelakkan sesetengah rakyat di negara ini menggunting dalam lipatan atau menangguk di air yang keruh demi kepentingan diri sendiri.perkara buruk seperti rusuhan kaum dapat dielakkan jika rakyat mematuhi prinsip kedua ini sekaligus menjamin kestabilan negara yang berterusan.
Keluhuran perlembagaan adalah prinsip ketiga dalam rukun negara.Prinsip ini menekankan perlunya rakyat menerima,mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan perlembagaan negara keran perlembagaan negara merupakan sumber perundangan yang tertinggi.Rakyat perlu sedar bahawa Perlembagaan negara berfungsi untuk melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara.Nah,sudah terang lagi bersuluh,sudah tentulah setiap pesalah akan dikenakan tindakan tanpa mengira darjat dan sebagainya.
Hadirin sekalian,
Beralih kita kepada hujah saya yang keempat adalah bedasarkan Prinsip kedaulatan undang-undang.Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman,stabil dan makmur sekaligus menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan lancar dan teratur tanpa sebarang kekacauan.Hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang dan perkara-perkara seperti mana yang dijamin oleh perlembagaan.Sesiapa pun yang didapati bersalah akan mendapat hukuman yang setimpal bertepatan dengan aforisme, “ular dipukul jangan mati,kayu pemukul jangan patah,tanah dipalu jangan lembang.
Kesopanan dan kesusilaan adalah prinsip terakhir dalam rukun negara selaras dengan hujah saya yang terakhir pada hari ini.Prinsip ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang yang bertujuan untuk membentuk warganegara yang bersopan santun dan bersusila.Pengamalan prinsip ini membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini mengamalkan sikap saling menghormati dan menjaga hubungan baik antara satu sama lain. Justeru,tidak wajar sesuatu kaum membangkitkan isu yang dianggap sensitif agar ketenteraman rakyat sentiasa terpelihara.
Tidak hairanlah hadirin sekalian, jika suatu hari nanti generasi akan datang saling mengejek antara kaum, saling membenci antara agama dan saling menghina antara bangsa,jika kita sendiri tidak mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kehidupan kita. Bahkan jangan kita terkejut sekiranya peristiwa 13 Mei 1969 berulang kembali jika kita bersikap nafsi. Oleh itu hadirin sekalian, bukalah mata dan minda sama-sama kita memulakan anjakan paradigma dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai panduan hidup kita. Persoalannya, untuk mengejar harta duniawi, haruskah kepentingan negara menjadi taruhan? Tepuk dada tanya minda, tepuk dahi fikirlah sendiri.
Hadirin yang berwisi,
Sebelum kata mengunci bicara, sebelum langkah mengundur pergi,ingin saya simpulkan pidato saya dengan merenung ucapan yang disampaikan pada Perhimpunan Bergerak kaum Ibu dan Pemuda UMNO pada 22 Januari 1971,
“kerajaan amat berharap bahawa rakyat negara ini akan menjunjung tinggi Perlembagaan negara kita dan juga menjunjung tinggi dan mengamalkan prinsip-prinsip rukun negara. Saya yakin dan percaya dengan izin Tuhan jika kita patuh kepada kedua-dua ini,rakyat negara ini akan damai dan kita terus menjadi negara yang kukuh dan bersatu serta makmur.
Sekian terima kasih, srikandi mohon permisi.

 

1 comment: