Monday, June 20, 2011

KES PEMBUANGAN BAYI DI MALAYSIA

Karangan Bahagian B

Kes pembuangan bayi semakin berleluasa terutamanya dalam kalangan remaja

            Dalam meniti kehidupan pada marcapada ini,kes jenayah semakin berleluasa di negara kita. Kes jenayah boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku dan boleh kita ketahui melalui akhbar harian,majalah,media massa dan tidak ketinggalan juga melalui corong-corong radio. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kes jenayah amat gawat melanda kita di mana perkara sedemikian dapat menggugat kesejahteraan masyarakat di negara ini. Apakah sebab-sebab berlakunya kes jenayah dalam kalangan masyarakat? Siapakah yang berperanan dalam menangani masalah tersebut ke akar umbi bagi mengelakkan masalah tersebut menjadi bertambah gawat? Apakah langkah-langkah untuk mengatasi sesuatu kes jenayah tersebut? Kita haruslah mengambil langkah yang bijak bagi menanganinya, bak kata pepatah “mencegah lebih baik daripada merawat”.
            Seperti yang dapat kita lihat melalui paparan akhbar hampir pada setiap hari kes jenayah seperti kes pembuangan bayi amat berleluasa dan nisbah bilangannya kian meningkat sehingga membimbangkan setiap lapisan masyarakat di negara kita. Hal ini demikian kerana kes jenayah tersebut telah membawa banyak impak negatif yang boleh menggugat orang lain dari segi pelbagai aspek. Terdapat banyak sebab berlakunya kes pembuangan bayi, antaranya disebabkan kurang didikan agama yang merupakan antara sebab utama kes pembuangan bayi berlaku.Biasanya golongan remaja yang merupakan golongan yang paling banyak terjerumus dalam kes jenayah pembuangan bayi. Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup. Bak kata Benjamin Franklin yang mengatakan bahawa manusia masih berbuat jahat padahal sudah ada agama, bagaimana jadinya kalau tidak ada agama? Hilangnya pedoman hidup menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan lalu terlibat dalam gejala negatif, antaranya adalah pergaulan bebas. Mereka yang terlibat dalam pergaulan bebas akan menjalinkan hubungan di luar tabii. Hal ini menyebabkan kaum perempuan mengandung sebelum berkahwin. Dalam situasi tersebut,remaja yang hilang pegangan agama akan menjadi tidak berperikemanusiaan lalu meninggalkan bayi yang baru dilahirkan di tempat-tempat awam seperti tandas awam, tong sampah,tepi longkang dan sebagainya. Contohnya kes pembuangan bayi pada 8 Februari 2010 telah dijumpai mayat bayi dibungkus di dalam plastik hitam ditemui ditanam di tepi parit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
            Sementelahan pula,pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan kes pembuangan bayi berlaku. Hal ini demikian kerana pada usia muda,remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Hal ini bertambah teruk apabila mereka bergaul dengan rakan sebaya yang negatif. Rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan masyarakat,tamsilnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung.Dalam keadaan yang terdesak,mereka terpaksa membuangkan bayi mereka kerana ingin menutup keaiban yang dilakukan.
            Di samping itu, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum turut menyebabkan masalah sosial ini berlaku. Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah,sudah pastinya masyarakat setempat akan menghina dan memandang ringan padanya. Secara tidak langsung,remaja perempuan itu juga akan dianggap menjatuhkan maruah keluarganya.Demi menjaga imej sendiri dan keluarga,remaja tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuangkan bayinya daripada dipandang jijik oleh masyarakat.
            Remaja merupakan pelapis dan penentu jatuh bangunnya sesebuah negara pada masa depan. Namun gejala sosial yang menghantui remaja sekarang seperti membuang anak menjadikan kita dalam dilema. Bagi mengelakkan rasa malu dan hinaan masyarakat, anak yang tidak berdosa ini dbuang merata-rata. Pelbagai langkah boleh diambil untuk menangani jenayah pembuangan bayi dalam kalangan remaja. Antaranya ialah kerajaan perlu mengkaji semula Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan agar denda yang lebih berat dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah.Hal ini amat penting agar remaja akan berasa takut dan serik untuk membuang bayi. Ekoran mereka akan berhati-hati semasa bergaul dan mengelakkan hubungan yang melampaui batasan agama. Hal ini membolehkan mereka menghayati gaya hidup sihat. Kejadian mengandung tanpa nikah dan pembuangan bayi pasti dapat dielakkan.
              Selain itu,didikan agama yang sempurna juga perlu diberikan kepada anak-anak seawal yang mungkin demi memandu mereka ke arah kebaikan. Ibu bapa haruslah memainkan peranan mereka dalam membentuk anak-anak mereka untuk menjadi insan yang berguna. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan adanya iman yang kukuh, mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan gejala dan persekitaran yang negatif. Hal ini demikian kerana mereka sudah boleh membezakan antara yang baik dan buruk. Segala perbuatan haram dan berdosa seperti melakukan seks bebas dapat dihindari. Natijahnya,mereka akan mengamalkan cara hidup sihat bersama-sama nilai-nilai murni yang menjadi kebanggaan masyarakat Timur.
            Remaja yang membuang bayi lazimnya terdesak oleh perasaan malu yang dikhuatiri boleh ‘menconteng arang’ ke muka keluarga. Oleh itu,pihak berkuasa menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (UKM), misalnya perlu menubuhkan pusat-pusat jagaan untuk ibu-ibu muda yang mengandung. Pusat ini boleh berfungsi sebagai tempat remaja berkenaan mengadu dan mendapatkan bimbingan. Dengan cara ini, nyawa bayi tidak berdosa boleh diselamatkan. Di samping itu,ibu-ibu yang mengandung ini boleh menebus dosa mereka dengan menjadi ahli masyarakat yang berguna.
            Langkah seterusnya ialah penubuhan bank bayi. Bank ini berfungsi menjaga bayi yang tidak diingini atau tidak mampu dibela oleh ibu mereka. Bayi-bayi ini dijaga oleh pihak berkenaan sehingga besar dan boleh hidup berdikari.Dalam tempoh tertentu pula,pihak bank bayi boleh member peluang kepada si ibu mengambil anak semula sebelum diberikan kepada pasangan yang tidak mempunyai anak. Dengan kaedah ini,nasib dan masa depan mereka lebih terjamin berbanding tragedi yang menimpa seandainya dibuang sewaktu dilahirkan.
            Langkah terakhir yang boleh dilakukan ialah menerusi kempen-kempen program motivasi. Tanggungjawab ini boleh dilakukan oleh pelbagai media yang ada di negara kita. Dengan kata lain,grafik dan pendedahan berbentuk ‘Kisah Benar’ seseorang yang pernah membuang anak akan membangkitkan kesedaran para remaja.Manakala, program motivasi kesedaran seperti ‘Adab Bergaul’ dan ‘Dosa-dosa Besar’, misalnya mampu memperkuat lagi rasa insaf dan takut remaja akan dosa. Justeru, mereka akan sentiasa beringat dan berwaspada daripada melakukan noda dan dosa.
            Deduksinya,setiap bayi yang dilahirkan mempunyai hak untuk hidup. Oleh itu,semua pihak harus melihat gejala membuang bayi secara rasional.Tindakan bersepadu Angkatan Relawan Rakyat (RELA), Jawatan kuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan Rukun Tetangga (RT) perlu untuk menangani pergaulan bebas dalam kalangan remaja. Bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.


Liaw Yang Ching
5 Sains Alamanda
SMK MERBAU MIRI, Sarawak

No comments:

Post a Comment