Wednesday, June 29, 2011

Langkah-Langkah Mewujudkan Persekitaran Yang Bersih (Karangan Bahagian A)

            Kepesatan pembangunan ekonomi dan sosial negara kita tidak boleh dipertikaikan lagi. Malangnya, pembangunan dan kemajuan negara tidak seimbang dengan pembangunan kesihatan. Hal ini jelas ditunjukkan apabila kadar penyakit daripada haiwan perosak seperti yang telah berlaku baru-baru ini iaitu kencing tikus amatlah membimbangkan. Semua pihak wajib memikul tanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang bersih. Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil dan dilaksanakan.
            Antara langkah untuk mewujudkan persekitaran yang bersih adalah mengitar semula barangan yang boleh dikitar semula seperti plastik, kertas dan tin. Hal ini boleh membantu untuk mengurangkan longgokan sampah sarap. Natijahnya, haiwan perosak tidak akan membiak dengan cepat dan banyak. Selain itu, mengitar semula barangan dapat mengelakkan pencemaran udara dan tanah. Kualiti udara dan tanah akan bertambah baik sekali gus mengelakkan kandungan gas berbahaya serta keasidan tanah.
            Di samping itu, persekitaran yang bersih dapat diwujudkan melalui aktiviti gotong-royong. Masyarakat perlu peka dengan persekitaran yang bersih dengan bekerjasama membersihkan kawasan yang kotor. Hal ini juga dapat menegah pembiakan nyamuk berbahaya. Seterusnya, masyarakat boleh menanam pokok-pokok bunga bagi mengisi kawasan tanah kosong yang terdapat berhampiran jalan raya. Langkah ini boleh mengelakkan orang awam membuang sampah di kawasan tersebut.
            Tambahan pula, pihak kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang bersih. Pihak kerajaan boleh mengadakan kempen kebersihan kepada orang awam. Melalui kempen tersebut, masyarakat akan lebih berwaspada terhadap penjagaan persekitaran. Tambahan pula, pihak kerajaan dapat menanamkan amalan kebersihan ini melalui sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Persekitaran yang bersih boleh dijadikan tajuk utama dalam mata pelajaran agar mendedahkan kepada pelajar tentang kepentingannya.
            Konklusinya, semua pihak haruslah tidak memandang enteng akan persekitaran yang bersih. Sebagai insan Tuhan yang telah diamanahkan untuk menjaga alam sekitar, kita perlulah memikul dan melaksanakan tugas tersebut dengan sempurna kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kita juga perlu prihatin bahawa persekitaran yang kotor bukan sahaja memberi impak yang negatif kepada bumi tetapi kepada diri kita sendiri. Oleh itu, pembangunan negara haruslah selaras dengan aspek kebersihan sebelum padah menimpa kita kerana kalau nasi sudah menjadi bubur, kita hanya perlu akur.      


Karya,
Debbie Thomas
Tingkatan 5 Alamda
SMK Merbau Miri

5 comments: