Thursday, August 4, 2011

MASYARAKAT PENYAYANG, LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK DAN HALANGAN PEMUPUKANNYA (KARANGAN JENIS WAWANCARA BAHAGIAN B)

Masyarakat penyayang merupakan aspek penting dalam usaha membentuk Malaysia sebagai negara maju.Anda dan seorang rakan berbual-bual tentang cara untuk mencapai hasrat membentuk Masyarakat Penyayang dan halangan-halangan yang dihadapi dalam mencapai hasrat tersebut.Tulis dialog itu selengkapnya.


                                                   Wawancara mengenai Masyarakat Penyayang.
Onew              : Selamat pagi,Mint.Awal kamu bangun hari ini.Apa yang sedang kamu lakukan?
Mint                : Selamat pagi.Saya sedang membaca surat khabar.Maklumlah,kita harus peka terhadap isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling kita.Surat khabar merupakan salah satu wahana yang efektif dalam usaha untuk menyampaikan maklumat yang  mutakhir. Surat khabar menjelaskan sesuatu maklumat dengan lebih terperinci   dengan menyatakan tarikh, hari, masa dan butir-butir sesuatu perkara. Bak kata pepatah, "mata pena lebih tajam daripada mata pedang" . Kamu ada baca surat khabar hari ini ?
Onew              : Ada.Sebagai rakyat yang prihatin dan mengambil berat tentang pembangunan negara dari segi segala aspek, kita memang sewajarnya mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa mengenai pembangunan negara. Kita tidak sepatutnya bersikap ibarat pepatah, "bagai katak di bawah tempurung" yang bermaksud tidak   mengetahui perkembangan seantero dunia. Tajuk utama surat khabar pada hari ini sangat menarik. Tajuk itu menekankan usaha-usaha yang dilakukan  untuk   mewujudkan masyarakat penyayang. Sebenarnya, saya tidak berapa faham akan  konsep sebenar masyarakat penyayang. Bolehkah kamu menjelaskan tentang maksud sebenar masyarakat penyayang kepada saya?
Mint                : Boleh,apa salahnya.Masyarakat penyayang merupakan sesebuah komuniti iaitu setiap individu dalam komuniti tersebut memiliki sifat kasih sayang, simpati, prihatin dan kesanggupan untuk berkorban serta bertolak ansur  dengan semua. Masyarakat penyayang pada umumnya berkonsepkan atau memaparkan imej yang ceria dan harmoni.
Onew              : Oh,begitu! Tentu pelbagai cabaran telah negara Malaysia tempuhi dalam usaha untuk mencapai hasrat membentuk masyarakat penyayang.Terdapat banyak  halangan yang dihadapi dalam usaha membentuk masyarakat penyayang . Setahu saya, salah satu halangan untuk membentuk masyarakat penyayang ialah corak  hidup masyarakat kini yang lebih mengagungkan nilai-nilai duniawi atau bersifat materiaistik . Hal ini disebabkan keghairahan masyarakat yang berlumba-lumba mengejar kekayaan dan kehidupan mewah sehingga mengabaikan peranan dalam membina masyarakat penyayang .Keinginan untuk memenuhi tuntutan sanubari yang menebal menjurus kepada sikap tamak haloba menguasai diri dan mengikis nilai-nilai murni dalam diri individu. Masyarakat pada masa kini kebanyakannya membuka diri untuk melaksanakan proses modenisasi. Modenisasi merupakan satu proses transformasi ekonomi dan sosial dalam masyarakat sebagai kesan daripadanya bermulanya perindustrian. Modenisasi juga boleh diterima sebagai keadaaan masyarakat tradisional menggantikan atau memodenkan sikap, autoriti, hubungan dan nilai-nilai lama kepada yang dikatakan baru. Gaya hidup tradisi  telah berubah sebagai gaya hidup moden. Masyarakat moden tidak lagi menerima suratan takdir. Mereka mempercayai barang-barang materialistik merupakan asas fundamental dalam usaha  pembaharuan dan memandang kepada masa hadapan.Proses modenisasi menuntut individu agar bergerak sejajar dan selaras dengan perubahan gaya hidup yang bercorakkan kemewahan semata-mata. Kesulitan individu untuk mencapai matlamat itu menyebabkan individu sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk merealisasikan matlamatnya. Bak kata pepatah, "alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan". Bagaimanakah pula cara untuk mencapai hasrat membentuk masyarakat penyayang?
Mint                : Terdapat beberapa pihak yang memainkan peranan besar untuk merealisasikan  hasrat tersebut.Pihak utama yang memainkan peranan ialah ibu bapa. Hal ini disebabkan setiap individu yang dilahirkan dalam negara kita dilahirkan oleh kesemua ibu bapa dan ibu bapa sepatutnya berusaha membentuk seorang anak yang memiliki sifat-sifat penyayang. Ibu bapa tidak perlu untuk mengambil tahu masyarakat ini begitu besar dan bagaimana hanya anak saya seorang mampu membentuk sebuah masyarakat penyayang? Jawapannya ialah jika setiap ibu bapa terlibat dalam usaha ini dan penggabungan kesemua anak-anak di Malaysia sudah mampu melahirkan sebuah masyarakat yang penyayang. Justeru,ibu bapa perlu menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak kerana bak kata pepatah, "bapa borek, anak rintik". Pepatah ini membuktikan bahawa ibu bapa sendiri perlu bersifat penyayang supaya jejak langkah meraka akan diikuti oleh anak mereka. Dalam pada itu, ibu bapa sendiri perlu mencurahkan kasih sayang kepada anak mereka supaya anak-anak yang membesar tidak akan rasa kekurangan kasih sayang. Keadaan ini   secara tidak langsung akan menjadikan seseorang anak yang membesar itu untuk mempunyai sifat kasih sayang kerana mereka mengetahui perasaan kebahagiaan kasih sayang.
Onew              : Sementelahan, pihak sekolah juga merupakan salah satu agen yang penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang penyayang. Pendedahan nilai-nilai murni harus didedahkan dan seterusnya disemai ke dalam jiwa setiap pelajar. Oleh itu, pihak    sekolah tidak seharusnya hanya mendedahkan nilai-nilai murni kepada para pelajar dalam subjek Pendidikan Moral dan Agama Islam sahaja tetapi nilai-nilai ini perlu diterapkan pada setiap masa walaupun di luar waktu dua subjek tersebut.  Guru-guru pula mesti menyemai sifat penyayang kepada para pelajar sejak mereka kecil lagi seperti bak pepatah "melentur buluh biarlah dari rebungnya".Seterusnya  pendekatan-pendekatan yang bersifat penyayang semasa proses pembelajaran dan pengajaran seharusnya dikreatifkan supaya para pelajar dapat membesar dengan persekitaran yang penyayang dan harmoni. Apakah peranan kerajaan dalam usaha untuk mewujudkan masyarakat penyayang?
Mint                : Pihak kerajaan berperanan dalam mengambil inisiatif untuk turut membantu dalam membentuk sebuah masyarakat yang penyayang. Sehubungan itu, kerajaan boleh mengadakan kempen pembentukan masyarakat penyayang di seluruh negara. Kempen yang dijalankan mesti holistik dan memberi kesan kepada masyarakat. Papan tanda serta risalah yang diedarkan mestilah mampu menarik perhatian orang ramai dan seterusnya memberi impak yang efektif. Sifat yang murni   ini juga boleh menjadi pegangan setiap kakitangan kerajaan, institusi dan jabatan kerajaan. Pemimpin-pemimpin negara dan negeri juga mesti selalu menyeru orang ramai supaya bersifat penyayang dalam ceramah dan ucapan mereka. Hal ini   disebabkan kebiasaannya rakyat akan mengikuti segala yang diseru oleh pemimpin negara.
Onew              : Seperti yang kita maklum,bukan senang untuk mencapai hasrat untuk mewujudkan masyarakat penyayang.Halangan secara holistik dan bertubi-tubi menjadikan hasrat tersebut sukar untuk dicapai dan memerlukan usaha semaksima mungkin.Antara halangan yang menyebabkan kewujudan masyarakat penyayang terbantut adalah gaya hidup masyarakat yang tidak berpaksikan nilai-nilai rohaniah atau elemen   keagamaan. Cara hidup masyarakat negara kita yang semakin moden dan sentiasa mengikut peredaran zaman telah menutup mata dan hati mereka untuk mengamalkan ajaran agama. Malah, yang lebih menyedihkan,ada segelintir daripada masyarakat Malaysia menganggap bahawa ajaran agama sudah lapuk dan kurang   sesuai diamalkan. Fenomena ini semakin menjadi-jadi dari hari ke hari tanpa kita sedari. Tambahan pula, kurangnya didikan agama pada peringkat awal telah menyebabkan budaya yang murni kurang diamalkan dalam kalangan masyarakat.Seorang pujangga yang bernama Hamka pernah berkata bahawa kepercayaan kepada Tuhan itu telah ada dalam lubuk jiwa manusia. Namun begitu, kepercayaan tentang adanya Allah itu belum menjadi jaminan bahawa orang itu tidak akan sesat. Pernyataan tersebut dengan jelas sekali menyatakan bahawa betapa pentingnya aspek agama dalam kehidupan manusia untuk dijadikan pedoman hidup. Masyarakat sepatutnya mendekatkan diri kepada Tuhan mengikut      kepercayaan masing-masing agar tidak mudah terjatuh dan tersungkur ke dalam kancah dosa. Manusia yang tidak mempunyai pegangan agama sanggup saling bercakaran untuk menjadi yang terbaik. Bak kata seorang pujangga yang bernama Sydney Charles Buxton, "kehidupan ini seperti permainan catur, siapa yang dapat memandang jauh ke depan dialah yang menang. Pernyataan ini sememangnya benar tetapi jika tidak bersandarkan dan mengikut pemahaman dari segi agama,pernyataan tersebut mungkin ditafsir tanpa melibatkan nilai-nilai murni. Bak kata seorang pujangga, "agama tanpa ilmu adalah buta. Ilmu tanpa agama adalah lumpuh".
Mint                : Saya bersetuju sekali dengan pendapat kamu,Onew.Dari perspektif lain, masyarakat Malaysia kini semakin kurang mengamalkan budaya penyayang kerana institusi kemasyarakatan yang semakin goyah. Senario ini menyebabkan sesetengah individu dalam masyarakat sekarang lebih bersikap nafsi-nafsi atau mementingkan diri. Tanpa kita sedari, sikap keakuan ini semakin menular dalam kalangan masyarakat. Perkara ini diperlihatkan dalam sebuah iklan yang disiarkan di televisyen yang memaparkan situasi seorang anak muda sedang duduk dalam gerabak kereta api  tidak menghiraukan seorang tua yang berdiri. Walaupun pelbagai iklan serta kempen telah banyak dijalankan, namun masih tidak memberikan apa- apa impak terhadap pengamalan budaya penyayang dalam kalangan masyarakat kini.
Onew              : Deduksinya ,setiap individu dalam kalangan masyarakat harusnya mengambil  inisiatif untuk melakukan anjakan paradigma bagi  merealisasikan pembentukan masyarakat  dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan cara ini, masyarakat kita akan dipandang tinggi sebagai sebuah bangsa yang bukan sahaja maju dari aspek kebendaannya, justeru kaya dengan budaya penyayang. Secara tidak langsung juga imej negara akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap sebagai masyarakat  kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya. Bak kata pujangga yang bernama Ahmad Shauqi Bey yang berkata sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh. Jika akhlaknya sudah lumpuh,mereka pun akan   lenyap.
Mint                : Betul kata kamu.Saya tidak menyangka bahawa kamu mempunyai pengetahuan yang luas mengenai  usaha-usaha untuk membentuk masyarakat penyayang. Sememangnya     konsep "banyak membaca,luas pandangan" adalah sahih. Onew, terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk berbual dengan saya. Masa juga tidak mengizinkan kerana saya perlu menghadiri kelas tambahan yang diadakan di sekolah saya. Saya hendak minta diri dahulu.
Onew              : Baiklah. Sama-sama. Jumpa lagi.
         
Karya,
Sharon Ubung
Tingkatan 5 Alamanda

9 comments:

  1. thanks to your karangan ! hahaha ~~~
    it helps me a lot!

    ReplyDelete
  2. thanks to your karangan!
    it help me a lot!

    ReplyDelete
    Replies
    1. thank to your karangan
      ianya membantu sangat!!!

      Delete
  3. thanks a lot !! it helps me a lot...i done my homework already...hahahhaa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sememangnya itulah harapan cikgu... semoga karangan di sini dapat membantu kalian....

      Delete
  4. onew and Mint remind me of Onew and Taemin Shinee otl ;D
    anyway thank you!! ily

    ReplyDelete
  5. Thankyou. U made my day. Siap pun hw saya. Hehe ayt awak menarik ��

    ReplyDelete
  6. pretty sure the girl who wrote this essay is a shawol xD

    ReplyDelete