Friday, April 26, 2013

Cara mengatasi penggunaan bahasa rojak


 
                      “Gunakan bahasa kebangsaan kita,

                        Marilah kita amalkan ramai-ramai,

                        Bahasalah yang menyatukan kita,

                        Yakinlah bahasa jiwa bangsa…”

Berdasarkan lirik lagu di atas, jelas menggambarkan kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan.  Namun, akibat rempuhan gelombang globalisasi dari luar serta realiti sosiopolitik di dalam negara sejak satu dekad yang lalu menyebabkan kualiti bahasa kian terjejas. Jika dilihat dengan teliti, jelas menunjukkan bahawa bahasa kebangsaan kita kian tercemar akibat penggunaan bahasa rojak. Persoalannya, apakah  langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak ini agar bahasa kebangsaan tidak terus hilang martabat dan kedaulatannya?

Sudah terang lagi bersuluh, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sangat penting dalam usaha mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak di negara ini. Badan induk ini bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang supaya masyarakat peka dengan penggunaan bahasa. Dalam konteks ini, mereka haruslah memantapkan etika kerja supaya masyarakat lebih tertarik untuk memurnikan bahasa Malaysia. Hal ini dapat dilakukan dengan meningkatkan kualiti buku-buku bahasa, contohnya Kamus Dewan Bahasa mestilah ditambah baik dengan memastikan entri-entri baharu ditambah dari semasa ke semasa supaya masyarakat  lebih cinta akan bahasa yang menjadi lambang bangsa. DBP perlu menjadi sebuah badan yang berpengaruh supaya pencinta bahasa lebih tertarik untuk mengembleng tenaga bagi bersama-sama membendung masalah penggunaan bahasa rojak.

Murai berkicau hari siang, sektor awam juga turut memainkan peranan penting untuk meningkatkan martabat bahasa kebangsaan daripada terus dicemari dengan penggunaan bahasa rojak. Kakitangan sektor awam mestilah mematuhi pekeliling yang telah dikeluarkan oleh DBP yang mewajibkan bahasa kebangsaan digunakan sepenuhnya dalam majlis rasmi termasuklah mesyuarat. Merekan perlu bertindak sebagai “polis bahasa” untuk mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak sekali gus mengelakkan bahasa Malaysia tercemar dan terpinggir sedangkan bahasa kebangsaan ini merupakan bahasa rasmi di negara kita seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” perlu terus dilaungkan oleh masyarakat Malaysia kini dan akan datang. Kita seharusnya sedar bahawa bahasa Malaysia bukan milik orang Melayu sahaja tetapi menjadi hak bangsa Malaysia yang berbilang kaum sejajar dengan slogan yang dilaungkan oleh pemimpin negara iaitu “1 Bangsa 1 Bahasa 1 Malaysia”.

Langkah seterusnya adalah dengan pelaksanaan kempen kesedaran secara berterusan. Rakyat Malaysia perlu menjulang bahasa Malaysia demi jati diri, maruah dan martabat bangsa. Justeru, kempen kesedaran secara besar-besaran perlulah diadakan sepanjang masa bukannya bermusim atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Walau bagaimanapun, orang ramai tidak boleh mengharapkan tindakan daripada pihak DBP sahaja sebaliknya mereka perlu bekerjasama dan berganding bahu seia sekata ibarat sejunjung bak sireh dan serumpun bak serai bagi menjayakan setiap inisiatif  yang dirancang oleh pihak DBP dalam usaha membendung masalah penggunaan bahasa rojak. Semua pihak seperti sekolah, komuniti kampung dan bandar perlu memberikan idea yang bernas dalam memastikan prakarsa yang berkesan dalam menangani masalah ini. Bukan itu sahaja, pihak media massa juga memainkan peranan penting dengan mengelakkan penggunaan bahasa rojak supaya kempen yang diadakan akan memberi impak yang maksimum ke arah memartabatkan bahasa Malaysia.

Tuntas bicara, semua rakyat perlu sedar dan peka akan perubahan dan masalah yang timbul agar episod lama tidak berulang. Jasa pemimpin terdahulu yang ingin memartabatkan bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi negara perlu dibalas setimpal seperti kata peribahasa madu yang diberi jangan pula dibalas dengan tuba. Hal ini kerana tidak mustahil masalah penggunaan bahasa rojak yang menjadi salah satu pencemaran bahasa akan dapat ditangani dengan adanya kerjasama semua pihak. Martabat bahasa Melayu yang pernah menjadi bahasa “lingua franca” ini tidak mustahil untuk menjadi realiti sekali gus menjadi bahasa penting dunia. Kita haruslah merenungi kata-kata hikmat “Bahasa mencerminkan bangsa dan bangsa pula mencerminkan negara” yang mempunyai maksud yang tersirat dan mendalam ini.

 
Oleh : nsamj@smkm

No comments:

Post a Comment