Friday, April 26, 2013

Ciri-Ciri Remaja Sebagai Tonggak Negara Masa Hadapan


Belia pada hari ini merupakan pemimpin negara pada masa hadapan. Namun begitu, remaja yang merupakan tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini”. Jelaslah di sini, kita dapat lihat bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Persoalannya, apakah ciri-ciri yang perlu saya miliki sebagai remaja yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan?
Ciri signifikan yang perlu saya miliki ialah keiltizaman yang tinggi. Saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, saya perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi menuntut segala pengetahuan terutamanya ilmu Sains dan Matematik. Arus permodenan telah memungkinkan segalanya untuk remaja menimba ilmu melalui pelbagai wahana seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tegasnya, tanpa remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut.
Di samping itu, saya perlu beretika dan bersahsiah mulia. Kepatuhan yang teguh kepada ajaran agama perlu ada dalam diri saya supaya dapat menjadi benteng kepada diri saya. Remaja sewajarnya berpegang teguh kepada pegangan agama masing-masing, tidak kira bangsa mahupun agama. Hal ini demikian kerana, ciri ini sangat penting bagi kita menjaga hubungan dengan Maha Pencipta agar kita sentiasa diberkati. Pada waktu yang sama, ajaran agama yang sempurna dapat melatih diri saya untuk sentiasa ingat akan suruhan dan larangan agama tidak kira tempat dan waktu. Bukan itu sahaja, ketaatan kepada ajaran agama juga dapat membentuk sahsiah yang terpuji dalam diri saya. Sebagai contoh, ajaran agama dapat melatih diri saya untuk berfikiran rasional supaya dapat membezakan baik buruk sesuatu perkara. Melalui cara ini, saya tidak akan terpengaruh dalam kebejatan sosial yang boleh mencemarkan nama baik negara. Secara tidak langsung, disiplin dalam diri saya juga terpelihara.
Selain itu, ciri kreatif dan inovatif juga perlu saya titik beratkan untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Demi mencapai hasrat ini, semangat inkuiri yang tinggi juga perlu saya miliki. Hal ini demikian kerana, hanya mereka yang berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Tamsilnya, dalam industri teknologi maklumat dan dan komunikasi (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan itu, remaja harus dilatih supaya berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Umpamanya, seorang pelajar berumur 16 tahun di Nepal telah berjaya mencipta sebuah alat yang dapat menghasilkan kuasa elektrik daripada rambut. Kisah kejayaannya mendapat perhatian seluruh dunia sehingga dia ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, remaja haruslah berfikir secara rasional dan mengelakkan perkara-perkara yang mampu memudaratkan diri dan orang lain. Justeru, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.
Dalam pada itu, saya haruslah mengekalkan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Dewasa ini, isu remaja mudah terpengaruh dengan gejala sosial semakin hangat diperkatakan. Keadaan ini bertambah keruh apabila remaja mudah dipengaruhi dengan budaya kuning dan semakin melupakan budaya timur. Sebagai contoh, cara berpakaian dan pertuturan harian golongan muda hari ini bersifat “kebaratan”. Namun begitu, jika remaja berjati diri, sudah tentu mereka sentiasa sanggup mempertahankan budaya timur yang sememangnya kaya dengan pelbagai amalan yang luhur. Misalnya, masyarakat timur amat menekankan amalan menghormati orang yang lebih tua, cara berpakaian secara bersopan serta pertuturan yang disenangi oleh semua lapisan masyarakat. Walakin begitu, bagi remaja yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, mereka harus bijak menyesuaikan diri. Persis kata peribahasa, “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Namun demikian, remaja harus mengekalkan unsur ketimuran agar tidak dilupai. Program Latihan Khidmat Negara ialah antara program yang dapat menjamin jati diri dan menanam sikap cinta akan negaradalam kalangan remaja.
Seterusnya, sifat keterbukaan harus saya miliki juga dalam usaha menjadi tonggak negara pada masa hadapan. Melalui sifat ini, saya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain dengan tenang dan tidak akan menimbulkan sebarang prasangka yang buruk terhadap mereka. Dalam nada yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi kesan positif kepada negara iaitu menjamin kestabilan politik, ekonomi, dan sosial negara. Mereka akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Hal ini demikian kerana, selaras dengan misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung atau lebih dikenali sebagai satu bangsa, satu bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan remaja sudah pasti dapat memudahkan kami menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negara kami dengan penuh komited dan dipayungi perpaduan antara rakyat.
Lain daripada itu, saya juga perlu memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang ingin membangunkan negara perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf yang baharu penuh dengan kompetitif, remaja perlu mempunyai kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju yang lain. Dalam usaha mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat dan lain-lain kerana terlajak perahu dapat diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset utama yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan “rakyat sihat, negara maju”.
Sebagai intiha, aspek-aspek di atas sangat perlu kita miliki dan praktikkannya kerana perkara ini sudah menjadi tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjana pembangunan negara persisi mutiara kata pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui tampuk kepemimpinan negara haruslah merdeka daripada belenggu gejala sosial. Ghalibnya, hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja sekarang tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang berketerampilan terpuji. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.

NazirahYa’akob
5 Sains Alamanda, 2013.
SMK Merbau, Miri
Guru Subjek: Pn. Noor Sukarni Alice

3 comments: