Friday, April 26, 2013

Karangan Bahagian A : Ciri-ciri Remaja Berwawasan


 “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Itulah slogan kata yang sangat sesuai untuk menggambarkan betapa pentingnya golongan remaja dalam pembangunan bangsa dan negara. Bahkan sering meniti dari bibir ke bibir di segenap empat penjuru negara ini akan isu yang berkait rapat dengan golongan remaja. Umum mengetahui bahawa golongan remaja merupakan aset terpenting sebagai wahana pembangunan negara kerana remajalah bakal menerajui tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan. Oleh itu, remaja seharusnya memiliki wawasan diri yang teguh sesuai dengan peranan mereka sebagai tonggak utama negara. Namun persoalannya, apakah ciri-ciri remaja yang berwawasan?

Pada realitinya, remaja yang berwawasan semestinya cinta akan ilmu pengetahuan. Remaja yang berwawasan akan senantiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri kerana mereka sedar bahawa ilmu itu pelita hidup. Lazimnya, remaja yang berwawasan akan mengaplikasikan ilmu yang dimiliki dalam menghadapi cabaran dan onak duri dalam kehidupan. Sementelahan lagi, mereka akan memantau dan menilai perkembangan diri serta berusaha untuk membaiki kelemahan diri agar lebih maju ke hadapan. Tegasnya, remaja yang berwawasan sedar akan kepentingan ilmu pengetahuan dan tidak akan bersikap evasif dalam berkongsi ilmu untuk kebaikan bersama.

Menyelusuri wasitah nirmala seterusnya, remaja yang berwawasan seyogianya akan patuh kepada ajaran agama. Menurut Albert Einstein, “agama tanpa ilmu itu lumpuh, ilmu tanpa agama itu buta”. Oleh itu, remaja yang berwawasan semestinya mempunyai ilmu pengetahuan tanpa mengabaikan ajaran agama. Hal ini bertepatan dengan aforisme “sambil menyelam, minum air”. Remaja yang berwawasan akan mengaplikasikan nilai-nilai murni dalam kehidupan  mereka dan tidak akan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama. Bukan itu sahaja, remaja yang berwawasan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama kerana mereka mengetahui bahawa agama mampu menjadi benteng daripada terlibat dalam gejala sosial. Dalam erti kata lain, remaja yang berwawasan akan dapat membezakan perkara yang baik dan perkara yang buruk, halal dan haram dengan adanya asas agama yang kukuh.

Sudah terang lagi bersuluh, remaja yang berwawasan sangat sinonim dengan sikap mereka yang berdisiplin. Remaja yang berwawasan akan menghargai masa kerana masa itu emas. Mereka bijak menguruskan masa dan merancang jadual supaya rutin harian seimbang. Sementelahan lagi, remaja yang berwawasan mempunyai tahap disiplin yang tinggi akan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti peraturan sekolah. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Mereka juga akan memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam melaksanakan tugas yang diberikan sekali gus menyerlahkan sifat kepimpinan dalam diri mereka. Hal ini jelas menunjukkan bahawa disiplin merupakan asas pembentukan keperibadian remaja yang berwawasan.

Konklusinya, remaja yang berwawasan akan bersikap positif dalam apa-apa jua keadaan dan berfikiran jauh untuk mencapai kejayaan. Mereka tidak akan bersikap terburu-buru dalam melakukan sesuatu pekara sebaliknya mereka akan memikirkan pro dan kontra sebelum bertindak atau membuat keputusan. Walau bagaimanapun, semua pihak haruslah seikat bagai sirih serumpun bagai serai dalam memainkan peranan masing-masing untuk memastikan negara dapat melahirkan lebih ramai remaja yang berwawasan. Sesungguhnya, kerjasama yang utuh sangat penting untuk pembangunan negara dan merealisasikan wawasan 2020 yang kian menjengah kerana satu jari telunjuk sahaja tidak mampu untuk menumbangkan sebatang pokok.

Oleh : Ramlah Ak Baro, 5 Sains Alamanda 2013
SMK Merbau, Miri
Guru Subjek: Pn. Noor Sukarni Alice

No comments:

Post a Comment