Friday, April 26, 2013

Isu : Bencana Alam


Mutakhir ini, kita seringkali digemparkan dengan berita bencana alam yang berlaku tidak kira dalam negara mahupun di luar negara. Bencana alam yang menimpa kian berlaku sejak kebelakangan ini dan tidak dinafikan bahawa hal ini sememangnya sudah menjadi lumrah dunia. Antara bencana alam yang sering melanda ialah tanah runtuh, gempa bumi, tsunami, ribut taufan dan sebagainya. Musibah yang berlaku ini telah memberikan impak negatif kepada semua pihak terutamanya ialah ribuan nyawa telah terkorban akibat bencana alam yang berlaku. Justeru, punca kejadian ini harus dikenal pasti dan diselidik secara terperici  agar langkah yang efektif dapat diambil untuk menangani permasalahan ini yang hanya meninggalkan seribu satu kesan negatif bukan sahaja terhadap manusia malah negara.

Punca yang ketara menyebabkan berlakunya bencana alam ialah kemusnahan alam yang dilakukan terutamanya oleh manusia itu sendiri dalam menjalani aktiviti harian mereka. Tingkah laku mereka yang tidak bermoral juga turut menyumbang ke arah kemusnahan alam berlaku. Kemusnahan hutan, udara, laut dan sebagainya semakin berleluasa lebih-lebih lagi pada era moden dewasa ini. Kemusnahan yang sebegitu sudah pasti akan mendorong untuk berlakunya musibah yang tertentu kerana bumi tetap memerlukan masa untuk mengimbangi perubahan yang drastik walaupun mempunyai keluasan yang besar. Oleh itu, bencana alam berlaku kerana dunia mengalami kemusnahan alam yang begitu pantas sehinggakan dunia itu sendiri tidak mampu mengawalnya. Tegasnya, kerakusan manusia mengeksploitasi alam telah mengundang padah kepada manusia sendiri dalam bentuk bencana alam.

Bukan itu sahaja, bencana alam turut berlaku kerana kegagalan manusia untuk membuat perancangan. Kita semua sudah sedia maklum bahawa manusia sudah boleh meramal musim hujan, kejadian ribut taufan, dan juga memahami kejadian tsunami. Namun begitu, mengapakah angka kematian semakin meningkat? Jawapannya mudah sahaja kerana manusia gagal membuat perancangan seperti memberitahu masyarakat lebih awal, membuat latihan untuk menghadapi bencana mahupun tidak mempunyai piawaian pembinaan bangunan yang baik. Sesungguhnya, kegagalan manusia untuk merancang atau bekerjasama memberikan satu persepsi bahawa kita memandang rendah akan keupayaan bencana alam ini atau menganggap nyawa manusia itu tidak bernilai lalu membiarkan sahaja bencana alam berlaku begitu sahaja.

Umum mengetahui, setiap bencana alam yang melanda pasti akan meninggalkan impaknya. Tidak dinafikan,  bencana alam seperti banjir besar, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya akan menyebabkan berlakunya kerosakan infrastruktur dan harta benda awam seperti bangunan, kereta, rumah, jalan raya dan sebagainya. Hal ini akan membawa kerugian yang amat besar kepada semua penduduk terutamanya kepada kerajaan yang terlibat dengan bencana alam ini. Kerajaan terpaksa memberi bantuan kepada rakyat dari segi kewangan mahupun dalam bentuk makanan, perumahan dan sebagainya. Sebagai contoh, gempa bumi yang berlaku di China telah mengakibatkan banyak kemusnahan rumah dan bangunan pejabat serta infrastruktur elektrik dan komunikasi. Gempa bumi sekuat 7.8 magnitud itu berlaku pada waktu petang sekaligus mengakibatkan 80 peratus bangunan di daerah Beichuan Qiang musnah. Ratusan orang tertimbus di Shifang selepas beberapa buah sekolah, kilang dan asrama musnah. Selain itu, bekalan elektrik dan air juga terputus akibat gempa bumi yang berlaku. Hospital menjadi sesak dan para pesakit terpaksa dipindahkan ke luar hospital dan duduk untuk menunggu bantuan daripada pihak hospital.

Di samping itu, bencana alam yang berlaku tanpa disedari telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa terutamanya kepada kanak-kanak , warga tua dan wanita. Bencana alam juga telah menyebabkan ramai yang cedera parah dan kanak-kanak hilang tempat  bergantung dan menjadi anak yatim piatu. Kanak-kanak terpaksa hidup berseorangan tanpa keluarga untuk memberi sokongan moral dan kata-kata semangat antara satu sama lain. Hal ini demikian akan menyebabkan mangsa-mangsa bencana alam ini hidup dalam keadaan ketakutan dan tidak tenteram. Bencana alam adalah sesuatu yang menggerunkan dan boleh mengorbankan orang ramai tidak mengira usia dan pangkat, mahupun bangsa.Tsunami merupakan salah satu contoh ketara yang memperlihatkan ramai nyawa terkorban disaat bencana ini berlaku. Bencana ini berlaku pada 26 Disember 2004, melibatkan beberapa negara di Asia termasuklah Malaysia. Namun begitu, angka korban yang tertinggi adalah di Indonesia.

Dalam pada itu, langkah yang drastik dan pragmatik perlulah diambil untuk mengurangkan risiko kejadian bencana alam. Rentetan itu, pihak kerajaan perlulah menubuhkan sistem amaran awal yang berkesan dan berteknologi tinggi supaya mereka dapat meramalkan jenis bencana alam, kawasan-kawasan yang berisiko tinggi untuk ditimpa bencana alam serta waktu bencana alam untuk berlaku. Dengan ini, pihak kerajaan dapat membuat persiapan awal dalam menghadapi bencana alam seperti menyediakan tempat tinggal sementara bagi rakyat, bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”. Waimanya, pihak kerajaan hendaklah menghebah-hebahkan maklumat mengenai bencana alam yang akan ditimpa kepada masyarakat melalui media massa sama ada elektronik atau bercetak. Misalnya, wadah media massa yang popular dalam kalangan rakyat seperti televisyen dan radio dapat menyampaikan mesej dengan segera tentang bencana alam yang akan melanda negara kita dalam sekelip mata. Hal ini demikian kerana, masyarakat akan lebih berwaspada dan bersedia untuk menghadapi bencana alam serta-merta.

Pada waktu yang sama, pihak sekolah juga seharusnya mendidik para pelajar tentang cara-cara menghadapi bencana alam sejak di bangku sekolah lagi kerana “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Kementerian Pelajaran perlu mewujudkan satu sukatan pelajaran baru yang bertemakan Bencana Alam dalam Pendidikan Moral mahupun Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan. Melalui kaedah ini, pendedahan awal tentang cara-cara menghadapi bencana alam dapat diberikan kepada pelajar. Selanjutnya, kegiatan unit beruniform di sekolah juga dapat membina individu yang berfizikal lasak dan memiliki ketahanan yang kuat. Pelajar-pelajar juga diberi ilmu pertolongan cemas dan diajar bahasa isyarat yang boleh diaplikasikan semasa sesuatu bencana alam berlaku. Dengan diikuti kegiatan kokurikulum di sekolah, para pelajar dapat menggambarkan situasi sebenar bencana alam dan mampu membuat pertimbangan akal yang wajar.

Sebagai penggulung bicara, punca-punca berlakunya bencana alam harus diselidik hingga ke akar umbi bagi menyelesaikan permasalahan ini yang hanya memberikan implikasi negatif kepada semua pihak. Oleh itu, langkah mengatasi masalah ini harus dilaksanakan dengan segera bagi mengurangkan angka nyawa yang terkorban akibat bencana alam pada masa akan datang sekali gus dapat menyediakan diri sebelum berlakunya bencana alam. Kita perlu sedar dan cuba membantu untuk memulihkan semula keadaan alam kerana itulah jawapan kepada penyelesaian bencana alam ini. Peribahasa “ hendak buat seribu daya, tak hendak seribu dalih” menjadi renungan kepada kita semua dalam menangani kemelut ini.
(Kumpulan 2 : 4 Sains Alamanda 2012)
SMK Merbau, Miri
Guru Subjek: Pn. Noor Sukarni Alice

1 comment:

  1. Cemerlang! Baik sangat karangan ini. Amat informatif dan bahasa baku.. Peperiksaan saya esok dan bolehlah dijadikan rujukan :)

    ReplyDelete