“Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara”
izhar menggambarkan bahawa golongan belia merupakan golongan yang penting dalam
memacu pentadbiran negara pada masa hadapan. Remaja ditakrifkan sebagai seorang
individu yang telah mencapai tahap dewasa dan mempunyai fikiran yang matang.
Oleh itu, individu yang berfikiran matang akan dapat menentukan wawasan diri
mereka. Namun begitu, saban hari kita sering kali mendengar dan melihat melalui
media massa seperti televisyen, akhbar, dan pelbagai media elektronik lain
mengenai kebobrokan akhlak golongan ini. Hal ini memberi satu tanggapan
seolah-olah remaja di negara kita tidak mempunyai wawasan diri yang tinggi
walhal merekalah yang bakal menerajui tampuk pimpinan negara kelak.
Persoalannya, apakah ciri-ciri remaja yang berwawasan yang seharusnya
dipraktikkan oleh remaja hari ini?
Seseorang
remaja yang berwawasan akan cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana,
mereka akan menggunapakaikan segala ilmu pengetahuan yang diperoleh dari
sekolah dan rumah sebagai medium untuk lebih memajukan diri mereka. Bukan itu
sahaja, remaja yang berwawasan juga mempunyai kesedaran mengenai kepentingan
ilmu pengetahuan dalam mencorakkan hala tuju negara pada masa akan datang
kerana ilmu itu pelita hidup. Dengan mencintai ilmu pengetahuan, golongan
remaja akan mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah sosial seperti
merempit, merokok dan pengambilan dadah. Oleh itu, guru-guru dan ibu bapa
berperanan penting dalam memberikan pendidikan sama ada secara formal atau
tidak formal dalam membentuk remaja yang berwawasan. Konklusinya, sikap cinta
akan pendidikan dan ilmu pengetahuan akan mencerminkan keperibadian remaja yang
berwawasan.
Selain
itu, patuh kepada ajaran agama juga merupakan ciri remaja yang berwawasan. Hal
ini demikian kerana ajaran agama menekankan aspek rohani dan sahsiah dalam
menjalani kehidupan seharian. Dengan adanya asas agama yang kukuh, remaja dapat
meningkatkan keyakinan diri di samping mereka tidak mudah untuk terlibat dalam
pelbagai penyakit sosial yang kian menular umpama barah dalam kalangan remaja
masa kini. Hal ini dapat kita buktikan dengan membandingkan remaja yang tiada
pendidikan agama yang sempurna lebih mudah terpengaruh dengan pelbagai wabak
sosial dan mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas berbanding dengan remaja
yang sempurna didikan agamanya. Oleh sebab itu, aspek agama tidak seharusnya
dipandang ringan dalam meniti arus kemodenan ini. Tuntasnya, remaja yang
berwawasan haruslah mempunyai pegangan agama yang teguh sebagai benteng dalam
kehidupan dan pendidikan agama haruslah diparaktikkan kepada anak-anak melalui
ibu bapa sejak dari kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Di
samping itu, remaja yang berwawasan akan berdisiplin dalam apa-apa perkara yang
dilakukan oleh mereka. Hal ini demikian kerana remaja yang berdisiplin akan
lebih mudah mencapai wawasan diri mereka berbanding dengan golongan remaja yang
tidak berdisiplin dan senantiasa mengharapkan bantuan daripada orang lain.
Selain itu, remaja yang berwawasan mempunyai kesedaran bahawa aspek
kedisiplinan merupakan elemen fundamental dalam mencapai kejayaan yang hebat
pada masa hadapan. Sebagai contoh, Albert Einstein tidak berputus asa dan tidak
bergantung kepada orang lain dalam menjalankan beratus-ratus eksperimen pada
suatu masa dahulu. Dengan hasil usaha peluh dan keringatnya, masyarakat
pascakemerdekaan kini dapat hidup dengan pelbagai teknologi yang canggih.
Ghalibnya, remaja yang berwawasan akan menekankan aspek disiplin dalam
kehidupan seharian mereka dan menghargai masa kerana mereka sedar masa itu
emas. Sesungguhnya, hanya orang yang malas tidak mempunyai disiplin akan
menempuh kegagalan dalam kehidupan.
Bukan
itu sahaja, remaja yang berwawasan seyogianya akan menghormati ibu bapa dan
guru mereka. Hal ini demikian kerana mereka sedar bahawa mereka tidak mungkin
akan berjaya tanpa kehadiran kedua-dua golongan ini dalam kehidupan mereka.
Remaja yang berwawasan akan menghormati ibu bapa kerana syurga di bawah telapak
kaki ibu manakala guru pula merupakan insan yang sering diberi perumpamaan
ibarat lilin yang membakar diri dalam memberikan kita ilmu serta dorongan dalam
usaha kita mencapai kejayaan. Istilah ‘biadap’ atau ‘kurang ajar’ tidak
seharusnya wujud dalam diri remaja era modenisasi ini kerana remaja merupakan
golongan yang berpendidikan dan seharusnya memiliki akal fikiran yang matang.
Oleh yang demikian, untuk menjadi remaja yang berwawasan, bukan aspek luaran sahaja yang dititikberatkan
sebaliknya nilai murni seperti menghormati ibu bapa dan guru juga perlu disemai
dan dibajai dalam diri setiap remaja.
Tuntas
bicara, daripada kesemua huraian di atas jelas menunjukkan bahawa remaja yang
berwawasan perlulah seimbang dalam semua aspek kehidupan. Oleh itu, remaja
zaman sekarang diseru agar menerapkan semua aspek ini dalam kehidupan agar
sentiasa beroleh kejayaan dan mencapai wawasan diri. Remaja seharusnya
menggunakan setiap peluang yang ada untuk menjadi remaja yang berwawasan kerana
di pundak merekalah bakal terpikul segala amanah dan tanggungjawab untuk
memajukan bangsa dan negara agar setanding dengan negara maju yang lain persis
mutiara kata berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Dalam konteks ini semua
pihak haruslah bekerjasama bak kata pepatah seikat bagai sirih, serumpun bagai
serai dalam usaha melahirkan lebih ramai remaja yang berwawasan agar Wawasan
Perdana 2057 mampu direalisasikan dengan jayanya.
Oleh : Aaronn Avit Ajeng, 5 Sains Alamanda 2013
SMK Merbau Miri
Guru Subjek: Pn Noor Sukarni Alice
No comments:
Post a Comment