Thursday, January 20, 2011

KESAN PENYALAHGUNAAN DADAH

Karangan Berdasarkan Bahan rangsangan (Bahagian A)
  Dalam meniti kehidupan pada marcapada,pelbagai jenis gejala sosial yang kian teruk melanda negara kita terutamanya kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan rakyat Malaysia semakin serius serta semakin luas menular ke serata dunia. Masalah ini ibarat ‘duri dalam daging’. Saban hari,kes penyalahgunaan dadah yang membuatkan kita menjadi walang ini sering terpampang di dada media cetak dan “terjerit” keluar dari corong-corong media elektronik. Fenomena ini ternyata amat mendukacitakan semua pihak.Apakah impak atau implikasi penyalahgunaan dadah? Hal inilah persoalan yang harus dijadikan renungan dan perbincangan kita.
  Terdapat banyak kesan atau impak yang negatif akibat penyalahgunaan dadah,antaranya adalah masa depan penagih dadah tersebut tidak terjamin serta seolah-olah membawa diri ke kancah kemusnahan. Penagih dadah tersebut bukan sahaja menuju ke arah kemusnahan masa depan dirinya malah telah membahayakan kesihatan di mana  akan meninggikan risiko untuk mendapat penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C dan D, kerosakan buah pinggang,otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh,mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Jelasnya mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit AIDS yang amat digeruni. Bak kata pepatah “sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tiada gunanya”.
  Sementelahan pula,keluarga penagih turut akan mendapat aib apabila masyarakat setempat mengetahui salah seorang anggota dari keluarga tersebut terlibat dalam gejala tersebut. Secara langsung, maruah serta imej keluarga akan terjejas. Masyarakat setempat akan memandang rendah serta menghina keluarga tersebut. Hal ini akan mengakibatkan mereka yang tidak bersalah dalam keluarga tersebut dianggap bersalah serta mereka tidak dapat hidup dalam keadaan yang harmoni. Di samping itu,anggota yang terbabit terpaksa menggembleng tenaga untuk memikirkan jalan keluar yang baik dengan menghantarnya ke hospital serta harus membiayai kos perubatan yang mahal.Bak kata pepatah” nasi sudah menjadi bubur”.
  Akhir sekali, kesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan rakyat akan menjejaskan ekonomi negara.Hal ini demikian kerana, imej dan maruah negara akan terjejas di persada dunia yang akan menyebabkan urusan politik yang membabitkan perdagangan dengan negara-negara lain tidak dapat berjalan dengan lancar. Bagi menggelakkan kejadian ini berlaku, kerajaan telah melancarkan kempen antidadah di seluruh negara secara meluas.Namun demikian,tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya kita pikul bersama.
  Konklusinya,kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis dadah akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah kita bersama-sama menghapuskan najis dadah yang “menjahanamkan” masyarakat daripada terus hadir di Malaysia. Kita tiada pilihan melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu “Perangi Dadah Habis-Habisan”.

Karya:
Liaw Liang Ching
Tingkatan 5 Sains Alamanda
SMK Merbau, Miri


 

1 comment:

  1. The best ever karangan
    you help me a lot in my examination.
    thank,love you

    ReplyDelete