Thursday, January 20, 2011

PENCEMARAN SUNGAI DI MALAYSIA

  KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN (BAHAGIANA)

 Negara kita dikatakan mempunyai aset yang cukup kukuh untuk dijadikan sebuah negara impian.Samudera luas yang jernih, tumbuhan menghijau, masyarakat harmoni meskipun terdiri daripada pelbagai komposisi kaum dan terletak di luar Lingkaran Api Pasifik. Namun demikian, keadaan sungai di negara kita sangat merisaukan ramai pihak. Sungai yang dianggap seperti ‘nadi hidup’ kini menghampiri zon kritikal.
   Keadaan air sungai yang tercemar mendatangkan pelbagai natijah ataupun implikasi negatif. Kita bergantung pada sungai untuk mendapatkan sumber air yang bersih dan sumber protein. Impaknya, masyarakat terpaksa menjamah ikan yang mempunyai bahan kimia terlarut yang tidak diketahui. Keadaan menjadi lebih teruk apabila kebanyakan daripada rakyat kita menghidapi penyakit taun, cirit-birit dan tidak kurang juga yang menemui ajal.
   Di samping itu, keadaan sungai ini mengekang perkembangan industri pelancongan di negara kita. Suatu ketika dahulu,negara kita sering menjadi salah satu daripada destinasi pelancongan kerana keadaan sungai yang jernih dan bersih. Kini, sungai di Malaysia mengalami trasformasi negatif. Pencemaran sungai yang tegar bukan sahaja memberi impak negatif terhadap industri pelancongan, malahan, memberi mereka persepsi negatif mengenai kualiti barisan pemimpin kita serta sikap masyarakat Malaysia yang kurang peka terhadap masalah yang dialami. Keadaan ini mempengaruhi kestabilan ekonomi negara kita secara tidak langsung.
   Selain itu,para nelayan yang mencari nafkah melalui tangkapan ikan  kini hidup umpama peribahasa yang berbunyi ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Hidup mereka yang daif menjadi faktor prima ketidakupayaan mereka untuk menghantar anak mereka ke sekolah. Pekerjaan tradisional yang dianggap sebagai warisan  dipelajari anak muda secara tidak formal oleh bapa mereka. Apakah yang bakal terjadi jika pencemaran sungai berlarutan?Anak muda tidak berupaya mencari nafkah dan kadar penangguran akan meningkat.
   Justeru,kita tidak boleh menuding jari sesama sendiri berkenaan  pencemaran sungai yang semakin parah. Sebaliknya, pelbagai inisiatif harus diimplementasikan agar masalah ini dapat dibendung dengan segera. Sebagai negara yang berpaksikan kemodenan. pembangunan Lestari wajar dilaksanakan di mana pembangunan negara berada sejajar dengan kualiti alam sekitar. Selain itu,anak muda harus kita semai dengan semangat patriotisme yang utuh. Jati diri yang kukuh mendorong mereka mencari resolusi serta alternatif efektif bagi membanteras masalah tersebut. Oleh itu, kita harus mengorak langkah dan berganding bahu agar pencemaran sungai tidak mencapai tahap kritikal. "Lebih baik mencegah daripada mengubati.”
Karya:
RIMA ATRIA
5 Sains Alamanda
SMK Merbau, Miri

No comments:

Post a Comment