Wednesday, January 19, 2011

Menyambung karangan yang bermula dengan perkataan "tiba-tiba"

KARANGAN JENIS CEREKA

Hujan turun dengan lebat, kilat sabung-menyabung. Jam menunjukkan ke angka 1.00 pagi. Kelibat ayah dan ibu masih belum kelihatan. Aku semakin takut. Sayup-sayup kedengaran salakan Bobo, anjing Pak Cik Lim jiran belakang rumahku. Aku menggigil. Entah, adakah kerana kesejukan atau kerana ketakutan. Tiba-tiba deringan telefon bimbit jenama Sony Ericson model W995 ku memecahkan suasana sunyi. Terkejut aku dibuatnya.
                Lantasku mencapai telefon bimbitku. Pada skrin telefon tertulis “satu mesej diterima”. Perasaan takutku berunsur sedikit. Mungkinkah mesej itu datang dari ayah atau ibuku. Aneh sekali. Sejak petang tadi, ayah dan ibu telah keluar rumah tanpa memberitahuku ke mana arah tuju mereka berdua. Lebih membimbangkan,ayah dan ibu masih belum pulang. Namun, jauh di lubuk hati aku berdoa agar ayah dan ibu selamat. Mesej tersebut aku baca dengan teliti. Setelah selesai membaca, aku tersenyum sendiri. Pengirim mesej tersebut bukanlah seperti yang aku jangkakan tadi. Mesej itu datang daripada sahabatku, Shin Dongho. Isi kandungan mesej tersebut menyatakan “Selamat Hari Jadi”. Pada saat itu, barulah aku sedar bahawa aku sudah pun berumur 16 tahun satu jam yang lalu.
                Jam di dinding masih lagi aku tenung. Ah! Aku melepaskan satu keluhan. Ke mana agaknya ayah dan ibu pergi? Mengapa mereka masih belum pulang lagi? Ah! Aku melepaskan keluhan sekali lagi. Telefon bimbitku aku tekan. Aku cuba mendail nombor telefon ayahk. Panggilan telefon yang aku buat kini merupakan panggilan kali ke enam. Dengan perasaan hampa, panggilanku tetap tidak dijawab. Begitulah juga dengan ibu. Aku berusaha untuk menenagkan diriku dan hanya mampu bertawakal agar tiada apa-apa yang menimpa ayah dan ibu. Aku mulai tenang untuk seketika. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk melelapkan mata. Walau bagaimanapun, niatku berbuat demikian terhalang.
                Lampu bilik tidurku terpadam. Pendingin hawa turut padam. Nampak gayanya aku terpaksa tidur tanpa bekalan elektrik. Beberapa minit kemudian, keadaan bilikku mulai berasa panas. Aku bangun dari katil lalu menuju ke arah tingkap. Langsir bilikku aku buka dengan perlahan. Kemudian, aku membuka tingkap untuk membenarkan angin pagi masuk ke ruang bilikku. Sedang aku membuka tingkap, aku berasa amat hairan. Rumah jiran-jiran di sekeliling ada yang masih bercahaya. Lampu halaman rumah Pak Cik Eli masih gah bernyala. Apakah rumah aku sahaja yang terputus bekalan elektrik?
                Namun demikian, aku cuba untuk melelapkan mataku buat kali kedua. Badanku aku rebahkan dengan lemah ke atas katil. Malang sekali, percubaan aku untuk menutup mata terganggu sekali lagi. Oh, kali in lebih menyeramkan! Kedengaran dari sudut ruang bilikku, bunyi pinggan jatuh datang dari arah ruang makan. Aku mulai panik. Dapat aku rasakan titik peluh menuruni mukaku lalu menyentuh bibirku. Masin rasanya. Aku yang berada dalamkeadaan cemas bertambah semakin cemas. Siapa agaknya yang berada di dapur? Pada pendapatku, tidak mungkin pinggan itu boleh jatuh dengan sendiri. Pencuri! Bagaimana kalau pencuri yang masuk ke dalam rumah? Persoalan demi persoalan mula meracuni mindaku untuk menguatkan semangatku dan pergi menjenguk sekiranya ada pencuri atau tidak.
                Dalam genggaman tanganku kini adalah senjata.Aku berusaha mencari lampu suluh tetapi gagal. Tangan kiriku, kayu hoki milikku yang dihadiahkan oleh ibu. Tangan kananku pula, sebilah gunting yang tajam. Sebelum melangkah keluar bilik, aku berdoa.Aku berharap agar tidak berlakunya perkara ayng melibatkan pertumpahan darah dan sebagainya. Pintu bilikku aku buka dengan perlahan agar tidak menghasilkan apa-apa bunyi. Bagi mengelakkan didengar oleh pihak musuh, aku berjalan menggunakan hujung kaki. Aku berjalan dengan cukup cermat agar tidak terlanggar mana-mana barang di sebelah-menyebelahku. Ketika menuruni tangga, aku mengawal langkahku. Setip langkah aku kira. Sebenarnya, sebelum ini aku telah mengira bilangan anak tangga rumahku. Entah, mungkinkah tabiat gemar mengiraku membuatkan aku mengira setiap benda yang aku lihat.
                Kini, aku bakal menuruni anak tangga yang terakhir. Jantungku mulai berdebar-debar. Aku meneruskan langkah menuju ruang makan. Dengan perlahan, tombol pintu ruang makan aku pusing. Tiba-tiba, bekalan elektrik rumahku berfungsi semula. Aku mendapat tahu kerana terdengar bunyi yang dihasilkan oleh pendingin hawa bilikku. Lampu di dapur aku pasang. Perlahan-lahan suis lampu aku tekan. Klik! “Surprise!” Satu jeritan beramai-ramai terdengar. Kelihatan wajah ayah dan ibu. Bukan itu sahaja, saudara-mara aku juga turut berada di samping ayah dan ibu.Kemudian, dari penjuru ruang makan, aku lihat sahabatku, Shin Dongho menatang sebiji kek coklat dihiasi enam belas batang lilin. Aku ketawa. Tawaku diiringi air mata. Terharu. Mereka semua menyanyikan lagu selamat hari jadi.
                Setelah selesai menyanyi, aku meniup lilin pada kek hari jadiku. Kemudian, ibu menghulurkan sebilah pisau pemotong kek kepadaku. Aku melepaskan genggaman eratku pada kayu hoki dan gunting. Ketika aku berbuat demikian, kesemua mereka hanya mampu tersenyum. “Apa yang kamu fikirkan?” tanya ayah. “Aku sangkakan pencuri tadi, rupa-rupanya tidak.” balasku beserta tawa kecil. Pisau pada jari ibu cepat-cepat aku ambil lalu memotong kek tersebut. Jam di dinding kini menunjukkan pukul 3.00 pagi. Aku menanya ibu, “Mengapa bersusah payah menyambut hari jadiku pada waktu begini?” Ibu tersenyum sambil berkata, “Tepat pada 3.00 pagi, pada 2 Januari 1994, kamu telah selamat dilahirkan.” Wah, aku berasa sungguh kagum dan terharu! Lantas aku memeluk ibu. Pelukkan aku disambut oleh ibu dengan tangisan.
                Kesemua rancangan ini dirancang oleh ibu dan dibantu oleh saudara-mara dan sahabat andai. Aku bersyukur kerana ayah dan ibu selamat. Aku gembira kerana ayah dan ibu serta yang lain snaggup melakukan majlis hari jadiku pada tengah pagi. Sepanjang hidupku, hari jadiku sering disambut lambat kerana semua pihak sibuk menyediakan diri untuk sesi persekolahan. Setahuku, akulah insan yang paling bertuah pada ketika itu. Tidak pernah dalam sejarah, orang yang menyambut hari jadi pada awal pagi. 2 Januari 2010, tarikh yang akan terus tersemat dalam sanubariku sebagai lipatan memori yang sukar dilupakan.   
Karya:
DEBBIE THOMAS
5 Sains Alamanda
SMK Merbau, Miri

4 comments: