Marcapada ini, dunia kita yang kian mengalami perubahan dari pelbagai
segi telah menyingkirkan sesetengah amalan atau budaya masyarakat dahulu.
Keadaan yang menyedihkan ini mungkin kurang mendapat perhatian daripada
masyarakat, malahan tidak dikesan oleh mereka. Dalam perkara ini, seni
pertahanan diri telah semakin dilupakan oleh masyarakat terutamanya generasi
muda. Hal ini boleh disamakan dengan peribahasa “ibarat melukut di tepian
gantang”. Pada hakikatnya, hal ini tidak sepatutnya berlaku. Perkara ini
disebabkan oleh seni pertahanan diri boleh mendatangkan pelbagai manfaat kepada
kita. Jenis-jenis seni pertahanan diri termasuklah silat gayung, Wushu,
silambam dan sebagainya. Persoalannya, apakah faedah-faedah yang boleh didapati
dengan mempelajari seni pertahanan diri?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Dengan mempelajari seni
pertahanan diri, kita dapat menyihatkan tubuh badan kita dan seterusnya
mengelakkan diri kita daripada penyakit.Perkara ini berlaku apabila melakukan
pergerakan tertentu ketika berlatih, kita akan mendapat kebaikan yang sama
seperti bersenam. Mengikut kajian saintifik, dipercayai bahawa apabila badan
kita mengeluarkan peluh, toksik-toksik dari badan turut akan dikeluarkan
mengikut air peluh. Sekiranya toksik-toksik dari badan telah dikeluarkan, maka
kita akan berasa lebih sihat dan bertenaga untuk menjalankan aktiviti seharian.
Tambahan pula, badan kita akan menjadi lebih cergas disebabkan oleh otot-otot
badan kita yang semakin kuat melalui latihan seni pertahanan diri. Secara tidak
langsung, otak kita juga akan menjadi cerdas kerana “badan cergas, otak cerdas”.
Seterusnya, kita mampu mempertahankan diri apabila keselamatan diri kita
tergugat khususnya kepada golongan wanita. Sejak kebelakangan ini, pelbagai kes
jenayah yang menyebabkan kehilangan harta mahupun nyawa semakin menjadi-jadi
seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kes-kes tersebut telah menjadi perkara
yang izhar dan menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak terutamanya masyarakat.
Oleh yang demikian, kita wajar melakukan sesuatu demi mengelakkan diri daripada
menjadi mangsa penjenayah yang seterusnya kerana pepatah ada mengatakan “malang
itu tidak berbau”. Dengan mempelajari seni pertahanan diri, kita dapat
menggunakan teknik yang dipelajari semasa kecemasan untuk menyerang penjenayah.
Bukan itu sahaja, kita juga dapat menghulurkan bantuan kepada orang lain dengan
ilmu seni pertahanan diri yang dipelajari.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang berdisiplin akan dilahirkan jika
masyarakat sanggup mempelajari seni pertahanan diri. Hal ini terjadi kerana
kita akan diterapkan nilai-nilai murni apabila mempelajari seni tersebut.
Sebagai tamsilan, nilai menepati masa, nilai baik hati, nilai bekerjasama dan
lain-lain. Dengan kata lain, kita akan menjadi lebih gagah dan berkeyakinan
diri untuk melakukan perkara yang betul seperti menegakkan keadilan apabila
diri kita dilengkapi ilmu seni tersebut. Lagipun, kita boleh mendisiplinkan
diri dengan mempelajari seni ini. Perkara ini berlaku kerana kita mesti
menepati masa berlatih yang ditentukan setiap kali. Walaupun pada mulanya kita
tidak senang hati dengan peraturan ini, tetapi lama-kelamaan amalan yang
terpuji tersebut akan tertanam dalam diri kita secara tidak langsung, bak kata
pepatah, “alah bisa, tegal biasa”.
Pada masa yang sama, kita turut berpeluang mengharumkan nama sekolah
dengan menyertai pertandingan seni pertahanan diri yang dianjurkan. Tambahan
pula, peluang-peluang tersebut telah memberi ruang kepada para pelajar untuk
memajukan diri dan mencipta nama dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya, terdapat
pelbagai jenis seni pertahanan diri yang ditawarkan oleh pihak sekolah. Antara
jenis seni pertahanan diri yang popular termasuklah Taekwando, Karate, silat,
Tang Soo Doo dan sebagainya. Justeru, pelajar boleh bebas melibatkan diri dalam
jenis seni pertahanan diri yang diminati untuk mengasah potensi diri yang
tersembunyi dan menunjukkan bakat yang ada.
Sementara itu, seni pertahanan diri merupakan salah satu wadah yang baik
untuk kita bersosial. Dengan kata lain, kita boleh menambah kenalan yang baru
dengan mempelajari seni pertahanan diri. Ghalibnya, kita mudah mendapat kenalan
baru yang terdiri daripada ahli-ahli lain yang mengikut latihan seni pertahanan
diri bersama kita. Kita juga boleh saling berkongsi ilmu pengetahuan dan
pengalaman yang berkaitan dengan seni pertahanan diri bersama kawan kerana
perbuatan ini akan mendatangkan manfaat kepada kedua-dua pihak. Sekiranya kita
mempunyai kawan, kita tidak akan mudah berasa kesunyian. Oleh itu, kita tidak
sepatutnya bersikap seperti kera sumbang kerana sikap tersebut tidak
memanfaatkan kita untuk mendapat kenalan baru.
Intihannya, kita boleh memperoleh pelbagai kebaikan dengan mempelajari
seni pertahanan diri. Jadi, kita tidak seharusnya beranggapan bahawa seni
tersebut tidak lagi sesuai dengan arus pembangunan masa kini dan
mengabaikannya.Hal ini turut disebabkan oleh seni pertahanan diri merupakan
warisan budaya yang tidak ternilai harganya dan patut dikekalkan oleh
masyarakat. Dengan itu, kita perlulah bertanggungjawab memastikan adat lama
tersebut “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Pelbagai pihak harus
memberi kerjasama dalam usaha ini terutamanya pihak kerajaan, media massa,
masyarakat dan lain-lain. Sekiranya pelbagai pihak dapat menyumbangkan
kerjasama, sudah pasti keindahan seni pertahanan diri dapat dipelihara kerana “bulat
air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.
(Chee Fei San, 5 Sains Alamanda, 2013)
5 Sains AlamandaGuru Subjek: Pn Noor Sukarni Alive
Well written.
ReplyDeletethank u so much it help 2 do karangan. i hope u will do more of it.
ReplyDeleteTerima Kasih. Sesuai untuk rujukan tetapi tak baik jika ditiru... :D
ReplyDeletemohon copy ye.. :)
ReplyDeleteMohon halalkan pengambilan isi..
ReplyDeleteKajau doh keligit anan :-D
ReplyDeletekajau doh keligit anan ;-)
ReplyDeleteTerima kasih ye saudara
ReplyDeletethank u:)
ReplyDeleteThank you (;
ReplyDeleteugenthiran @ sathia moorthy
ReplyDeletethank you so much