Friday, April 26, 2013

Faedah-faedah Mempelajari Seni Pertahanan Diri


          Marcapada ini, dunia kita yang kian mengalami perubahan dari pelbagai segi telah menyingkirkan sesetengah amalan atau budaya masyarakat dahulu. Keadaan yang menyedihkan ini mungkin kurang mendapat perhatian daripada masyarakat, malahan tidak dikesan oleh mereka. Dalam perkara ini, seni pertahanan diri telah semakin dilupakan oleh masyarakat terutamanya generasi muda. Hal ini boleh disamakan dengan peribahasa “ibarat melukut di tepian gantang”. Pada hakikatnya, hal ini tidak sepatutnya berlaku. Perkara ini disebabkan oleh seni pertahanan diri boleh mendatangkan pelbagai manfaat kepada kita. Jenis-jenis seni pertahanan diri termasuklah silat gayung, Wushu, silambam dan sebagainya. Persoalannya, apakah faedah-faedah yang boleh didapati dengan mempelajari seni pertahanan diri?

          Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Dengan mempelajari seni pertahanan diri, kita dapat menyihatkan tubuh badan kita dan seterusnya mengelakkan diri kita daripada penyakit.Perkara ini berlaku apabila melakukan pergerakan tertentu ketika berlatih, kita akan mendapat kebaikan yang sama seperti bersenam. Mengikut kajian saintifik, dipercayai bahawa apabila badan kita mengeluarkan peluh, toksik-toksik dari badan turut akan dikeluarkan mengikut air peluh. Sekiranya toksik-toksik dari badan telah dikeluarkan, maka kita akan berasa lebih sihat dan bertenaga untuk menjalankan aktiviti seharian. Tambahan pula, badan kita akan menjadi lebih cergas disebabkan oleh otot-otot badan kita yang semakin kuat melalui latihan seni pertahanan diri. Secara tidak langsung, otak kita juga akan menjadi cerdas kerana “badan cergas, otak cerdas”.

          Seterusnya, kita mampu mempertahankan diri apabila keselamatan diri kita tergugat khususnya kepada golongan wanita. Sejak kebelakangan ini, pelbagai kes jenayah yang menyebabkan kehilangan harta mahupun nyawa semakin menjadi-jadi seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kes-kes tersebut telah menjadi perkara yang izhar dan menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak terutamanya masyarakat. Oleh yang demikian, kita wajar melakukan sesuatu demi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah yang seterusnya kerana pepatah ada mengatakan “malang itu tidak berbau”. Dengan mempelajari seni pertahanan diri, kita dapat menggunakan teknik yang dipelajari semasa kecemasan untuk menyerang penjenayah. Bukan itu sahaja, kita juga dapat menghulurkan bantuan kepada orang lain dengan ilmu seni pertahanan diri yang dipelajari.

          Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang berdisiplin akan dilahirkan jika masyarakat sanggup mempelajari seni pertahanan diri. Hal ini terjadi kerana kita akan diterapkan nilai-nilai murni apabila mempelajari seni tersebut. Sebagai tamsilan, nilai menepati masa, nilai baik hati, nilai bekerjasama dan lain-lain. Dengan kata lain, kita akan menjadi lebih gagah dan berkeyakinan diri untuk melakukan perkara yang betul seperti menegakkan keadilan apabila diri kita dilengkapi ilmu seni tersebut. Lagipun, kita boleh mendisiplinkan diri dengan mempelajari seni ini. Perkara ini berlaku kerana kita mesti menepati masa berlatih yang ditentukan setiap kali. Walaupun pada mulanya kita tidak senang hati dengan peraturan ini, tetapi lama-kelamaan amalan yang terpuji tersebut akan tertanam dalam diri kita secara tidak langsung, bak kata pepatah, “alah bisa, tegal biasa”.

          Pada masa yang sama, kita turut berpeluang mengharumkan nama sekolah dengan menyertai pertandingan seni pertahanan diri yang dianjurkan. Tambahan pula, peluang-peluang tersebut telah memberi ruang kepada para pelajar untuk memajukan diri dan mencipta nama dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis seni pertahanan diri yang ditawarkan oleh pihak sekolah. Antara jenis seni pertahanan diri yang popular termasuklah Taekwando, Karate, silat, Tang Soo Doo dan sebagainya. Justeru, pelajar boleh bebas melibatkan diri dalam jenis seni pertahanan diri yang diminati untuk mengasah potensi diri yang tersembunyi dan menunjukkan bakat yang ada.

          Sementara itu, seni pertahanan diri merupakan salah satu wadah yang baik untuk kita bersosial. Dengan kata lain, kita boleh menambah kenalan yang baru dengan mempelajari seni pertahanan diri. Ghalibnya, kita mudah mendapat kenalan baru yang terdiri daripada ahli-ahli lain yang mengikut latihan seni pertahanan diri bersama kita. Kita juga boleh saling berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berkaitan dengan seni pertahanan diri bersama kawan kerana perbuatan ini akan mendatangkan manfaat kepada kedua-dua pihak. Sekiranya kita mempunyai kawan, kita tidak akan mudah berasa kesunyian. Oleh itu, kita tidak sepatutnya bersikap seperti kera sumbang kerana sikap tersebut tidak memanfaatkan kita untuk mendapat kenalan baru.

          Intihannya, kita boleh memperoleh pelbagai kebaikan dengan mempelajari seni pertahanan diri. Jadi, kita tidak seharusnya beranggapan bahawa seni tersebut tidak lagi sesuai dengan arus pembangunan masa kini dan mengabaikannya.Hal ini turut disebabkan oleh seni pertahanan diri merupakan warisan budaya yang tidak ternilai harganya dan patut dikekalkan oleh masyarakat. Dengan itu, kita perlulah bertanggungjawab memastikan adat lama tersebut “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Pelbagai pihak harus memberi kerjasama dalam usaha ini terutamanya pihak kerajaan, media massa, masyarakat dan lain-lain. Sekiranya pelbagai pihak dapat menyumbangkan kerjasama, sudah pasti keindahan seni pertahanan diri dapat dipelihara kerana “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.

(Chee Fei San, 5 Sains Alamanda,  2013)
5 Sains Alamanda
Guru Subjek: Pn Noor Sukarni Alive

11 comments: