Sunday, July 22, 2012

Syair Definisi Orang Berakal KOMSAS Tingkatan 4

Maksud

Rangkap 1- Manusia yang berakal dipandang mulia,malahan golongan anbia dan aulia amat mementingkan ilmu. Seseorang yang mencontohi golongan anbia dan aulia akan memperoleh kebahagian.

Rangkap 2- Golongan anbia dan aulia yang berilmu pengetahuan menyebabkan mereka dipilih sebagai ketua dan menegakkan keadilan. Sesiapa yang mentafsirkan golongan tersebut kejam maka dia bakal mendapat balasan.

Rangkap 3- Orang yang berakal mempunyai pandangan yang jauh. Dia akan bersahabat dengan orang yang baik sahaja, sebaliknya mengenepikan orang yang jahat kerana takut terpengaruh dengan sikap negatif mereka.

Rangkap 4- Orang yang berakal juga patuh kepada perintah Allah dan mengikut hukum syarak. Selain berserah kepada Allah, mereka juga tidak tamak haloba kerana menyedari bahawa dunia ini tidak kekal.

Rangkap 5- Orang yang berakal disayangi oleh golongan atasan, namun mereka tidak mengada-ngada, tidak sombong dan menganggap status mereka sama sahaja dengan rakan taulan.

Rangkap 6- Jika pihak atasan memberikan perhatian yang lebih kepadanya, mereka sentiasa berwaspada. Malahan mereka berusaha merapatkan hubungan dengan rakan-rakan, merendah diri dan sedia berkhidmat.

Rangkap 7- Orang yang berakal tidak bosan dalam mengejar ilmu pengetahuan dan sentiasa membuat penelitian untuk mencari jawapan agar tidak terpedaya.

Tema

Ciri-ciri orang yang berakal.


Persoalan

1. Persoalan ketinggian status orang yang berilmu (rangkap 1)

2. Persoalan kebijaksanaan orang yang berakal menyelesaikan masalah (rangkap 2)

3. Persoalan keinsafan seseorang akan kuasa Tuhan (rangkap 4)

4. Persoalan kepatuhan kepada hukum syarak (rangkap 4)

5. Persoalan keikhlasan dalam persahabatan (rangkap 6)


Bentuk

1. Terdiri daripada tujuh rangkap.

2. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.

3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 3 hingga 5.

4. Terdiri daripada sembilan hingga tiga belas suku kata.

5. Rima akhir syair ini ialah aaaa

6. Syair ini adalah puisi terikat.

Gaya Bahasa

1. Asonansi - Menjadi kepala bela bermacam - pengulangan vokal e

2. Aliterasi - Menjauhkan tamak hendak tawakal - pengulangan konsonan k

3. Sinkope – Ibanya tahu dunia tak kekal

4. Anafora - Tiadalah ia melanja-lanja, Tiadalah menyombong pada bekerja

5. Penggunaan kata klasik - tersunjam, ibanya, melanja-lanja, tersemu

Nilai

1. Nilai kebijaksanaan.- Orang yang bijaksana akan dilantik sebagai pemimpin dan dipandang mulia.

2. Nilai kasih sayang- Seseorang yang berakal sangat mengasihi ketua dan rakan-rakannya.

3. Nilai ketaatan.- Seseorang yang berakal akan taat kepada hukum syarak.

4. Nilai kerajinan.- Orang yang berakal sentiasa menelaah untuk mendalami ilmu pengetahuan tanpa rasa jemu.


Pengajaran

1. Kita haruslah mencontohi ciri-ciri orang yang berakal seperti para anbia dan aulia agar kehidupan akan lebih bahagia.

2. Kita mestilah menyayangi sahabat yang baik dan menjauhi orang-orang yang bersikap negatif agar tidak terpengaruh.

3. Kita haruslah merendah diri walaupun berilmu dan disayangi ramai agar terhindar daripada sifat riak dan takbur.

4. Kita hendaklah patuh pada hukum syarak agar terhindar daripada kemungkaran.


No comments:

Post a Comment