Sunday, July 22, 2012

Syair Panduan Untuk Para Remaja KOMSAS Tingkatan 3

MAKSUD

Rangkap
Maksud
1
Penyair berpesan kepada generasi muda agar jangan berbohong dan memperdaya orang. Generasi muda juga diingatkan agar tidak bersikap materialistik dan membazir.
2
Generasi muda diingatkan supaya mengelakkan diri daripada perbuatan mengumpat, mencaci, menganiaya, sombong dan memungkiri janji.
3
Generasi muda diingatkan agar menjauhi judi dan arak serta tidak terlibat dengan perlakuan yang tidak baik atau negatif kerana kelak akan menerima padahnya
4
Penyair juga berpesan agar para belia tidak berhutang dan mengharapkan bantuan daripada orang lain. Orang yang tidak berhutang dan bergantung harap kepada orang lain pasti akan senang hidupnya.
5
Generasi muda diingatkan agar mengelakkan diri daripada sikap suka meminjam ataupun memberi pinjam serta berhutang. Sikap ini boleh menyebabkan hubungan antara sahabat akan menjadi renggang akibat hilang perasaan hormat-menghormati dalam persahabatan.
6
Penyair juga mengingatkan agar generasi muda tidak mengharapkan bantuan dan bersikap meminta-minta. Hal ini demikian kerana, orang yang terlalu mengharapkan bantuan akan malas berusaha dan kemampuan yang ada dalam diri akan hilang.
7
Remaja juga diingatkan agar bersikap patriotik dan berdikari dalam melakukan sesuatu. Generasi muda juga diingatkan tidak lupa asal dan usul mereka serta tidak memandang rendah akan kelebihan yang ada pada orang lain.
8
Penyair menegaskan pesanan di atas dititipkan khas untuk generasi muda. Semoga dengan izin Allah pasti belia hari ini akan menjadi pemimpin berkaliber pada masa akan datang.

TEMA

Panduan kepada generasi muda untuk menghadapi dunia yang penuh dugaan dan cabaran.


PERSOALAN

i. Berdikari dalam kehidupan tanpa mengharapkan bantuan dan pertolongan daripada orang lain.

ii. Mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara-perkara negatif yang boleh merosakkan diri.

iii. Menunaikan janji yang termeterai kerana kegagalan menepati janji akan menghilangkan kepercayaan orang terhadap kita.

iv. Mengelakkan diri daripada berhutang kerana hubungan persahabatan akan renggang disebabkan masalah ini.

BENTUK

i Bentuk terikat.

ii Mempunyai 8 rangkap.

iii Setiap rangkap mempunyai 4 baris.

iv Semua baris ialah maksud.

v Suku kata 9 hingga 12. Contoh : ja/ngan/ tak/bur/ di/ri/ di/pu/ji  (9 suku kata-rangkap 2)

Contoh : be/bas/ke/hi/du/pan/ sen/ti/a/sa/ ta/tang/ (12 suka kata-rangkap 4)

vi Antara 4 hingga 5 patah perkataan. Contoh : Ingat pesanku wahai belia  (4 perkataan-rangkap 1) Contoh: Jangan aniaya bengis dan benci (5 perkataan – rangkap 2)

GAYA BAHASA

i Asonansi – Pengulangan vokal a Contoh: Barang dipinjam kerap kehilangan.

ii Aliterasi - Pengulangan konsonan n. Contoh: Jangan biasakan meminta tolong.

iii Anafora – Pengulangan kata pada awal baris. Contoh: Jangan fikir kasihkan kaya. Jangan boros yang sia-sia.

iv Inversi – Pembalikan kata Contoh: Judi dan arak jangan biasa,  sepatutnya jangan biasa judi dan arak.

v Repitisi - pengulangan perkataan ’jangan’  dalam baris yang sama  Contoh: Jangan mengata jangan mengeji


NILAI

i Nilai berdikari amat penting dalam diri setiap belia agar tidak terlalu bergantungharap kepada orang lain.

ii Nilai merendah diri penting diamalkan supaya tidak menjadi riak apabila menerima pujian.

iii Nilai bertanggungjawab harus ada dalam diri setiap insan agar kita bertanggungjawab atas segala yang

kita lakukan contohnya seperti menepati janji.

PENGAJARAN

i Kita hendaklah berdikari dan jangan terlalu bergantung kepada orang lain kerana keadaan ini menambahkan keyakinan dan keupayaan diri sendiri untuk menyelesaikan masalah.

ii Kita janganlah menyombong diri ketika menjalinkan persahabatan, kelak diri sendiri yang rugi.

iii Kita hendaklah menunaikan janji kerana orang akan hilang kepercayaan jika kita memungkirinya.


2 comments: