Sunday, July 22, 2012

Syair Li-Attar Ghib KOMSAS Tingkatan 3

MAKSUD RANGKAP
Rangkap
Maksud
1
Penyair ingin menyampaikan pesanan kepada semua insan yang menjalani kehidupan bersama-sama dalam setiap pekerjaan di dunia.
2
Atas kehendak Tuhan dua orang saudara telah meninggal dunia. Walaupun bersedih, namun tiada apa-apa dapat dilakukan kerana itu kehendak Tuhan yang Esa.
3
Setiap hamba perlu bersabar menerima ketentuan Tuhan walaupun hakikatnya terlalu sukar untuk dihadapi.
4
Setiap insan yang ada di muka bumi ini pasti akan menghadapi kematian tanpa memilih pangkat dan darjat.
5
Setiap insan perlu mengambil pengajaran daripada generasi terdahulu yang telah meninggal dunia agar kita beroleh kebahagiaan.
6
Kebajikan rakyat jelata mestilah diambil kira atau diambil berat dan keluarga sendiri perlu dijaga agar tidak ditimpa kesusahan
7
Para nabi menuntut kita agar memuliakan ilmu yang benar. Ilmu yang dituntut perlulah diamalkan agar tidak menjadi sia-sia
8
Penyair mengingatkan semua orang mengambil pengajaran atas kematian generasi terdahulu kerana kita juga akan menghadapinya.

TEMA

Mengambil iktibar daripada kematian. Hal ini kerana setiap insan di dunia ini perlu mengambil pengajaran apabila berlakunya kematian kerana setiap insan pasti akan melaluinya.


PERSOALAN

i. Kematian yang tidak dapat dielakkan. Setiap manusia haruslah ingat bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti akan berlaku.

ii. Kepentingan menuntut ilmu kerana menuntut ilmu merupakan tuntutan agama.

iii. Keinsafan menghadapi kematian. Setiap manusia yang hidup perlulah insaf apabila berhadapan dengan kematian

BENTUK

i. Mempunyai 8 rangkap.

ii. Mempunyai 4 baris bagi setiap rangkap.

iii. Semua baris adalah maksud.

iv. Jumlah perkataan antara 4 hingga 6 perkataan sebaris

Contoh: wahai sayangnya akan saudara  (4 perkataan – rangkap 1)

Contoh: dengan kehendak Tuhan yang mulia (5 perkataan – rangkap 2)

Contoh: lihat kepada datuk nenek yang sudah-sudah (6 perkataan – rangkap 5)

v. Terdiri daripada 9 hingga 14 suku kata sebaris

Contoh: ser/ta/ pan/dang/ a/mat/-a/mat/kan ( 9 suku kata – rangkap 8)

Contoh: li/hat/ ke/pa/da/ da/tuk/ ne/nek/ yang/ su/dah/-su/dah (14 suku kata – rangkap 5)

vi. Rima akhir ialah aaaa.

vii. Bentuk syair ialah terikat.

GAYA BAHASA

i. Asonansi - Pengulangan vokal a Contoh: sebab bersama-sama mengembara

ii. Aliterasi - Pengulangan konsonan d Contoh: hendaklah kita tunduk terngadah

iii. Repitisi - Pengulangan perkataan segala dalam satu baris Contoh: Segala pekerjaan segala perkara

iv. Inversi - Pembalikan kata Contoh: kita sepertinya akan datangkan sepatutnya kita akan datangkan sepertinya.

v. Diksi - Penggunaan Bahasa Arab. Contoh: Wahid al-khahar, anbia, jabbar, Saadah.

vi. Diksi - Penggunaan Bahasa Arkaik. Contoh: ayuhai.

vii. Kata Ganda. Contoh: sudah-sudah, sia-sia, tuan-tuan, dikira-kira, bersama-sama.

NILAI

i. Nilai keinsafan. Perasaan insaf sepatutnya lahir di jiwa apabila melihat kematian kerana setiap insan di dunia ini pasti akan merasainya. Contoh: Ayuhai tuan-tuan cuba fikirkan, Serta pandang amat-amatkan,Kematian datuk nenek teladan, Kita sepertinya akan datangkan.

ii. Nilai kerajinan. Mengamalkan sikap rajin dalam menuntut dan memuliakan ilmu seperti yang digalakkan oleh para nabi. Contoh: Ilmu yang benar hendaklah dimulia,Kerana ia muarinya anbia,Tuntut ilmu jangan sia-sia,Yang lain itu tinggal di dunia.

iii. Nilai kesabaran. Semua insan perlu bersabar apabila menghadapi musibah atau kesusahan kerana sebagai hamba kita wajib pasrah pada ketentuan-Nya.  Contoh: Melainkan hamba berbanyak sabar, Akan perintah wahid al-Khahar, Ialah Tuhan bersifat jabbar, Akan hambanya kecil dan besar.

PENGAJARAN

i. Kita haruslah insaf dan mengambil iktibar ketika berhadapan dengan kematian.

ii. Kita hendaklah menanam sikap rajin dalam mencari ilmu untuk kepentingan hidup di dunia dan akhirat.

iii. Kita perlulah sabar menerima segala dugaan dan ujian dari Tuhan.


No comments:

Post a Comment