Saturday, September 24, 2011

Nilai hormat-menghormati yang terdapat dalam novel MELUNAS RINDU. Berikan 3 contoh nilai tersebut.

Berdasarkan novel Melunas Rindu karya Hartini Hamzah, terdapat tiga contoh nilai hormat-menghormati yang dikemukakan dalam novel Melunas Rindu. Antaranya ialah kita hendaklah sentiasa menghormati orang yang lebih tua. Contoh ini jelas terbukti melalui situasi Fuad yang sentiasa menghormati Pak Ismali dan Mak Salmah walaupun Mak Salmah begitu membenci Fuad kerana telah melarikan anak angkatnya yang bernama Sofia yang juga merupakan adik kandung Fuad. Fuad tetap sabar melayan karenah Mak Salmah yang menganggap dia tidak wujud di rumah itu dan mempamerkan sikap tidak puas hati terhadap Fuad seperti tidak mahu makan semeja dengannya, menghempas pintu dengan kuat dan sama sekali tidak bercakap dengan Fuad. Contoh ini juga jelas terpancar apabila Fuad tetap menghormati bapa kandungnya iaitu Robert Lim atau Roslan dengan memaafkannya walaupun bapanya telah meninggalkan ibunya iaitu Mariana dan memisahkannya dengan agama Islam yang merupakan agama asalnya. Fuad juga tetap menerima wang yang telah dikirimkan oleh bapanya walaupun dia tidak ingin menggunakan wang tersebut sebagai tanda menghormati keputusan serta niat baik bapanya.
Selain itu, contoh nilai hormat-menghormati juga jelas terpancar dalam situasi Fuad yang tabah menghadapi cemuhan penduduk-penduduk kampung kerana telah melarikan Sofia. Malahan Fuad tidak melakukan apa-apa termasuklah membela diri sendiri daripada terus-menerus dihina oleh penduduk-penduduk kampung. Fuad tetap menghormati penduduk-penduduk kampung biarpun kadang-kala dia dipinggirkan daripada masyarakat kampung Danau Seberang. Fuad tidak berputus asa malahan cuba untuk memulihkan keadaan dengan mengambil hati penduduk-penduduk kampung seperti menanggung perbelanjaan perkahwinan sahabatnya yang bernama Borhan dan isterinya serta menghantar anak Borhan yang sakit dengan segera sebaik sahaja mngetahui keadaan anaknya yang demam panas.
Di samping itu, nilai hormat-menghormati juga dapat dilihat melalui diri Fuad yang sentiasa menghormati hubungan dengan rakan sejawatnya di Sekolah Menengah Seri Setia. Misalnya, Fuad tidak memihak kepada Cikgu Farhana mahupun Cikgu Zamani yang bergaduh kerana Cikgu Zamani yang cuba memprovokasinya dengan menyindirnya, dan Fuad cuba meleraikan perselisihan faham antara Cikgu Zamani dan Cikgu Farhana.Apabila Cikgu Zamani mengajak Fuad untuk berjemaah di rumah, Fuad menolak baik ajakannya dengan alasan yang baik.Fuad tetap menghormatinya walaupun mengetahui bahawa Cikgu Zamani cuba mempengaruhinya untuk menyertai dalam hal politik yang tidak baik.
Karya,
Sharon Ubong, Queentety ak Johny & Brian Bereh.
5 Sains Alamanda
SMK Merbau, Miri Sarawak

No comments:

Post a Comment