Saturday, September 24, 2011

Dalam setiap novel, pengarang menyelitkan beberapa peristiwa yang dapat dijadikan iktibar dalam kehidupan. Berdasarkan sebuah novel, jelaskan dua peristiwa tersebut.

Dalam setiap novel, pengarang menyelitkan beberapa peristiwa yang dapat dijadikan iktibar dalam kehidupan. Berdasarkan novel yang saya kaji, iaitu Novel Melunas Rindu karya Hartini Hamzah, peristiwa yang dapat dijadikan iktibar dalam novel ini ialah peristiwa Fuad mengetahui bahawa dia sebenarnya lahir dalam Islam hasil daripada perkahwinan campur. Fuad berusaha untuk mencari identiti diri dan kehidupan baru. Fuad tekun mempelajari ilmu agama Islam daripada Pak Ismail. Contohnya, Fuad sering belajar mengaji dan mengerjakan solat berjemaah di surau. Fuad tidak pernah meninggalkan solat walaupun dalam perjalanan jauh atau pada masa-masa kecemasan. Melalui peristiwa ini, kita dapat menyimpulkan bahawa kita tidak pernah terlambat untuk mencari identity kita dan mengenali Tuhan.
         Selain itu, peristiwa kedua yang dapat dijadikan iktibar ialah peristiwa pergolakan rumah tangga Robert Lim dan Mariana. Perkahwinan Robert Lim dan Mariana tidak direstui oleh keluarga Robert Lim disebabkan perbezaan agama. Akibat tekanan daripada ibunya, Robert Lim meninggalkan Mariana yang sedang mengandung Fuad selepas 3 bulan mereka berkahwin. Kesannya, Mariana mengalami tekanan yang sangat hebat sehingga mengakibatkan dia gila meroyan dan sanggup membunuh anaknya sendiri. Iktibarnya, kita haruslah bertanggungjawab dalam mempertahankan rumah tangga atau keluarga yang telah kita bina supaya kita dapat mewujudkan institusi keluarga yang bahagia dan kukuh.
         Akhir sekali, peristiwa lain yang dapat dijadikan iktibar ialah peristiwa Fuad yang tidak pernah berputus asa menyiasat keberadaan ibunya. Walaupun Fuad tidak pernah berjumpa dengan ibunya, dia tetap menyayangi dan merindui ibunya. Disebabkan perasaan sayang yang menebal dalam dirinya, Fuad terus berusaha untuk mengesan kubur ibunya sehingga ke Kampung Sedeli. Di situ dia diberitahu oleh Pak Shamsudin bahawa ibunya masih hidup namun ibunya telah berpindah ke Kuantan. Fuad meminta bantuan bapa saudaranya untuk mendapatkan  gambar ibunya bagi memudahkan pencariannya. Dengan ketentuan Tuhan, Fuad telah mengetahui bahawa ibunya dan ibu Farhana ialah orang yang sama. Daripada peristiwa ini, kita mendapat iktibar bahawa kita tidak seharusnya berputus asa sebaliknya terus berusaha supaya membuahkan kejayaan.
Karya,
Cynthia Sandra Chendu Ading, Liong Cai Ling, Effha Binti Soter
5 Sains Alamanda
SMK Merbau, Miri Sarawak


No comments:

Post a Comment