Friday, September 9, 2011

Bandingkan persamaan watak utama dalam Novel Melunas Rindu dan Novel Kabus Di Perbukitan

Contoh jawapan 2
           
Persamaan dalam perwatakan watak utama dalam novel Melunas Rindu dan novel Kabus Di Perbukitan ialah seorang yang tabah menghadapi cabaran dan dugaan dalam kehidupan. Dalam novel Melunas Rindu, Fuad tabah menghadapi kemarahan Mak Salmah dan cemuhan orang-orang kampung. Fuad berusaha memperbaiki keadaan itu dengan mengambil hati Mak Salmah dan sabar dengan sikap Mak Salmah yang sering menghindarkan diri dari Fuad. Manakala dalam novel Kabus Di Perbukitan pula ialah Faridah tabah melalui pelbagai cabaran seperti perpisahan dengan bapanya dan Rahayu serta kematian adiknya, ibu dan suaminya yang tercinta. Akhirnya dia reda dalam menerima ketentuan dan kehendak Yang Maha Kuasa lalu meneruskan kehidupannya.
               Selain itu, persamaan lain ialah seorang yang taat pada perintah agama. Dalam novel Melunas Rindu, Fuad rajin mengerjakan solat secara berjemaah. Dia juga berhenti di masjid untuk menunaikan solat meskipun dalam keadaan musafir ketika dalam perjalanan  untuk menziarahi ibu Farhana. Manakala, dalam novel Kabus di Perbukitan, Faridah masih berpegang kuat pada ajaran agama meskipun sudah lama menetap di New Zealand. Dia sentiasa berdoa kepada Tuhan dan tidak pernah lupa mengerjakan solat.
              Persamaan lain ialah seorang yang prihatin dan ambil berat terhadap orang lain. Dalam novel Melunas Rindu,Fuad mengambil berat terhadap ibu Farhana dan sanggup ke Kuantan  bersama-sama Farhana untuk menziarahi ibu Farhana. Fuad amat prihatin tentang permasalahan Farhana dan sanggup membantu Farhana. Manakala dalam novel Kabus di Perbukitan, Faridah amat prihatin akan kanak-kanak istimewa. Dia bertugas di PDK Suria hampir tiga tahun sebagai sukarelawan untuk berkhidmat kepada kanak-kanak istimewa. Dia sanggup bersusah payah ke PDK Suria hanya untuk membantu kanak-kanak istimewa.
             Akhir sekali, persamaan dalam perwatakan lain ialah seorang yang berpendidikan tinggi. Fuad merupakan seorang guru sandaran, namun dia memiliki Ijazah Pentadbiran dari Amerika Syarikat. Fuad seorang yang mementingkan pendidikan bagi menjamin kehidupan yang selesa. Manakala dalam novel Kabus Di Perbukitan, Faridah amat mementingkan pendidikan. Faridah sanggup menggadaikan tanahnya untuk perbelanjaannya semasa berkhusus di New Zealand. Meskipun dia menggadaikan tanahnya, namun dia berpuas hati kerana dapat melanjutkan pelajaran ke New Zealand.


Nurkilan,

FLORA STEPHENIE FRANCIS
5 Alamanda
SMK Merbau, Miri
Sarawak


No comments:

Post a Comment