Tuesday, September 6, 2011

TEKNIK MENJAWAB SOALAN 3 (e) PERIBAHASA

~ MEMBINA AYAT BERDASARKAN PERIBAHASA YANG DIBERIKAN


Ramai dalam kalangan pelajar yang meghadapi masalah dalam membina ayat berdasarkan peribahasa yang diberikan semasa peperiksaan. Malah, terdapat pelajar yang langsung tidak menjawab dan ada yang sekadar menjawab sebagai cukup syarat sedangkan hakikat sebenar bahagian ini amat mudah untuk diskor.

Kali ini, saya ingin memberikan tips dan teknik untuk menjawab soalan bahagian ini bagi memudahkan para pelajar mendapat markah penuh semasa peperiksaan.


PETUANYA:

i.              Pelajar hanya perlu menulis 1 ayat sahaja berdasarkan peribahasa yang diberikan dalam soalan. Ringkasnya, 1 peribahasa, 1 ayat sahaja.
ii.             Gariskan peribahasa yang dibina tersebut untuk memudahkan pemeriksa memberikan markah kepada anda.
iii.            Pelajar perlu memaksukkan 3 elemen yang penting dalam 1 ayat yang dibina iaitu:

ü  Peribahasa
ü  Maksud peribahasa
ü  Situasi yang menyokong maksud peribahasa


CONTOH

Tulis ayat berdasarkan setiap peribahasa di bawah ini supaya jelas menunjukkan maksud dan penggunaannya.

(i)            Benang jangan terputus, tepung jangan berselerak.

Maksud ~ Bersikap bijaksana ketika menyelesaikan sesuatu masalah
Cth Ayat: Seorang ketua keluarga mesti pandai menyelesaikan pergaduhan antara anaknya bagai menarik benang jangan terputus, tepung jangan berselerak agar tiada yang berkecil hati.

                        3 elemen penting: Untuk mendapatkan 2 markah penuh bagi satu ayat yang dibina.

ü  Peribahasa ~  Benang jangan terputus, tepung jangan berselerak.
ü  Maksud peribahasa ~ mesti pandai menyelesaikan pergaduhan antara anaknya
ü  Situasi yang menyokong maksud peribahasa ~ agar tiada yang berkecil hati.

(ii)           Ibarat lalang dipuput bayu

Maksud ~ Pendirian seseorang yang tidak tetap/teguh/sering berubah-ubah
Cth Ayat: Aminah tidak dapat membuat keputusan dalam memilih barangan untuk hantaran perkahwinannya ibarat lalang dipuput bayu, terutama apabila adik-beradiknya turut memberikan pendapat masing-masing.
           
3 elemen penting: Untuk mendapatkan 2 markah penuh bagi satu ayat yang dibina.

ü  Peribahasa ~  ibarat lalang dipuput bayu
ü  Maksud peribahasa ~ dapat membuat keputusan dalam memilih barangan untuk hantaran perkahwinannya
ü  Situasi yang menyokong maksud peribahasa ~ apabila adik-beradiknya turut memberikan pendapat masing-masing.

(iii)         Bagai melukut di tepi gantang

Maksud ~ a. Tidak dapat menolong sebab dirinya sendiri yang susah.
Cth Ayat: Aminah tidak dapat berbuat apa-apa tatkala melihat adiknya yang hidup melarat kerana dia sendiri juga hidup dalam kedaifan bagai melukut di tepi gantang.

3      elemen penting: Untuk mendapatkan 2 markah penuh bagi satu ayat yang dibina.

ü  Peribahasa ~  Bagai melukut di tepi gantang
ü  Maksud peribahasa ~ dia sendiri juga hidup dalam kedaifan
ü  Situasi yang menyokong maksud peribahasa ~ Aminah tidak dapat berbuat apa-apa tatkala melihat adiknya yang hidup melarat


Maksud ~ b. Seseorang yang dipandang ringan oleh orang lain sebab tidak berkuasa
Cth Ayat: Abu amat sedih kerana kehadirannya dalam mesyuarat itu sekadar untuk hadir dan pandangannya pun tidak diminta bagi menyelesaikan masalah itu memandangkan dia hanya pekerja bawahan sahaja, bagai melukut di tepi gantang.

3      elemen penting: Untuk mendapatkan 2 markah penuh bagi satu ayat yang dibina.

ü  Peribahasa ~  Bagai melukut di tepi gantang
ü  Maksud peribahasa ~ memandangkan dia hanya pekerja bawahan sahaja.
ü  Situasi yang menyokong maksud peribahasa ~ Abu amat sedih kerana kehadirannya dalam mesyuarat itu sekadar untuk hadir dan pandangannya pun tidak diminta



Semoga TIPS ini dapat membantu para pelajar untuk mendapat markah penuh semasa menjawab soalan peribahasa semasa SPM kelak. GOD Bless!!!!


CIKGU NANCY
2011

1 comment: