Monday, September 12, 2011

Huraikan faktor-fakor pengangguran di negara ini.

KARANGAN BAHAGIAN A ~ SPM
            Ketika berada di sekolah rendah dan menengah,acap kali kita mendengar pertanyaan seperti “Apakah cita-cita anda?” terpacul keluar dari mulut seorang guru. Cita-cita yang menjadi dorongan bagi pelajar agar mampu memiliki kerjaya yang membuahkan hasil lumayan. Rentetan tuntutan dunia yang semakin mencabar, ibu bapa sanggup mengeluarkan setiap sen yang terdapat untuk memastikan persekolahan anak sempurna dari segala aspek. Namun demikian, pengangguran yang menghantui negara tetap melanda.Masalah yang dialami di seantero dunia bukannya suatu yang baru. Mutakhir ini, kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 3.8 peratus.
            Pihak berkuasa sering mencari resolusi yang komprehensif tetapi langkah pertama yang wajar diambil adalah pengenalpastian punca berlakunya pengangguran di Malaysia. Faktor prima yang mendorong pada kejadian tersebut adalah sikap golongan siswazah yang memilih pekerjaan. Kejumudan fikiran bahawa kerja makan gaji mendatangkan hasil yang lebih lumayan meracuni pemikiran golongan siswazah. Mereka inginkan tempat kerja yang mepunyai ambien yang kondusif seperti berdingin hawa, bukannya berada di bawah terik matahari atau bergelumang di lumpur. Malahan, faktor tersebut juga didalangi oleh kewajipan sebagai anak terhadap ibu bapa. Mereka berpendapat bahawa kerja makan gaji lebih profesional. Keputusan tersebut diambil agar dapat menghargai jasa dan sumbangan ibu bapa agar tidak diibaratkan ‘seperti kacang lupakan kulit’. Persoalannya,adakah pekerjaan yang dianggap profesional mampu menampung golongan siswazah di negara kita?
            Di samping itu, kebanjiran pendatang asing turut mengakibatkan kadar pengangguran melonjak.Negara kita menjadi ‘syurga’ kepada golongan imigran seperti warga Indonesia dan Thailand kerana mereka mendapat kerja dengan mudah terutamanya dalam sektor pembuatan dan perindustrian. Negara-negara tersebut terdiri daripada populasi rakyat yang tinggi sehingga peluang pekerjaan berada pada tahap minima setiap individu. Oleh itu, sektor perladangan, pembuatan dan perkilangan didominasi oleh warga asing. Fenomena yang menjerat rakyat negara ini tentunya mendatangkan implikasi negatif kepada rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana kekosongan yang ada sudah dirampas. Individu yang tidak berkelulusan universiti di negara kita terpaksa mengikat perut bak kata pepatah, ’kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ akibat pengangguran.
            Selain itu, punca yang mendorong pada pengangguran adalah kurangnya kemahiran yang fundamental dalam alam pekerjaan. Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan semata-mata membina sempadan antara murid dengan dunia luar secara perlahan-lahan. Oleh itu, golongan siswazah di Malaysia cemerlang dalam aspek teori tetapi lemah dari segi pengaplikasiannya. Contoh yang paling mudah adalah kemahiran komunikasi interpersonal iaitu interaksi seseorang dengan individu yang lain. Kemahiran tersebut amat signifikan jika hendak menjadi seorang pekerja yang mampu memacu kemajuan negara. Kualiti golongan siswazah yang tidak mencakupi pelbagai aspek seterusnya mendorong pada pengangguran. Sementelahan itu, sikap golongan siswazah yang tidak berani mengambil risiko turut mengakibatkan pengangguran secara berleluasa. Perusahaan atau pekerjaan berasaskan modal dan dana diri sendiri tidak diburu kerana dianggap sebagai pekerjaan yang kurang stabil dari segi ekonominya.
            Deduksinya, setiap individu wajar bekerjasama bagi mencari jalan penyelesaian yang efektif dan bukannya menuding jari ke pihak kerajaan semata-mata. Masalah pengangguran yang dihadapi tidak akan mencapai garis penamat jika masyarakat tidak menggembleng tenaga. Masyarakat disarankan untuk menggenggam erat visi negara iaitu Wawasan 2020 untuk mencapai status negara yang bertaraf 5 bintang. Anjakan paradigma iaitu pencapaian sifar kadar pengangguran merupakan transformasi yang wajar diimplementasikan. Usaha masyarakat yang diadun merupakan resepi kepada pencapaian matlamat tersebut. Warga Malaysia harus sedar bahawa ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’ apabila masalah ini berlarutan.
Karya:

Rima Atria Japarin
5 Sains Alamanda
SMK Merbau, Miri

5 comments:

  1. wahh bgusnya karangan kamu. :-)

    ReplyDelete
  2. karangan terbaik....

    ReplyDelete
  3. Wah hebatnya karangan awak...
    Bagaimana awak buat karangan sebegini?bolehkah awak bagi tips

    ReplyDelete
  4. Karangan yg mantap & lengkap. Dh mcm karangan profesor plak. Klu mcm ni dh bleh wt novel plak ni.Hehe ^_^

    ReplyDelete
  5. nice man ..u gotta stay strong and u know what..this is good..know what im sayin

    ReplyDelete